OLEH OLEH HAMDAN OTHMAN DI KUALA LUMPUR - 09 MAR 2015
Ramai berpendapat tiada keperluan bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim membuka mulut mencadangkan sesiapa sahaja untuk memegang apa juga jawatan penting.
Sebelum ini, Zaid mencadangkan agar Pakatan Rakyat (PR) melantik Azmin Ali sebagai Timbalam Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Zaid menyuarakan satu lagi cadangan supaya Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai PR agar lebih mudah mengambil alih tampuk negara.
Apa masalah Zaid tidak boleh mengawal diri hingga terkeluar cadangan yang langsung tidak mencerminkan keamanan yang sepatutnya dia sedar selaku pengamal undang-undang?
Seperti katanya dalam akaun Twitter beliau semalam, TPM perlu mengambil alih jawatan Perdana Menteri secepat mungkin dengan menyertai pakatan pembangkang.
"Hanya dengan menyertai pakatan pembangkang, peluang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri lebih cerah," katanya.
Apa motif Zaid memberi cadangan tidak berasas kepada Muhyidin?
Walaupun tidak akan ada siapa yang mempedulikan cadangannya itu, Zaid dinasihatkan supaya tidak bercakap soal kepimpinan kalau dirinya sendiri tidak ada hala tuju dalam politik.
Melihat cadangannya sebagai tidak sihat, ramai yang menasihatkan Zaid supaya bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) sama ada di Dewan Undangan Negeri Chempaka mahupun Permatang Pauh.
Bertandinglah sebagai calon Bebas sebab sudah tentu Pas tidak akan menerima Zaid.
Pentas PRK adalah lorong terbaik untuk Zaid bercakap tentang politik dan kepimpinan. Biarlah rakyat yang menilai cadangan Zaid melalui PRK daripada membuat luahan di laman sesawang sendiri.
Mungkin 'kebijaksanaan' yang cuba ditampilkan Zaid itu boleh memenangkan dirinya jika bertanding pada PRK nanti. Siapa tahu? - MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa