Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Sunday, December 4, 2016

Bukti video kesan pembalakan: Kali ini dengan bahasa apa pula Nik Amar nak jawab

Rakaman udara bukti penggondolan ‘tanah adat’ Orang Asli

  | December 4, 2016
FMT diberitahu lebih 80% aktiviti pembalakan dilakukan berhampiran penempatan Orang Asli dan menjejaskan kehidupan 13,000 rakyat di 17 pos
VIDEO INSIDE
GUA MUSANG: Rakaman udara yang meninjau kesan pembalakan di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal Balah di Gua Musang nampaknya tidak menyebelahi kerajaan Kelantan, yang mendakwa aktiviti dijalankan mengikut tatacara operasi standard.
FMT diberitahu lebih 80% aktiviti pembalakan dilakukan berhampiran penempatan Orang Asli. Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mendakwa skala pembalakan di kawasan terbabit memberi kesan kepada kira-kira 13,000 orang dan melibatkan 17 pos Orang Asli.
Video daripada Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) menunjukkan banyak bukit-bukau yang gondol, dengan pokok yang ditebang dilonggokkan di satu tempat.
Rakaman juga menunjukkan banyak laluan keluar masuk dibina ke kawasan pembalakan, yang terletak lebih 2 jam perjalanan dari bandar Gua Musang.
Orang Asli yang terkesan mendakwa aktiviti pembalakan sudah mencemari sumber kehidupan mereka.
Menurut seorang Orang Asli, Mohd Nasir Dollah, kawasan yang digondol itu dahulunya tempat Orang Asli bercucuk tanam. “Kawasan yang digondol juga dikatakan digunakan pihak berkepentingan untuk membina ladang rakyat.”
Kerajaan negeri bagaimanapun berkata pembalakan sudah dirundingkan dengan penghulu-penghulu di kawasan yang berkenaan, manakala pimpinan PAS mendakwa Orang Asli terbabit dihasut pihak tertentu.
Dakwaan itu dinafikan oleh Orang Asli dan badan bukan kerajaan.
Sejarah asal nenek moyang musnah
Pada Selasa lalu, 47 Orang Asli diberkas dalam usaha kerajaan negeri membuka laluan kepada pembalak berlesen memasuki kawasan yang dikatakan tanah adat mereka.
Jabatan perhutanan negeri berkata halangan Orang Asli menyebabkan pokok yang ditebang tetapi tidak dapat dikeluarkan mengalami “pereputan nilai”.
Tapi bagi penduduk yang ditemui FMT, aktiviti pembalakan sudah memusnahkan tempat keramat, seperti Gua Cha, yang menempatkan sejarah asal nenek moyang dan kubur keluarga mereka.
“Bila Orang Asli tuntut jawapan kami dikatakan ditipu dan tidak mempunyai bukti, sedangkan kebanyakan Orang Asli mengebumikan jenazah di merata tempat,” kata Nasir, yang membawa FMT melihat sendiri keadaan di Kampung Pos Gob dan Kuala Bering.
Terpaksa minum air berkelodak
Di lapangan, FMT mendapati air sungai di kawasan terkesan berkelodak, manakala ketiadaan pokok menyebabkan tanah menjadi longgar dan menimbus anak-anak sungai.
“Mereka kata mereka ikut SOP. SOP kata dalam jarak 5 rantai dari sungai tapi balak ditebang rapat ke sungai,” kata Nasir.
Menurut orang kampung, sumber air bagi lebih 17 desa terjejas angkara “pembalakan melampau”.
“Kami terpaksa minum dan mandi air berkelodak kerana tiada pilihan lain,” kata Nasir.
Sebelum ini, Timbalan menteri besar berkata pembalakan di Gua Musang itu daripada konsesi dalam Hutan Simpan Kekal Balah.
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pihaknya boleh menghentikan pembalakan jika Putrajaya membayar royalti minyak mengikut perjanjian asal.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa