Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, May 8, 2014

Curfew Di Sabah: Menutup Kelemahan Sendiri

Perintah berkurung di Sabah: Menghukum yang tidak bersalah sambil menutup kelemahan sendiri
V Shuman
Boleh sesiapa jelaskan rasional di sebalik perlaksanaan perintah berkurung di kawasan berisiko tinggi di Pantai Timur Sabah?
Sudah tentu, terdapat banyak insiden pencerobohan dan penculikan di kawasan ini, tetapi apa yang dilakukan penduduk tempatan sehingga gerak-geri mereka terpaksa di sekat dan kehidupan mereka tergendala akibat larangan ini?
Belum jelas lagikah bahawa pencerobohan dan penculikan di sini terjadi akibat kegagalan Badan Keselamatan Timur Sabah (Esscom) yang ditubuhkan selepas insiden Lahad Datu tahun lalu?
Jentera bernilai jutaan ringgit ini sewajarnya memastikan Pantai Timur Sabah tidak diceroboh oleh pendatang asing tetapi di dalam tempoh setahun, kejayaan mereka masih di tahap sifar.
Pada awal Mei, seorang pelancong dari China Yang Zai Lin diculik dari ladang penternakan ikan di Pulau Babi, Lahad Datu oleh penculik yang dipercayai angkatan militan Abu Sayyaf.
Selepas enam minggu, seorang lagi warga China, Gao Hua Yun, 29 tahun, dilarikan dari sebuah resort percutian di Semporna, bersama-sama seorang pekerja Filipina Marcy Dayawan. Mereka masih ditawan sehingga hari ini.
November tahun lalu, pelancong Taiwan Chang An Wei diculik dari Pulau Pm Pom sementara temannya ditembak mati. Dia dilepaskan setelah wang tebusan dilangsaikan.
Apa yang dibuat komando Esscom ketika penceroboh hadir ke pantai Sabah? Esscom merangkumi tiga agensi keselamatan – pihak polis, angkatan tentera serta agensi penguatkuasa maritim Malaysia. Namun, tiada siapa menyedari kejadian berlaku.
Mengapa tiada siapa yang mahu bertanggungjawab? Mengapa tiada perletakan jawatan?
Kini, langkah penyelesaian ialah “Penceroboh datang ke rumah dan mengancam keselamatan saya, maka saya akan mengunci pintu bilik bagi menjaga diri saya”. Hukum mangsa kejadian kerana kelemahan pihak berkuasa.
Pengumuman tentang perintah berkurung ini dibuat Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman baru-baru ini.
Ia mensasarkan kawasan di bawah Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) tetapi lokasi tepat, tempat larangan dan bagaimana ia dikendalikan belum dijelaskan. Ia akan diselia Majlis Keselamatan Negeri yang merangka beberapa strategi bagi menjamin keselamatan warga Sabah.
Pergerakan di beberapa lokasi akan dihadkan mengikut tempoh, lokasi dan keadaan. Permit dari pihak polis juga akan digunakan.
Di beberapa tempat tertentu pula, perintah berkurung sepenuhnya akan dilaksanakan di mana polis akan memantau setiap gerak-geri penduduknya. Aset pasukan keselamatan juga akan dipertingkat termasuk bot berkelajuan tinggi di tempat-tempat yang amat berisiko.
Esscom juga akan disusun-semula terutama dari segi perisikannya. Ini sewajarnya dilakukan setelah insiden pertama lagi.
Menteri Pelancongan Sabah Datuk Masidi Manjun menulis tweet, “Tidak guna cakap berdegar-degar. Harapan kami agar pihak bertanggungjawab melihat ini sebagai cabaran terhadap kredibiliti mereka.”
Satu portal berita turut melaporkan Esscom bakal dirombak. Kita berharap pihak berkuasa boleh melakukannya secepat mungkin. Sama ada ia diperbaiki atau dibubarkan sahaja kerana jelas ini menggunakan jutaan ringgit wang rakyat.
Tidak wajar pendatang yang mencari nafkah di Sabah dipersalahkan begitu saja. Sempadan kita yang seharusnya diawasi pihak ini.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa