Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, November 8, 2016

Adakah ini bermakna laporan WSJ bukan fitnah? Dan Zaid mahu AMBank dedah butiran akaun Najib

2 kakitangan AmBank diambil ‘tindakan’ pindah wang ke akaun Najib

  | November 8, 2016
Sebelum ini, Joanne Yu dan Cheah Tek Kuang disebut dalam kertas siasatan Jabatan Kehakiman AS.
DEWAN RAKYAT
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia sudah mengenakan “tindakan” ke atas 2 kakitangan AmBank yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang berkait dengan syarikat 1MDB, menurut Kementerian Kewangan.
Dalam jawapan bertulis kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata tindakan sudah diambil ke atas Joanne Yu dan Cheah Tek Kuang, bagaimanapun tidak memperincikan jenis tindakan itu.
Menurutnya, tindakan diambil selepas siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang 2001.
Pua dalam soalannya pada Oktober 31 mahu penjelasan mengenai tindakan yang diambil ke atas Yu dan Cheah.
Sebelum ini, Yu dan Cheah dilaporkan The Wall Street Journal membantu ahli perniagaan Low Taek Jho memindahkan wang AS$680 juta ke dalam akaun bank peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2013.
Laporan itu berdasarkan transkrip mesej telefon yang dipetik Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam samannya merampas aset yang didakwa dicuri daripada 1MDB bernilai lebih AS$1 bilion, Julai lalu.
Najib berkata wang itu merupakan derma daripada kerajaan Arab Saudi menjelang pilihan raya ke-13 pada Mei 2013. Menurutnya, wang itu sudah dikembalikan.

Zaid mahu Ambank dedah butiran akaun Najib

  | November 8, 2016
Bekas menteri memerlukan maklumat bagi menyokong samannya dalam kes lain terhadap Najib, anak tirinya Riza Aziz, 1MDB dan kerajaan Malaysia.
KUALA LUMPUR: Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim memfailkan saman untuk memaksa Ambank Islamic Bhd mendedahkan pendapatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung derma RM2.6 bilion dan sebahagian RM42 juta lagi, yang dipercayai disimpan di 5 akaun bank.
Zaid juga mahu pihak bank mendedahkan sumber dana yang diterima dan penerima bayaran yang dibuat daripada masa akaun dibuka sehingga ia ditutup pada 30 September tahun ini.
Bekas pemimpin Umno, yang memfailkan tindakan itu bulan lalu bagi pihak rakyat dan pembayar cukai Malaysia, berkata beliau juga mahu bank menyediakan salinan penyata akaun daripada tarikh ia dibuka dan ditutup.
Dalam afidavit bagi menyokong tindakan itu, Zahid berkata beliau mahu bank, yang sebelum ini dikenali sebagai AmIslamic Bank Bhd, membuat pendedahan di bawah Akta Keterangan Buku Banker 1949.
Zaid yang diwakili Americk Sidhu, berkata beliau memerlukan maklumat bagi menyokong samannya dalam kes lain terhadap Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerajaan Malaysia dan anak tiri Najib, Riza Aziz.
Pada 17 Ogos lalu, Zaid memfailkan tindakan mendapatkan kembali AS$731 juta dan RM42 juta yang dibankkan ke dalam akaun perdana menteri.
Menurut Zahid, AS$50 juta didepositkan ke dalam akaun antara Februari 2011 dan November 2012 manakala AS$681 juta pada Mac 2013.
Bagaimanapun, AS$681 juta itu secara umumnya dikenali sebagai sumbangan daripada RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran pada masa itu.
Zaid berkata, beliau mengambil tindakan itu yang akan memberi manfaat kepada defendan ke-2 dan ke-3 – 1MDB dan kerajaan Malaysia – kerana mereka tidak berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian.
Najib sebagai defendan pertama, menurut beliau tidak akan membenarkan defendan ke-2 dan ke-3 yang dikuasainya mengambil apa-apa tindakan terhadap beliau.
“Najib, sebagai pemegang amanah 1MDB, mempunyai tanggungjawab melindungi dan memelihara aset kerajaan serta tidak menjadikannya kegunaan sendiri,” katanya dalam pernyataan tuntutan.
Zaid ingin mendapatkan perintah mengarahkan Najib membayar balik RM42 juta kepada kerajaan Malaysia, ditambah faedah kompaun pada kadar 2% sebulan daripada tarikh wang pertama yang diterima sehingga tarikh penyelesaian penuh.
Jumlah ini, kata beliau diterima daripada SRC International dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dan adalah dianggap melanggar tugas fidusiari beliau.
“Najib menerima RM42 juta sebagai rasuah atau dorongan menggunakan pengaruhnya ke atas Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bagi memudahkan pinjaman untuk SRC International,” dakwa Zaid.
Beliau juga mahu perintah mengarahkan Najib membayar balik 1MDB, defendan ke-2, AS$731 juta melalui pengembalian, ditambah 2% faedah kompaun sebulan daripada tarikh wang pertama yang diterima sehingga tarikh penyelesaian penuh.
Beliau berkata AS$731 juta terdiri daripada AS$681 juta didepositkan dalam akaun peribadi Najib pada Mac 2013 sebelum pilihan raya umum tahun itu; AS$20 juta yang didakwa diterima daripada Good Star Ltd antara Februari dan Jun 2011; dan juga AS$30 juta yang didakwa diterima daripada Aabar BVI antara oktober dan November 2012.
Di samping itu, Zaid mahu perintah mengarahkan defendan ke-4, Riza Aziz membayar balik defendan ke-2, 1MDB, semua wang yang diterima daripadanya, sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Beliau juga mahu Riza Aziz memindahkan semua harta, alih atau tak alih, yang diperolehnya dengan wang 1MDB, dan semua yang di bawah nama atau nama ejennya, termasuk ahli perniagaan Jho Low.
Awal hari ini, Hakim S. Nantha Balan, yang mendengar perkara itu di dalam kamar, menarik diri dan memindahkan kes itu didengar di hadapan Hakim Datuk Noraini Abdul Rahman.
Walaupun Najib tidak dinamakan sebagai pihak dalam tindakan terhadap bank itu, peguam Rishvant Singh, yang mewakili perdana menteri, berkata kebajikan anak guamnya terjejas dalam kes ini.
Rishwant memberitahu Nantha Balan yang peguam Tan Sri Cecil Abraham adalah kaunsel utama Najib dan beliau mungkin tidak dapat hadir di hadapan hakim (Nantha Balan).
Difahamkan Cecil dan Nantha Balan yang dahulunya peguam daripada firma undang-undang yang sama sebelum naik menjadi hakim.

1 comment:

  1. Jawapan di Parlimen ini menunjukkan ada kesalahan dalam pemindahan duit RN2.6 bil tetapi malangnya yang menerima dan memindahkannya tidak bersalah. Yang semakin pelik pegawai bank yang mengikut arahan pemindahan pula yang dihukum.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa