Mahukan perubahan? Biar masa menentukannya – Aspan Alias
Di negara ini semuanya sudah menjadi isu politik. Dari salah guna
kedudukan dan rasuah oleh pimpinan negara, isu menjalar sampai ke
kangkung di parit-parit dan longkang-longkang di negara ini.
Isu kangkung menyebabkan Pemuda Umno di Pulau Pinang menjadi berang
kerana seorang Adun PR menyumbat kangkung ke dalam mulut patung Najib.
PR pula satu hal, sudah tahu Umno bersikap kebudak-budakkan, Adun PR pun
sama juga kebudak-budakkannya.
Semua pihak mudah melatah dan semua pihak suka bergaduh dan berperang
mulut setiap hari di setiap tempat di negara ini. Agama menjadi isu
politik kerana dengan menggunakan isu agama itu boleh melekatkan
pandangan manusia yang melihatnya.
Semua di antara mereka baik daripada pihak kerajaan mahu pun
pembangkang, semua tunjuk garang tetapi sampai mana garang mereka itu
belum diketahui oleh sesiapa pun.
Hanya isu ini dijadikan landasan bagi setengah orang yang keciciran
sokongan mahu mendapatkan semula perhatian akan menggunakan apa sahaja
isu sampaikan isu kangkung pun boleh membawa berdemonstrasi.
Di Pulau Pinang mereka yang bernama pemimpin pun berlagak seperti
aktivis, seperti Rizal Merican dan Musa Sheikh Fadzir. DAP pula dalam
keadaan “honeymoon” kerana mereka buat kali kedua penggal mendapat
menguasai kerajaan Pulau Mutiara itu.
Mereka sudah beranggapan sudah sampai ke tahap ‘invincible’ dan berasa
tidak boleh diganggu-gugat lagi oleh sesiapa sekarang ini. Mereka sudah
merasakan sedikit kuasa politik dan berasa lebih tinggi daripada
undang-undang walaupun selalu mengkritik BN selalu melanggar
undang-undang.
DAP sudah menjadi seperti Dr Mahathir dahulu, yang membenci apa sahaja
yang menghalang kemahuannya. Parti itu mahukan semua perkara yang
melibatkan salah laku mereka itu didiamkan sahaja dan RoS perlu mengikut
telunjuk dan kemahuan mereka sahaja.
Bagaimana RoS hendak mengiktiraf barisan CEC sedangkan penyiasatan
terhadap aduan ahli-ahli yang ramai itu belum ada kesudahannya. Banyak
“complaint” rasmi yang dibuat ramai ahli daripada banyak cawangan belum
selesai penyiasatan yang dilakukan oleh RoS itu.
PKR sedang menghadapi krisis yag bukan kecil akhir-akhir ini. Timbalan
Presidennya, Azmin Ali sedang berperang dengan Menteri Besar Selangor
yang dikatakan memecat Azmin daripada Perbadanan Kemajuan Negeri
Selangor.
Akhirnya tuduh menuduh di antara satu dengan lain berlaku dan tidak ada
siapa yang mengaku melakukan pemecatannya. Ironinya Azmin sudah pun
terpecat dan tidak ada siapa mengaku memecat beliau sehingga Ketua
Pembangkang Anwar mengumumkan yang Azmin masih ahli lembaga pengarah
PKNS sehingga ke hari ini.
Inilah contoh-contoh parti dan pemimpin yang menawarkan diri menjadi
“alternative” kepada BN. Siapa yang berfikir dalam-dalam akan merasa
hairan bagaimanalah mereka ini berkelakuan jika diberikan kepercayaan
oleh rakyat untuk menggantikan Umno dan BN yang kini sedang dalam
ketenatan itu? Mereka ini juga tidak kurang menakutkan ramai jika
berkuasa.
Belum pun berkuasa di Putrajaya sudah kita lihat sikap dan tahap
kejujuran mereka untuk menjaga rakyat dan negara. Baik DAP dan PKR
mereka sedang berperang sesama sendiri kerana mereka sudah merasa
sedikit sebanyak kuasa di peringkat negeri buat seketika ini. Kedua-dua
parti itu menampakkan dengan jelas mahu menguasai parti masing-masing
oleh kroni dan keluarga masing-msing.
Itu sebabnya ramai yang menulis email kepada saya yang menzahirkan
tidak ada perubahan jika perubahan itu tidak berlaku dalam Umno. Elok
semua pihak menumpukan perubahan dalam Umno daripada melakukan perubahan
dari luar kerana yang di luar itu pun bukan sebaik mana keadaan mereka.
Setelah Umno berubah dengan drastik barulah budaya mengubah untuk
kebaikan parti masing-masing boleh berlaku. Sementara menunggu perubahan
itu rakyat jugalah yang menanggung segala perit maungnya.
Sampai bila rakyat harus menunggu, biarlah masa menentukannya. – aspanaliasnet.blogspot.com, 20 Januari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa