Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, January 26, 2014

Nurul Izzah sasaran seterusnya gunting dalam lipatan PKR

Alyaa Alhadjri


PETALING JAYA: Adakah Nurul Izzah Anwar bakal menjadi mangsa seterusnya seteru dalaman PKR? Dari cara permohonan perceraiannya dijadikan isu, begitu kelihatannya.

Selepas Menteri Besar Selangor; Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditekan penentangnya dalam PKR, spekulasi timbul yang Nurul, naib presiden parti itu, adalah sasaran seterusnya.

Bukannya satu rahsia yang Nurul dan ibunya, presiden PKR; Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail, ‘satu kapal’ dengan Khalid.

Menjelang pemilihan parti, tidak mustahil yang pesaing mereka menganggap mereka berdua sebagai ancaman.

Serangan pertama telah dilakukan sebaik sahaja media melaporkan yang Nurul Izzah telah memfailkan permohonan beliau untuk membatalkan perkahwinannya, dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, kepada Mahkamah Rendah Syariah pada 16 Disember tahun lalu.

Sumber dalaman parti itu memberitahu theantdaily yang dia menyedari adanya pihak dari dalam parti itu sendiri yang menyebarkan berita ini di laman sosial, dan menyindir terhadap Nurul Izzah.

“Laporan itu tiba kebetulan dekat masanya dengan pemilihan parti. Selepas Tan Sri Khalid menjadi sasaran, nampaknya sekarang tiba giliran YB (Nurul Izzah).

“Menurut laporan, pemfailan mahkamah itu bertarikh 16 Disember tetapi sekarang sudah pertengahan Januari. Kenapa baru sekarang berita ini didedahkan?” tanya sumber ini.

Sumber ini menambah yang ianya taktik yang sama digunakan terhadap pentadbiran Khalid di Selangor, yang sebelum ini diserang pemimpin dan penyokong timbalan presiden PKR; Azmin Ali.

Pada 22 Januari, Khalid mendedahkan 11 dokumen, termasuk minit satu mesyuarat exco bertarikh 13 November tahun lepas, melibatkan pembatalan kontrak Azmin sebagai ahli lembaga PKNS.

Pertelingkahan antara Khalid dan Azmin berlarutan dua minggu lalu, apabila persoalan ditimbulkan sama ada pembatalan kontrak Azmin ini sah atau tidak.

“Mereka harus ingat, jangan dituba kolam sendiri. Hari ini hari mereka, esok lusa mereka yang kena,” tambahnya apabila diminta mengulas serangan ini.

Dalam sebuah respon serta-merta terhadap laporan ini, Nurul Izzah dan suaminya mengeluarkan kenyataan bersama, yang menyatakan komitmen mereka dalam mempertahankan perkahwinan mereka.

“Kami sangat kecewa dengan usaha menjaga tepi kain kami ini, dan kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan ikatan ini. Keluarga adalah keutamaan kami.

“Kami hargai sokongan yang kami terima, dan minta semua pihak menghormati hal peribadi kami,” jelas pasangan itu.

Beberapa jam selepas laporan ini timbul, versi atas-talian akhbar bahasa Inggeris; The Star melaporkan sumber rapat keluarga Nurul Izzah sebagai berkata yang Nurul Izzah dijangka menarik balik permohonan perceraiannya itu pada 24 Januari.

Sementara itu, khabar perceraian mereka turut menarik simpati dan sokongan terhadap Nurul Izzah, jika dilihat dari komen pembaca pada laporan berita pelbagai portal berita.

“Sudah tentu ini isu peribadi. Tabahlah Nurul. Negara ini memerlukan anda,” tulis seorang pembaca, sementara seorang lagi berkata, “YB Nurul Izzah, kami hormati anda sebagai ahli politik yang bagus dan dihormati. Kami mahu anda terus memperjuangkan masa depan Malaysia.”

Pada 23 Januari, pegawai mahkamah dilaporkan mengesahkan yang kes perceraian ini telah berada dalam rekod mahkamah, dan ia akan disebut semula oleh Hakim Ab Malek Awang pada 8 Februari.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa