Monday, May 5, 2014

Haa....Menangis Pun Boleh Jadi Kaya Ooo.....

Penangis profesional jadi kerjaya
Susunan MUHAMAD ZAID ADNAN
KESIBUKAN ahli keluarga dengan urusan kerja membuatkan penduduk di sebuah daerah di China mengambil inisiatif baharu bagi meramaikan lagi majlis pengebumian ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

Untuk itu, mereka mengupah sebuah kumpulan penangis profesional bagi menangis dan meraung pada majlis pengebumian ahli keluarga mereka kerana amalan itu telah menjadi tradisi keagamaan sejak sekian lama.

Bagi mereka, ketiadaan tangisan pada sesuatu majlis pengebumian menunjukkan si mati merupakan seorang yang tidak disayangi dan memalukan keluarganya.

Pada masa sama, kehadiran kumpulan berkabung itu yang menangis dan meraung dapat menarik orang ramai yang berkabung turut sama menangis kerana sedih.

Bagi Chen Shuqiang, 35, yang mengetuai sebuah kumpulan penangis di daerah Feishan di wilayah Fujian, tenggara China, perniagaan mereka mula berkembang maju sejak kebelakangan ini.

Dengan upah kira-kira 300 pound (RM 1,623), kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang itu akan meraung dengan kuat seperti diharapkan ahli keluarga si mati selain menarik orang lain yang menghadiri majlis pengebumian itu supaya turut sama bersedih.

"Setakat ini, ahli kumpulan berkabung profesional ini dianggotai kebanyakannya wanita muda kerana kurangnya permintaan untuk pelakon lelaki,'' katanya.

Shuqiang berkata, ahli keluarga si mati mahu kumpulannya membuat lebih banyak bunyi bising dan kelihatan terlalu sedih ekoran kematian ahli keluarga mereka.

"Antara cara yang paling mendapat perhatian adalah apabila ada di antara kami sengaja menjatuhkan diri di hadapan keranda selain cuba berebut-berebut kayu pemegang keranda,'' katanya.

Menurut Shuqiang, selain daripada ahli keluarga si mati, mereka turut menerima bayaran daripada rakan-rakan atau kenalan si mati yang terlalu sibuk hingga tidak dapat menghadiri sesuatu majlis pengebumian.

Menjelaskan lebih lanjut tentang kerjayanya itu, Shuqiang berkata, perkhidmatan pelakon itu hampir sama eksklusif dengan pelakon filem dan televisyen.

Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pelakon berkabung itu hampir sama tarafnya dengan mengupah pelakon biasa.

Shuqiang sendiri pernah menjadi seorang penyanyi opera di kawasan pedalaman, namun agak sukar baginya memperolehi wang pada ketika itu hinggalah dia menyedari menjadi seorang penangis profesional mempunyai potensi besar untuk mendapatkan wang.

"Sejak itu, saya tidak pernah mempunyai masalah dengan duit, ia merupakan pekerjaan yang lumayan dan saya masih dapat melakukan apa yang saya suka,'' katanya.

Tambahnya, dia suka untuk berfesyen, membuat lagu dan menari di hadapan orang ramai.

1 comment:

Anonymous said...

Menangis konon .... Buat apa kau menangis di sini, pergi kau menangis di sana! Dialog dari filem Ibu Mertuaku