Azzuddin tak layak ke AFF
13 Jun 2013
SETELAH melihat kegagalan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad untuk menyelesaikan banyak perkara dalam badan induk bola sepak itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali kini mempersoalkan kredibiliti Azzuddin sekiranya beliau memegang jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).
Menurut Khalid, adakah relevan seseorang itu berpindah ke jawatan yang lebih tinggi memandangkan tugas yang dipegang beliau sebelum ini gagal dilaksanakan dengan baik.
“Bukan saya tidak bersetuju dengan kenaikan pangkat Azzuddin, tapi kita harus melihat dari prospek yang lebih jauh. Apa kemajuan yang dilakukan Azzuddin dalam FAM? Apa yang saya lihat FAM masih dalam kepincangan.
“Saya tidak perlu cakap banyak kerana saya rasa ramai pemerhati yang lebih arif dalam hal ini. Cuma bagi saya ia tidak relevan kerana dalam FAM pun dia masih belum tahu memainkan peranannya sebagai Setiausaha Agung, bagaimana dia nak memegang jawatan yang lebih tinggi di AFF,” jelas khalid ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Presiden Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang menganggap Azzuddin semakin hilang kewibawaan yang membuatkan beliau gagal memainkan peranannya dalam urusan urus setia persatuan tersebut.
Bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Annuar Musa, Khalid turut menyarankan agar Azzuddin muhasabah diri terlebih dahulu sebelum memikirkan perkara yang lebih jauh.
“Annuar mungkin lebih tahu sebab sebelum ini dia adalah bekas Timbalan Presiden FAM dan dia mungkin rapat dengan Azzuddin. Tapi kalau melihat memang banyak kelemahan yang berlaku dalam urus setia FAM.
“Dan sebab itu saya rasa Azzuddin harus buktikan dulu kredibiliti dia dalam menyelesaikan masalah dalam FAM, sebelum pergi ke AFF,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya dakwaan Azzuddin yang menganggap kenyataan Annuar Musa yang mengatakan beliau sebagai punca masalah dalaman FAM itu lebih kepada ‘serangan peribadi, Khalid berkata, “terpulang kepada orang yang mahu menerimanya.
“Tapi saya rasa kritikan Annuar itu adalah menyeluruh dan bukan sahaja kepada Azzuddin, kenapa pulak dia perlu terasa. Bagi saya Azzuddin haruslah professional, jangan asyik nak makan cili sahaja,” jelas Khalid dengan nada ketawa.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa