Menyorot kembali ketika beusia 18 tahun, imej 'Puteri Reformasi' telah berjaya membantunya mencecah garisan penamat sewaktu pemilihan parti pada 2010 dan dua pilihan raya umum.
Tetapi suasana yang menyelebungi isu petisyen tersebut, yang dihebahkan dalam laporan berita dan blog, mungkin boleh mencalarkan reputasinya itu.
Dalam melaporkan mengenai petisyen tersebut, beberapa organisasi berita mengaitkan Nurul dengan lelaki lain, dengan sebuah portal berita mencungkil bahan gosip, tetapi kemudian membuangnya dari artikel asalnya.
Ada yang menyifatkan ibu kepada dua orang anaknya mempunyai potensi menjadi perdana menteri wanita pertama di negara ini. Tetapi apakah dia dapat mengharungi keributan ini? Dan sebagai peneraju utama dalam PKR, apakah bentuk kesannya terhadap parti itu?
Satu sumber dalaman parti yang rapat dengan Nurul, yang tidak
mahu namanya disebut, bersetuju - sama ada ianya betul atau tidak - bahawa petisyen itu difailkan tidak sesuai langsung dengan masanya.
Dengan pencalonan untuk pemilihan parti dijangka berlangsung Mac ini, Nurul telah menghulurkan "peluru" kepada pengkritiknya - di dalam dan luar PKR - apabila dia memilih untuk memfailkan petisyen tersebut akhir bulan lalu.
"Apabila (rekahan dalam perkahwinannya) muncul, kami telah menjelaskan risikonya kepadanya. Kami memberitahunya: 'Jika anda tidak dapat menyelesaikannya, lambat laun ia akan terbongkar juga'.
"Ya, dia memang mempunyai masalah dalam perkahwinannya, tapi selalunya ada dua pihak... Dia mungkin perlu membersihkan namanya.
"Kami telah memberitahunya bahawa dia perlu sedar bahawa jika dia memfailkan (pembatalan perkahwinannya), ia akan memberi kesan kepada kerjayanya dan parti," kata seorang pemimpin PKR.
Menurut pemimpin tersebut, sama ada dilanda krisis peribadi ini ataupun tidak, pengaruh Nurul dalam PKR mampu membolehkannya mempertahankan kedudukannya dengan mudah, tetapi kesan sampingannya kepada PKR merupakan kebimbangan yang lebih besar.
Boleh jejaskan sokongan
Seorang ahli yang mengkaji sokongan pilihan raya untuk PKR berkata bukan petisyen perceraian itu yang dibimbangi, tetapi dakwaan wujudnya orang ketiga, boleh menjejaskan sokongan terutamanya di kalangan orang Melayu.
Menurutnya, masyarakat Melayu mempunyai standard yang berbeza untuk ahli politik lelaki dan perempuan - dan seorang wanita yang dianggap sedemikian, akan diadili dengan lebih keras.
"Akan berlaku hakisan teruk (sokongan) dan kita bukan hanya bercakap tentang Kerinchi atau Pantai Dalam (kawasan majoriti Melayu berpendapatan rendah dalam kawasan pilihan rayanya Lembah Pantai)," katanya.
Terdapat juga kekecewaan di kalangan ahli parti kerana selepas begitu banyak serangan terhadap karektor Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini muncul pula satu lagi dakwaan 'skandal' yang perlu diperjelas dan dipertahankan.
Mereka berkata serangan juga boleh datang dari rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat yang menggunakan isu moral sebagai kayu pengukur untuk mengukur kepimpinan.
Mereka juga bimbang perkara itu boleh diseret menjadi tatapan awam melalui proses mahkamah.
"Sama ada kita suka padanya atau tidak, dia adalah simbol parti. Orang akan kaitkan ini dengan Anwar, dia adalah anak perempuannya. Kita perlu melindungi Anwar," kata seorang pekerja parti. - sumber
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa