Merayau di Chow Kit tanpa arah
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
Raub: Remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan melarikan diri
dari rumah dengan ditemani bapa saudaranya berusia 16 tahun kerana takut
dimarahi selepas mengetahui gurunya akan memaklumkan kesalahan disiplin
yang dilakukan di sekolah kepada ibu bapanya, didapati bersembunyi di
sebuah bilik sewa seorang lelaki yang menumpangkan mereka sepanjang lima
hari berada di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Muhammad Alif Nazmi Zalmi dan Muhammad Aidil Ahmad,
yang juga pelajar tingkatan dua dan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Gali, di sini, ditemui selamat selepas pemuda berusia 28 tahun
itu menghantar mereka ke pondok polis di Chow Kit, Kuala Lumpur, pagi
semalam.
Lelaki itu bertindak demikian selepas membaca berita
mengenai kehilangan remaja terbabit yang disiarkan Harian Metro,
kelmarin.
Difahamkan, sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak
melarikan diri dari rumah di Kampung Pintu Padang, di sini, Selasa lalu,
dua bersaudara terbabit tidak keluar dari bilik sewa berkenaan dan
memaklumkan kepada pemuda yang bekerja sebagai juruteknik itu bahawa
mereka datang ke ibu kota untuk mencari pekerjaan.
Menceritakan kejadian itu, ibu kepada Muhammad Alif, Nor Hayazi Shahdan,
39, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anggota polis
kira-kira jam 12 tengah hari semalam yang memaklumkan anak kedua dan
sepupunya itu berada di pondok polis di Chow Kit.
Katanya,
mendengarkan perkara itu, dia dan suaminya, Zalmi Bahudin, 42, bergegas
ke Kuala Lumpur untuk mengambil remaja terbabit.
“Setibanya di
sana, kami dimaklumkan seorang lelaki menghantar anak dan sepupu saya
ke pondok polis Chow Kit apabila mengetahui remaja yang ditumpangkan itu
sebenarnya lari dari rumah selepas dia terbaca berita itu di Harian
Metro.
“Saya tidak sempat bertemu lelaki itu kerana difahamkan
dia terus ke tempat kerja selepas menghantar Muhammad Alif dan Muhammad
Aidil ke pondok polis pagi tadi (semalam).
“Saya berterima
kasih atas keprihatinan dan budinya yang menumpangkan anak serta sepupu
saya di bilik sewanya sepanjang berada di Kuala Lumpur dan jika tidak,
saya tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka,” katanya ketika
dihubungi, di sini, semalam.
Ibu kepada tiga anak itu berkata,
Muhammad Alif memberitahu dia melarikan diri kerana takut dimarahi
akibat kesalahan yang dilakukannya di sekolah, namun kami sekeluarga
ingin melupakan perkara itu.
Nor Hayazi berkata, anaknya itu
juga memaklumkan ketika tiba di Kuala Lumpur pada Selasa lalu, mereka
merayau-rayau di sekitar Chow Kit sehingga tengah malam tanpa arah
tujuan sebelum terserempak dengan lelaki terbabit yang kemudian
mempelawa mereka tinggal di bilik sewanya berhampiran Chow Kit.
“Namun, selepas terbaca laporan di Harian Metro kelmarin, baru dia
tahu yang anak dan sepupu saya itu sebenarnya lari dari rumah
menyebabkan pemuda itu mengambil keputusan menyerahkan mereka kepada
polis,” katanya.
“Syukur, kini semuanya selamat dan saya berharap kejadian ini tidak akan berulang lagi,” katanya.
Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan panik mengetahui guru akan
memaklumkan kesalahan disiplin dilakukan di sekolah kepada ibu bapanya,
seorang remaja berusia 14 tahun nekad melarikan diri dari rumah dengan
memberikan alasan pergi bermain bola sepak bersama rakan dalam kejadian
di Kampung Padang Pintu, pada Selasa lalu.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa