Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, July 9, 2014

Bahagia Sungguh Orang Bukit Besi Dan Bukit Diman Di Bawah BN!

Betapa pesatnya pembangunan Terengganu di bawah BN!

Tiada pengangkutan awam, terpaksa 'hitch-hike'
SH - 9 Julai 2014

DUNGUN - Sekalipun menyedari perbuatan mereka mengundang bahaya, kebanyakan penduduk di kawasan Dun Bukit Besi dan Dun Ajil tidak mempunyai pilihan melainkan "hitch-hike" atau kembara tumpang jika ingin ke pekan seperti Ajil, ekoran tiada pengangkutan awam di situ.

Menurut beberapa penduduk, perkhidmatan bas dihentikan kira-kira setahun lalu manakala teksi pula amat jarang melintasi kawasan mereka memandangkan kedudukan yang agak jauh ke pedalaman Dungun dan Hulu Terengganu.

Tinjauan Bernama juga mendapati setiap pagi di sepanjang jalan dari Kampung Bukit Besi sehingga Bukit Diman di Ajil, ada sahaja penduduk yang berdiri di tepi jalan menunggu dan menahan sesiapa sahaja meminta ditumpangkan ke pekan Ajil. 

"Kalau nak ke bandar (Kuala Terengganu), terpaksalah menumpang orang ke pekan Ajil dahulu, ambil bas di situ sebab di sini memang sudah tidak ada bas, teksi pun jarang-jarang ada," kata warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Su Bedah, 65, dari Kampung Felda Jerangau.

"Kami orang susah, mana mampu nak beli kereta sendiri... harapkan bas sahajalah kalau hendak ke mana-mana. Kadang-kadang terpaksa upah orang yang ada  kereta bawa kami ke bandar," katanya sambil mengharapkan perkhidmatan bas diadakan semula di kawasan itu.  

Razak Ali, 60, dari Kampung Jerangau Sungai pula berkata dia terpaksa berbelanja besar sehingga RM30 sebagai tambang teksi untuk ke Ajil, sebelum menaiki bas ke Kuala Terengganu.

"Bayangkan perjalanan hanya sejauh 30 kilometer, tapi tambang sampai RM30 untuk sebuah teksi. Kalau naik ramai-ramai bolehlah kongsi, kalau tidak terpaksa bayar seorang diri," katanya yang hanya bekerja kampung.

Razak berkata jika sebelum ini dia hanya mengeluarkan RM7 sebagai tambang bas untuk ke Kuala Terengganu, kini dia memerlukan sehingga RM70 untuk perjalanan pergi-balik.

"Kampung saya boleh dianggap masih dekat dengan Kuala Terengganu iaitu kira-kira 70 km sahaja, tapi ada kampung lagi jauh ke hulu Dungun sehingga 130 km," katanya yang turut menggesa pihak kerajaan negeri mengambil maklum masalah mereka.

Bagi Saodah Ali, 62, dari Kampung Nerang Jerangau, dia kerap kali terpaksa "mengorbankan" janji temu di klinik harian di Felda Jerangau kerana tiada pengangkutan.

"Dulu, masa ada bas memang mak cik tak pernah lupa untuk pergi ke klinik untuk dapatkan rawatan dan ambil ubat, sekarang payahlah sikit untuk ke klinik sebab kena tunggu cucu atau anak cuti, barulah mak cik dapat ke klinik," katanya. 

Sementara itu, Baidura Maliki, 25, seorang jururawat yang bekerja di  Dungun, berkata beliau sering kali menumpangkan penduduk, terutama wanita, atas dasar simpati.



"Saya difahamkan operator bas SP Bumi hentikan perkhidmatan di sini sebab  kos operasi tinggi," katanya. - Bernama

1 comment:

  1. Apa lagi teksi sapu, buatlah kerja kamu... kerajaan yang ada tak berdaya menyedia pengangkutan awam.

    Mat rempit pun boleh buat duit dengan ambil penumpang.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa