Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, December 3, 2016

Tembak Di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu: Tiga Maut, Empat Cedera dan dua direman

Kes Tembak: Dua Direman Bantu Siasatan
mStar: Diterbitkan: Jumaat, 2 Disember 2016 11:59 AM
GEORGE TOWN:  Pengawal peribadi yang menembak mati bosnya dalam satu insiden tembak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada Khamis direman selama tujuh hari.

Lelaki berusia 37 tahun itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan insiden yang turut meragut tiga nyawa manakala empat yang lain cedera.

Lelaki itu dipercayai mengamuk sebelum menembak mati bosnya yang dikenali sebagai Datuk Ong Teik Kwong dan dua lelaki lain.

Ahli perniagaan berusia 31 tahun yang turut berada di dalam kenderaan bersama Ong turut direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Pengawal peribadi itu berada di dalam kenderaan bersama dengan Ong dan seorang lagi lelaki apabila suspek secara tiba-tiba menembak bosnya itu.

Dua lagi lelaki yang maut dalam insiden kira-kira pukul 7.30 malam itu merupakan seorang pemandu dan juga seorang penunggang motosikal.

Pengawal peribadi itu ditahan di lokasi kejadian pada malam Khamis.

Tiga Maut, Empat Cedera Kejadian Tembak Di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu
Diterbitkan: Khamis, 1 Disember 2016 9:22 PM
Oleh: TAN SIN CHOW
editor@mstar.com.my
Jurukamera RTM, Mohd Amirul Amin dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan selepas ditembak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Foto: Bernama

GEORGE TOWN: Tiga orang termasuk seorang 'Datuk' maut dalam kejadian tembak  di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Khamis.

Kesemua mereka berada di dalam kenderaan masing-masing ketika kejadian pukul 7.30 malam ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kejadian tembak itu dan siasatan sedang dijalankan.

Difahamkan, mangsa keempat dalam kejadian itu merupakan seorang wanita telah mengalami kecederaan serius selepas ditembak dan telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Salah seorang mangsa mati ditembak di bahagian kepala

Selain itu, seorang jurugambar dari RTM, Muhamad Amirul Amin Amir yang menunggang sebuah motosikal turut ditembak di bahagian dada ketika melalui tempat kejadian.

Jelas Muhammad Amirul,28, ketika kejadian berlaku dia bersama kawannya, Mohamad Iskandar Osman dalam perjalanan menuju ke Pesta Pulau Pinang.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku sepanjang jalan menuju ke Jambatan Pulau Pinang.

Pengawal Peribadi 'Naik Marah' Sebelum Tembak Bos Sendiri
Diterbitkan: Jumaat, 2 Disember 2016 12:50 AM
Oleh: THE STAR
Polis melakukan siasatan di tempat kejadian. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Salah seorang mangsa tembakan yang tercedera telah menelefon dan memberitahu seseorang bahawa 'pengawal peribadi naik marah' sebelum dia menembak mati bosnya yang bergelar Datuk.

Menurut seorang saksi yang membuat laporan polis pada Khamis, dia ternampak seorang lelaki dalam keadaan berdarah di muka dan dahi ketika sedang memandu di
Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Dia beranggapan lelaki itu mungkin terlibat dengan kemalangan, dan seterusnya menawarkan pertolongan untuk menghantar ke hospital.

Menurut laporan yang dibuat oleh seorang wanita, ketika dalam perjalanan lelaki tersebut meminta izin untuk menggunakan telefon bimbit miliknya bagi menghubungi ahli keluarga.

Dia kemudian mendengar lelaki itu menyebut 'pengawal peribadi naik  marah" dan 'tailo' (bos) sudah mati. 

Dia juga turut terdengar lelaki itu memberitahu bahawa pengawal peribadi tersebut telah memukulnya di kepala menggunakan pistol.

Lelaki itu juga turut membuat panggilan kedua dan memberitahu bahawa semua barang-barang dan begnya berada di dalam kereta bos.

Saksi berkata, sebaik sahaja mendengar perbualan tersebut, dia terus menurunkan lelaki itu di sebuah stesen minyak kerana takut.

Kejadian tembak yang berlaku pukul 7.30 malam Khamis menyebabkan tiga orang maut termasuk Datuk, dan empat cedera.


Polis berjaya menangkap seorang suspek penembak yang juga merupakan pengawal peribadi kepada Datuk yang ditembak itu.

'Datuk' Ditembak Pengawal Peribadi Sendiri
Diterbitkan: Khamis, 1 Disember 2016 10:27 PM
Oleh: CRYSTAL CHIAM SHIYING
editor@mstar.com.my
GEORGE TOWN: Suspek yang melepaskan tembakan dan membunuh seorang Datuk serta dua yang lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu telah ditangkap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, penembak tersebut merupakan pengawal peribadi kepada Datuk yang ditembak dan turut berada bersama di dalam kereta mangsa.

"Seorang lagi penumpang di dalam kereta itu cuba melarikan diri, namun suspek terus melepaskan tembakan ke arahnya," katanya pada sidang media Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan individu yang bergelar Datuk itu  ialah Ong Teik Kwong, 32.

Polis masih menyiasat punca kejadian berlaku.

Seramai empat orang turut tercedera dalam kejadian itu.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa