Oleh KHAIRIYAH HANAFI
MELIHAT pada raut wajah lelaki berkulit sawo matang ini, tiada siapa percaya jika dikatakan anak kelahiran Sulawesi Tengah, Indonesia ini pernah kecundang sebanyak empat kali dalam kehidupan berumah tangga.
Tambahan pula lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Suhardi ini popular dalam kalangan jemaah surau di sebuah kawasan perumahan di Kajang, Selangor kerana kebaikan dan sifat mudah mesra yang ditunjukkannya.
Menyingkap kisah hidupnya sepanjang berumah tangga dengan empat orang wanita, lelaki berusia 45 tahun itu menganggap peristiwa silamnya sebagai satu ujian dan putaran hidup yang berjaya mengubah kehidupannya menjadi lebih sempurna.
“Keluarga saya bukan daripada golongan orang berada mahupun sederhana. Disebabkan itu, saya bekerja untuk menyara kehidupan keluarga dan tidak pernah bersekolah.
Dewasa
“Oleh sebab selalu bercampur gaul dengan orang dewasa dan melihat orang sekeliling saya semuanya sudah mendirikan rumah tangga, saya jadi teringin sehingga memaksa ibu mencarikan jodoh untuk saya,” ujarnya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Kira-kira tiga bulan selepas hasrat tersebut diusulkan kepada ibunya, Suhardi selamat diijabkabulkan dengan seorang gadis bernama Seri seawal usianya 17 tahun.
“Status remaja yang dipegang oleh kami bukan penghalang bagi saya dan Seri untuk mengecapi nikmat bahagia berumah tangga.
“Kehidupan harian saya sungguh indah dan sempurna. Lebih-lebih lagi apabila melihat saya kini mempunyai isteri sama seperti lelaki lain,” jelasnya.
Namun begitu, pernikahan tersebut bertahan tidak sampai setahun. Suhardi mula jelak dengan kehidupan berumah tangga dan nekad menceraikan Seri.
Tiga tahun memegang status duda, Suhardi berkenalan pula dengan Rawu. Sifat manja yang dipamerkan gadis itu membuatkan Suhardi jatuh cinta kepadanya.
Setahun menyulam kasih, Suhardi dan Rawu berkahwin. Ternyata, keputusan itu tidak salah apabila kehidupan mereka bahagia umpama Romeo dan Juliet.
Namun begitu, pepatah Melayu ada mengatakan, kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Peristiwa yang berlaku enam tahun sebelumnya berulang kembali.
“Saya mudah jemu dengan wanita. “Perkahwinan dengan Rawu juga gagal. Bezanya kali ini, perkahwinan kami bertahan kira-kira tiga tahun,” katanya malu-malu.
Sewaktu usianya menjangkau angka 23, Suhardi mengakui dia sudah matang dalam merencanakan kehidupan harian. Suhardi kemudian berhijrah ke Malaysia untuk memulakan kehidupan baharu.
Dia ditawarkan bekerja sebagai pelayan restoran di sebuah kedai makan di sebuah stesen bas di Kuala Lumpur. Walaupun pada waktu itu dia hanya menerima gaji RM20 sehari, namun itu sudah memadai untuk menampung perbelanjaan hariannya.
Hidup bersendirian di tengah-tengah kota metropolitan menyebabkan Suhardi mudah terikut-ikut dengan rakan-rakan. Tidak sampai dua bulan tiba di Malaysia, Suhardi sudah pandai menjejakkan kaki ke kelab malam.
Kehidupan Suhardi berubah menjadi liar. Hampir setiap hari dia mengunjungi kelab-kelab malam tersebut untuk berhibur. Disebabkan itu juga, dia sering lewat ke tempat kerja sehingga menyebabkan dia dibuang.
“Biasalah apabila budak remaja baru hendak rasa hidup, kalau boleh semua benda mahu dicuba.
“Tetapi keseronokan tersebut tidak lama. Saya pulang semula ke kampung berikutan kematian ibu dan mahu menjaga adik-adik yang masih kecil,” katanya.
Hamil
Menurut Suhardi, gaya hidup bebas di Malaysia terbawa-bawa ke kampung halaman. Lebih teruk apabila keadaan tersebut menyebabkan seorang gadis hamil, hasil daripada hubungan haram yang dilakukan.
“Saya ingat lagi pada waktu itu ibu bapa kepada gadis tersebut begitu marah dan memaksa kami bernikah.
“Disebabkan sedar perkara tersebut memang salah saya, jadi, dengan paksa rela saya bernikah dengan Dewi. Lapan bulan selepas itu, Dewi selamat melahirkan anak perempuan kami,” ceritanya.
Ujar Suhardi, kelahiran anak yang diberi nama Puteri itu menyebabkan dia semakin sayang kepada Dewi dan mula belajar erti setia. Kurang daripada dua tahun Puteri dilahirkan, Dewi disahkan mengandung zuriat kedua.
“Perasaan saya memang sukar diungkapkan. Siapa yang tidak gembira apabila ahli keluarga bertambah.
“Tetapi Tuhan duga saya apabila Dewi dan anak dalam kandungannya meninggal selepas motosikal yang ditunggang Dewi bertembung dengan lori,” ujarnya.
Selepas kejadian tersebut, hak penjagaan Puteri diambil sepenuhnya oleh mertua Suhardi. Sekali-sekala, Suhardi akan menjenguk anak perempuannya itu.
Walaupun sukar, Suhardi akur dengan suratan takdir dan bangkit daripada kekecewaan hidup demi menyara adik-beradik dan anaknya.
Bukan itu sahaja, Suhardi juga mengaku sepanjang tempoh tersebut, dia mula belajar ilmu agama dan mendekatkan diri dengan menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim.
“Hampir 15 tahun saya menduda. Saya sangka saya tidak akan berkahwin lagi.
“Tetapi siapa saya untuk menolak qada’ dan qadar yang telah ditentukan Yang Maha Kuasa. Pada usia 40 tahun, saya bernikah lagi,” ceritanya.
Pernikahan tersebut mengundang tanda tanya dalam kalangan keluarga. Mana tidaknya, Suhardi berkahwin dengan janda keduanya, Rawu, selepas mereka bertemu semula di rumah seorang kenalan.
“Saya rasa seperti jatuh cinta kali kedua dengan Rawu. Kebetulan dia kekal dengan status janda selepas berpisah dengan saya.
“Disebabkan terharu melihat personaliti Rawu, saya lantas menyuntingnya semula,” katanya.
Jelas Suhardi, pernikahan tersebut tidak mampu bertahan lama. Entah apa puncanya, mereka bercerai selepas dua tahun melayari bahtera sebagai suami isteri.
Bagi mengubat hati luka, Suhardi berpindah ke Malaysia, dan menjalani kehidupan yang lebih sempurna.
“Mungkin saya ditakdirkan hidup membujang sehingga ke tua.
“Seperti hari ini, saya sangat bersyukur dengan apa yang saya ada. Buat masa ini saya tidak terfikir langsung untuk berkahwin lagi,” jelasnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa