Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Pengalaman bersama seorang suami warga Nigeria dan tiga teman lelaki dari negara sama membolehkan seorang wanita tempatan berusia 42 tahun pakar dalam teknik penipuan ‘African Scam’.
Difahamkan, wanita yang berstatus janda anak tiga itu pernah ditahan bersama teman lelakinya seorang lelaki warga Nigeria bulan lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis sebelum menyertai sindiket lain pula.
Sumber polis berkata, lebih mengejutkan wanita berkenaan menjadi dalang utama bagi menipu mangsa terutama wanita tempatan dengan menyamar sebagai pegawai kastam dan imigresen.
“Dengan pembabitannya dalam sindiket African Scam sejak bercinta dengan tiga teman lelaki warga Nigeria itu, dia sudah memperoleh keuntungan antara RM1.2 dan RM2 juta.
ABD Jalil menunjukkan pasport seorang anggota sindiket African Scam
“Wanita itu yang pakar dalam teknik penipuan juga dijadikan ejen perkhidmatan kurier bagi anggota sindiket, malah sanggup bercinta dengan dua lelaki warga Nigeria lain dalam tempoh sama bagi membolehkan dia memperoleh keuntungan lebih,” katanya.
Sumber berkata, pembabitan wanita itu secara aktif dalam kegiatan African Scam terbongkar selepas sepasukan polis dari Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan bantuan Pasukan Khas JSJK menyerbu beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, semalam.
Mengulas lanjut mengenai sindiket berkenaan, Timbalan Pengarah Bahagian Risikan dan Operasi, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, sindiket berkenaan yang dianggotai lima lelaki Nigeria dan 10 warga tempatan termasuk tujuh wanita itu ditumpaskan selepas seorang wanita warga Singapura membuat laporan ditipu RM550,000 sejak enam bulan lalu.
Beliau berkata, mangsa berusia 60 tahun itu yang juga seorang ahli perniagaan di Johor Bahru berkenalan dengan seorang daripada suspek yang menyamar sebagai lelaki warga Ireland melalui laman sosial Facebook sejak Julai lalu.
“Selepas menjalin persahabatan, lelaki itu yang kononnya sayang dengan mangsa menyatakan niatnya untuk menghantar hadiah mengandungi wang tunai 750,000 pound sterling (RM4,089,719.78) kepada mangsa.
“Seperti yang dijanjikan, pada 21 Ogos lalu, mangsa menerima e-mel kononnya daripada Jabatan Kastam yang bungkusan berkenaan sudah tiba di Malaysia, tetapi mangsa diminta membuat pembayaran cukai kastam dan eksais untuk mendapatkan bungkusan berkenaan,” katanya pada sidang media, semalam.
Beliau berkata, mangsa yang percaya pada lakonan anggota sindiket itu membuat 12 transaksi ke atas empat akaun bank tempatan dalam tempoh enam bulan membabitkan kerugian RM550,000 dan akhirnya tersedar dirinya tertipu sebelum membuat laporan polis pada 21 Januari lalu.
Susulan laporan polis dibuat mangsa, Abdul Jalil berkata, JSJK Bukit Aman membuat intipan dan serbuan di beberapa kawasan di Lembah Klang sebelum menahan semua suspek termasuk tujuh wanita tempatan.
“Semua suspek berusia 25 hingga 40 tahun. Bersama mereka, polis turut merampas 14 buku akaun simpanan pelbagai bank, 21 kad ATM, 10 telefon bimbit dan sebuah komputer riba dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
“Sebaik ditahan, kelima-lima lelaki warga Nigeria itu mendakwa memasuki negara ini menggunakan visa pelajar dan selain mendakwa wang penipuan itu digunakan untuk membayar yuran pengajian dan selebihnya dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya.
Siasatan mendapati, lebih RM1.2 juta sudah dimasukkan ke dalam akaun wanita itu (dalang).
Beliau berkata, salah seorang wanita tempatan yang ditahan itu didapati menjadi dalang utama dalam sindiket berkenaan dan dia juga adalah teman wanita kepada salah seorang lelaki Nigeria terbabit.
“Wanita berkenaan boleh dikatakan pakar dalam penipuan jenis ini berikutan memiliki rekod jenayah lampau membabitkan jenayah penipuan selain pernah ditahan bersama teman lelaki lain dalam Ops Tiong.
“Kita mendapati lebih RM1.2 juta sudah dimasukkan ke dalam akaun wanita itu selepas bergiat dalam sindiket ini,” katanya.
Abdul Jalil berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan suspek sudah mengaut lebih RM7.8 juta dalam tempoh dua tahun membabitkan ramai mangsa di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa