Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, March 25, 2015

Nahas Airbus Germanwings: Tiada mangsa dijangka selamat

Pasukan penyelamat dikejarkan ke Banjaran Alps, selatan Perancis berhampiran bandar Barcelonnette, kira-kira 100 km ke utara bandar Riviera Nice, lokasi di mana serpihan pesawar tersebut dijumpai. -Foto telegraph.co.uk.

MARSEILLE, 24 Mac:
Sebuah pesawat jenis Airbus 320 yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang murah Germanwing, anak syarikat Lufthansa, terhempas di selatan Perancis ketika dalam perjalanan dari Barcelona di Sepanyol ke Duesseldorf, Jerman.
Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls berkata, beliau difahamkan antara 142 dan 150 orang berada di atas pesawat itu dan dikhuatiri mati.
“Punca nahas tidak diketahui pada masa ini,” kata Valls kepada pemberita seperti yang dilaporkan agensi berita antarabangsa Reuters.
Manakala Presiden negara itu, Francois Hollande dipetik sebagai berkata bahawa beliau tidak menjangkakan ada mangsa yang terselamat dalam nahas berkenaan, selain memaklumkan kemungkinan kebanyakan mangsa adalah warga Jerman.
Agensi berita AP melaporkan, dalam satu taklimat yang disiarkan secara langsung, Hollande berkata kawasan nahas adalah kawasan terpencil dan tidak jelas sama ada penduduk di kawasan berkenaan turut cedera.
Akhbar tempatan Perancis, La Provence menyebut pesawat itu membawa 142 penumpang, dua juruterbang dan empat krew.
Sementara itu jurucakap pihak berkuasa penerbangan Perancis, DGAC berkata, pesawat itu terhempas di Banjaran Alps, selatan Perancis berhampiran bandar Barcelonnette, kira-kira 100 km ke utara bandar Riviera Nice.
Bagaimanapun Germanwings Lufthansa berkata ia belum dapat mengesahkan laporan kemalangan itu.
Menurut pangkalan data airfleets.net, pesawat Airbus A320 yang terhempas itu berusia 24 tahun dan telah berkhidmat dengan Lufthansa sejak 1991.
Ia dikatakan hilang dari skrin radar di wilayah Alpes de Hautes selepas menghantar isyarat kecemasan pada jam 10.47 pagi waktu tempatan (atau 9.47 waktu GMT).
Portal berita Mail Online memetik laporan media Jerman menyatakan serpihan pesawat boleh dilihat di satu kawasan yang luas, manakala Kementerian Dalam Negeri Perancis turut mengesahkan serpihan pesawat berkenaan telah ditemui berhampiran Barcelonnette.
Berdasarkan data penerbangan FlightAware 24, pada jam 9.30 pagi pesawat itu didapati pada paras 38,000 kaki dengan kelajuan 463 knot.
Ia bagaimanapun kelihatan turun ke paras 37,975 kaki pada jam 10.31 pagi namun kelajuannya meningkat kepada 477 knot.
Maklumat pada radar pada jam 10.41 pagi seterusnya menunjukkan pesawat kelihatan turun ke paras 6,800 kaki pada kelajuan 378 knot, iaitu menjunam sebanyak 31,200 kaki dalam masa hanya sepuluh minit.
Syarikat penerbangan Germanwings bagaimanapun menulis dalam Twitternya bahawa ia sedar tentang pelbagai laporan mediamengenai nahas itu namun masih tidak mempunyai sebarang maklumat yang boleh disahkan.
Ketua Majlis Wilayah Alps, Eric Ciotti, berkata pasukan mencari dan menyelamat sudah digerakkan ke tempat nahas di Meolans-Revels.
Nama Germanwings mula diguna pada 2002, namun sejarahnya boleh dikesan hingga ke 1997 menggunakan jenama Eurowings.
Hub utama operasinya ialah di Lapangan Terbang Cologne Bonn, Stuttgart, Hamburg, Berlin Tegel dan Dusseldorf selain Hannover dan Dortmund.
Terdapat sejumlah 81 pesawat dimiliki Germanwings, dengan purata usia sekitar 9.2 tahun termasuk jenis Airbus A319, Airbus A320 dan Bombardier CRJ900
Ia terbang ke 86 destinasi seluruh dunia.
Sebelum nahas hari ini, syarikat berkenaan tidak pernah terbabit dalam tragedi yang meragut nyawa sepanjang penubuhannya.
Nahas terburuk pernah dialami ialah pada December 2010, apabila pesawat itu berjaya mendarat walaupun mengalami kebakaran di Cologne. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa