Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, December 11, 2016

Pembingkas jerat

Aib pembingkas jerat
ADAM A KADIR - 11 DISEMBER 2016
Tun Dr Mahathir Mohamad

SURAT yang membatalkan undangan kepada Tun Dr Mahathir ke majlis naik takhta YDP Agong dan Timbalan baginda pada 13 Disember, 2016 (lusa) adalah luar biasa, kalaupun tidak pernah berlaku. Penanda-tangan surat itu ialah Syed Danial, pemegang mohor besar Raja-Raja. Beliau dipercayai berbuat begitu atas arahan.

Kedua-duanya saya kenali secara peribadi. Seorang, sebagai bos langsung ketika beliau bertugas sebagai perdana menteri; seorang lagi ialah kontemporari saya ketika menjadi siswa di Universiti Malaya dalam tahun-tahun 1960-an.

Bolehlah dibayangkan apabila Tun M menerima surat itu, beliau sebagaimana manusia biasa harus didatangi rasa malu. Jika Tun M hadir juga, beliau akan menghadapi embarrassment yang diterjemahkan sebagai ‘kesipuan’ oleh Syed Danial. Pun begitu, inilah pertama kali saya mendengar istilah itu dalam bahasa Melayu.

Mungkin ‘kesiluan’ lebih tepat daripada ‘kesipuan’ memandangkan embarrassment ialah perasaan dan bukan memekan. Namun begitu apabila pembatalan itu terdedah kepada orang ramai melalui media sosial dan media massa, perasaan rendah diri itu bertukar menjadi aib di sisi orang ramai.

Perkataan yang berasal daripada bahasa Arab ini amat dalam maknanya. Ia adalah asas kejatuhan maruah yang boleh mengakibatkan permusuhan, pertentangan malah peperangan. Ini sudah sedia kita ketahui melalui pembacaan terhadap sejarah Arab sebelum dan selepas Islam. Iskandar Zulkarnain dan Genghis Khan menawan sebahagian besar dunia dek membalas dendam kerana ansestor dan mereka sendiri diaibkan.

Api ketika unggun memanggang ikan. Ketika besar, ia membakar rumah. Lagu-lagu lama nyanyian Nona Asiah dan Lena sering memakai lambang ‘api’ dalam lirik lagu-lagu mereka. Salah satunya berbunyi: ‘Jangan bermain api, nanti membakar diri!’. Aib yang dialami Iskandar dan Genghis menggerakkan mereka bertindak, tetapi yang dicurigai kini ialah aib yang dialami Tun M ini akan mengakibatkan libasan ‘ekor pari’ daripada pihak orang lain, bukan Tun M sendiri. Ia mungkin menjadi pembingkas jerat.

Suka atau tidak, mata lebam Anwar Ibrahim akibat dipukul dalam tahanan 17 tahun dulu telah mendapat simpati yang tidak terhingga bukan saja daripada mereka yang pro beliau malah mereka yang anti beliau. Justeru, keputusan PRU 1999 membawa keadaan nyaris-nyaris kepada BN.

Saya sebagai pemimpin akar-umbi Umno di Kuantan rasa cemas terhadap anak buah yang lantang membenci ‘kezaliman’ yang dikenakan kepada Anwar, sedangkan mereka sebenarnya bukan penyokong Anwar. Bahawa mereka berpaling tadah dan mengundi parti Anwar adalah kesimpulan yang logik.

Lihat pula Dr Khir Toyo, ketika itu menjadi MB Selangor. Humor beliau tidak kena pada masa dan tempat. Beliau cuba berhumor, memberikan hadiah penyapu kepada seorang pegawai yang terbukti lemah prestasinya. Tidak disangka-sangka, gambar pemberian penyapu itu disiarkan oleh media berleluasa. Individu kecil dan besar, tua dan muda, suri rumah tangga, orang-orang kampung dan kota, baik penganggur atau pemakan gaji, menyaksikan sendiri dengan mata kepala mereka perbuatan aib itu.

Pemimpin-pemimpin di atas Khir di Putrajaya dan PWTC hanya melepas tangan apabila aset sudah menjadi liabiliti. Memasuki pilihan raya dengan membawa segala yang disebutkan di atas itu menjaminkan satu bebanan besar. Maka, buat pertama kali sejak 1959, Selangor terlucut dari tangan Umno-Perikatan/Umno-BN. Untuk Umno-BN, ia boleh dikarikaturkan sebagai PRU Penyapu. Kehilangan Selangor ialah kehilangan paling besar. Ini kerana Selangor secara tersendiri sudah mencapai tahap negara maju, berdasarkan ukuran hasil mahsul, jumlah rakyat berpendidikan, jumlah doktor, jurutera, profesional, akademik, karyawan dan kemudahan sosial dan infrastruktur.

Memang benarlah apa yang dikatakan Tun M bahawa majlis diraja itu ialah majlis negara dan bukan majlis politik. Orang-orang kampung dalam cawangan Umno pimpinan saya pun tahu hakikat itu. Apa lagi kawan-kawan saya tinggi dan rendah di Lembah Kelang.

Meskipun PM Malaysia tidak begitu kuat dari segi senjata dan ekonomi, namun depangan kuasa beliau mengatasi banyak ketua kerajaan di dunia. Yang terkini, Presiden Brazil dan Presiden Korea boleh didakwa, dan mungkin didapati bersalah, justeru dihukum.

Di sini, penamatan tugas oleh Peguam Negara, Pesuruhjaya SPRM dan Gabenor Bank Negara akibat bahang 1MDB mencerminkan kuasa PM. Justeru, menurut yang kelihatan kini, PM Malaysia tidak mungkin menghadapi nasib seperti kedua-dua presiden itu.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa