Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, March 16, 2015

MH370: Kalaulah…

MH370: Terlalu banyak perluang yang terlepas. Kalaulah…
11:30AM Mac 16

oleh Neal K
KOMEN: Jam sudah pun mula berdetik ke arah ulang tahun kedua kehilangan MH370 yang malang. Dunia masih lagi tidak kehabisan teori tentang apa yang mungkin berlaku – daripada juruterbang membunuh diri sehinggalah Pulau Diego  Garcia, kita sudah mendengar semuanya.
Namun semuanya hanyalah teori.
Kita kini mengetahui tentang fakta yang dikumpulkan pasukan penyiasatan antarabangsa.  Walaupun laporan 584 halaman yang diterbitkan ketika ulang tahun pertama tidak menawarkan apa-apa petunjuk baru, ia telah meruntuhkan budaya keselamatan penerbangan Malaysia.
Menurut laporan itu, pesawat tidak mengalami apa-apa masalah mekanikal atau komputer, dan sistem perhubungannya beroperasi seperti biasa sehinggalah isyarat radio dan transponder berhenti secara mendadak.
Selain itu, juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid tidak menunjukkan kelakuan luar daripada kebiasaan sebelum penerbangan. Kumpulan penyiasat telah menganalisis rakaman CCTV kapten sebaik sebelum berlepas, dan membandingkannya dengan rakaman tiga penerbangan sebelumnya.
“Kelakuan, postur dan ekspresi mukanya adalah karakteristiknya yang biasa”. Laporan itu turut berkata: “Tiada perubahan signifikan dalam gaya hidupnya, konflik interpersonal dan tekanan keluarga.” 
Hal yang paling menonjol dalam laporan interim itu ada pada transkrip perbualan antara orang awam, kakitangan syarikat penerbangan dan tentera beberapa jam selepas kehilangan, yang telah memaksa kerajaan Malaysia bersetuju untuk menjalankan penyiasatan terperinci.
Berikut adalah kronologi ringkas menurut garis masa dalam dokumen:
Peralatan perhubungan pesawat berhenti secara mendadak pada jam 1.19 pagi.
Kakitangan syarikat penerbangan menunggu kira-kira 40 minit selepas hubungan radar terakhir, untuk mula menghantar mesej berulang kali menggunakan sambungan satelit, meminta juruterbang menghubungi syarikat. 
Pesawat sepatutnya meneruskan penerbangan ke arah utara dan melaporkan kepada pengawal trafik udara Vietnam, namun transpondernya telah ditutup oleh seseorang di dalam pesawat, menyebabkan ia tidak dapat dikesan oleh radar awam.
Seorang pengawal trafik udara Vietnam berkata, “Kami hanya melihatnya di skrin radar, sebelum hilang beberapa minit kemudian.” 
Pengawal trafik udara Vietnam berhadapan kesukaran memahami pertanyaan pegawai Malaysia. Peraturan antarabangsa yang diperkenalkan pada 2010 mewajibkan semua juruterbang dan pegawai kawalan trafik udara lulus ujian Bahasa Inggeris.
Malaysian Airlines (MAS) bertegas yang pesawat itu terbang melepasi Kemboja, ketika data yang ada menunjukkan ia hakikatnya terbang beberapa ribu kilometer secara autopilot ke arah selatan Laut Hindi.
Selain itu, seperti tiada koordinasi antara tentera Malaysia dengan pegawal trafik udara Malaysia.
Pada jam 5.20 pagi, seorang kakitangan MAS berulangkali bertanya kepada pengawal trafik udara di Kuala Lumpur, sama ada mereka berjaya menyerahkan pesawat kepada pengawal trafik udara Vietnam. 
Pengawal trafik udara di Kuala Lumpur bertegas yang beliau hanya mengambil alih tugas di menara operasi pada jam 3 pagi dan tidak pasti tentangnya dengan terperinci.
Beliau kemudian berkata, “Aaa…tak apalah. Saya akan kejutkan penyelia saya dan mintanya periksa sekali lagi, pergi ke bilik dan periksa hubungan terakhir…semuanyalah.” 
Fasa kecemasan hanya dimulakan oleh perkhidmatan kecemasan Malaysia 5 jam 13 minit selepas perhubungan terakhir pesawat.
Pencarian pertama pesawat bermula 10 jam selepas ia hilang.
Dunia menyaksikan apa yang berlaku seterusnya, dan MH370 secara rasmi menjadi misteri industri penerbangan antarabangsa terbesar dalam sejarah. Setahun kemudian, tanpa bukti atau penjelasan yang boleh diterima untuk pengakhiran yang sepatutnya, insan tersayang mangsa di seluruh dunia meneruskan penantian mereka.
Kerajaan Malaysia sudah pun secara rasmi mengisytiharkan kehilangan MH370 sebagai kemalangan, dan berkata semua mangsa dianggap meninggal dunia; namun dengan jaminan pencarian akan diteruskan.  
Baru-baru ini muncul berita tentang tuala basah dengan logo MAS yang dijumpai di sebuah pantai di Australia Barat. Ia kini sedang dikaji sama ada ia adalah bukti sah yang pertama bagi MH370.
Sementara pencarian ini diteruskan, amat penting untuk budaya keselamatan Malaysia mengalami pembaikan besar-besaran. Dengan tidur ketika bertugas, sikap acuh tak acuh, kelemahan bahasa dan kelemahan koordinasi antara jabatan.
Seperti kata-kata seorang bekas Perdana Menteri Ireland, “Hal-hal kecillah yang menyebabkan anda jatuh.”

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa