Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, November 15, 2016

Isu Ekonomi - A Kadir Jasin

Ekonomi: Indah khabar dari rupa
A KADIR JASIN - 13 NOVEMBER 2016

DALAM satu perbincangan mengenai isu ekonomi dalam kalangan rakan-rakan wartawan dan penggiat media sosial baru-baru ini, seorang daripada mereka bertanya bolehkah kita mempercayai apa yang para ekonomis kata.

Rakan wartawan itu keliru kerana ada ahli ekonomi mendakwa ekonomi Malaysia kukuh, tetapi apa yang dirasakan oleh pengguna adalah sebaliknya.

Saya beritahu mereka, buruk atau baik ekonomi bergantung kepada ahli ekonomi yang membuat analisis. Kalau ahli ekonomi itu bekerja dengan kerajaan, bank atau tabung pelaburan, mereka tentulah akan mencuba sedaya upaya memberi gambaran positif berkenaan ekonomi.

Kalau mereka memberi gambaran yang muram, masyarakat akan hilang keyakinan dan pertubuhan yang mereka wakili susah untuk berniaga dan mencari keuntungan.

Jadi apabila ahli ekonomi atau penganalisis yang mewakili kerajaan, badan-badan pelaburan, bank-bank dan broker saham memberi gambaran positif mengenai ekonomi, kita haruslah berwaspada dan tidak menelan bulat-bulat.

Secara peribadi, saya lebih yakin kepada ahli ekonomi yang mewakili institusi-institusi penyelidikan bebas dan universiti. Misalnya baru-baru ini, ahli ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, kita perlu memberi lebih keutamaan kepada ekonomi sebenar daripada ekonomi yang berasaskan statistik.

Saya menganggap pandangan beliau sebagai bebas dan berwibawa bukan sahaja kerana beliau tidak bekerja untuk institusi yang mencari keuntungan, tetapi juga kerana beliau adalah antara ahli ekonomi paling konsisten pandangannya di Malaysia.

Dari segi perangkaan dan mengikut analisis biasa, ekonomi kita tidaklah terlalu teruk. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih berkembang pada kadar 4 hingga 4.5 peratus.

 Bagaimanapun, kadar pertumbuhan KDNK tidak bererti kepada rakyat jelata sekiranya tidak berlaku pembahagian kekayaan. Sebaliknya kebajikan mereka jadi bertambah teruk akibat penghapusan subsidi dan kejatuhan kadar tukaran ringgit yang, secara langsung menyebabkan harga barang dan perkhidmatan naik.

Kadar pertumbuhan 4 hingga 4.5 peratus tidak cukup untuk menampung kenaikan kos sara hidup dan membahagikan kekayaan negara. Apatah lagi berlaku kekangan yang semakin teruk dalam guna tenaga dan gajian.

Seperti yang didedahkan oleh ahli ekonomi dan penyelidik, Dr Muhammed Abdul Khalid, paras gaji naik hanya pada kadar purata tahunan 0.9 peratus di antara tahun 2012 dan 2015.

Tahun lalu, gaji dan upahan meningkat 4.1 peratus. Tapi di kawasan bandar, kadar kenaikan hanya satu peratus. Malah gaji dan upahan di sesetengah tempat seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tidak mencatatkan peningkatan.

Walaupun kenaikan 4.1 peratus bunyinya banyak, keadaan sebenar tidaklah sehebat mana. Bagi mereka dalam kategori gaji pertengahan, kenaikannya hanyalah RM55 sebulan. Gaji purata pekerja kategori ini tahun lalu ialah RM1,855 sebulan.

Di pihak yang lain pula, pengguna dibebankan oleh cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan April tahun lalu. Pelaksanaan GST, pemansuhan subsidi, kenaikan tarif perkhidmatan dan kelemahan nilai ringgit semuanya menyebabkan kos sara hidup meningkat dan kualiti hidup rakyat jelata merudum.

Walaupun kerajaan begitu bangga mengisytiharkan pelaksanaan GST sebagai penyelamat kewangan negara, kesannya kepada rakyat jelata adalah memiskinkan mereka.

Secara tidak langsung kerajaan sendiri menyedari bahawa ekonomi sebenar adalah tidak sebaik yang diuar-uarkan.

Saya rasa hakikat inilah yang menyebabkan kerajaan menggugurkan Wawasan 2020 dan menggantikannya dengan agenda Transformasi Nasional 2050.

Wawasan 2020 menyasarkan 2020 sebagai tahun Malaysia mencapai taraf negara maju. Sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020 pada tahun 1991, ekonomi kita sedang berkembang rancak sehingga ada kalanya melepasi 10 peratus setahun.

Dalam meletakkan matlamat tahun 2020 itu, Dr Mahathir dengan jelas mengatakan bahawa untuk mencapai taraf negara kaya dan maju, ekonomi negara hendaklah berkembang secara konsisten pada kadar 7 peratus setahun.

Tetapi sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98 hingga sekarang, ekonomi negara secara purata berkembang kurang dari 5 peratus setahun.

Suka tidak suka kita memerlukan dasar ekonomi dan belanjawan yang lebih praktikal. Dalam jangka masa pendek dan sederhana kehidupan rakyat jelata akan menjadi bertambah sukar dan mereka perlu belajar lebih berdikari.

Kerajaan tidak lagi boleh diharapkan untuk melindungi mereka. Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa