Web hanyalah sekadar platform penerangan (atas kertas) tetapi tentunya rakyat akan menilai dari apa yang diterjemahkan di dunia nyata
Memanglah jual jenama melalui web tidak salah dan tidak ada sesiapa pun melarang
Laman web baharu ucap selamat tinggal 1Malaysia, selamat datang jenama Najib
OLEH EILEEN NG
Published: 11 September 2014
Laman web peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang baru dilancarkan. – Gambar The Malaysian Insider, 11 September, 2014.
Langkah Datuk Seri Najib Razak melancarkan laman web peribadi baharu ialah strategi beliau menggunakan jenama "Najib" bagi mendapatkan lebih sokongan daripada pengundi, terutama generasi muda, kata pengamal media.
Pada masa sama, dengan 'meninggalkan' laman webnya yang terdahulu www.1malaysia.com.my, mungkin perdana menteri itu mahu menjauhkan dirinya daripada jenama yang menerima banyak kritikan dan sarat dengan janji yang tidak dipenuhi.
Rekabentuk laman web baru itu, NajibRazak.com, nampak licin, tetapi masih belum dapat dipastikan keberkesanannya.
Sebelum ini, Najib menggunakan laman web 1Malaysia - konsep yang diperkenalkannya apabila mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan pada 2009 - sebagai laman peribadinya, tetapi tarikan terhadapnya makin pudar sejak Barisan Nasional (BN) hilang banyak kerusi semasa Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).
Jumaat lalu beliau mengumumkan laman web 1Malaysia akan diteruskan dengan penyertaan semua rakyat Malaysia sementara laman yang baru dilancarkan NajibRazak.com akan jadi laman peribadinya.
Seorang pengarang media online menyifatkan perpindahan itu sebagai “big 404” - istilah teknologi komputer apabila 'server' tidak dapat mencari laman yang diminta.
"Saya dapati satu 'big 404' di sana - ia satu kegagalan kerana tiada tindakan di belakang mesej tersebut," kata pengarang eksekutif dan pengasas bersama Digital News Asia, Asohan Aryaduray bercakap tentang jenama 1Malaysia.
Asohan, pemberita veteran yang pernah berkhidmat sebagai pengurus perhubungan awam di Microsoft Malaysia, berkata tindakan Najib melancarkan laman web peribadi baharu mungkin boleh melepaskannya dari konotasi negatif yang dikaitkan dengan 1Malaysia.
"Mungkin ia bukanlah sesuatu yang teruk sangat, kerana dia sendiri tidak pernah menunjukkan sebarang komitmen terhadapnya daripada segi tindakan sebenar.
"Mungkin ada pakar menasihatkannya yang dengan cara ini, dia dapat satu jenama peribadi tanpa perlu membawa bersamanya jenama 1Malaysia yang bermasalah itu," katanya.
Slogan 1Malaysia dikritik sebagai tidak jelas dan hanya cakap kosong oleh mereka yang merasakan pentadbiran Najib membenarkan pertelingkahan antara agama dan kaum menjadi semakin teruk.
"Daripada segi praktikalnya, ia tidak berjaya mendapat tarikan yang diinginkan," kata Ibrahim Suffian, penyelidik dari Merdeka Center for Opinion Research, merujuk kepada kempen 1Malaysia.
Katanya, kempen media sosial yang berkisar Najib sebagai satu 'watak' mungkin akan lebih menarik minat, terutamanya, pengundi muda dan percaya perdana menteri akan menggunakan laman web barunya untuk memanfaatkan jenamanya lebih daripada "konsep kabur" 1Malaysia.
"Laman baru itu menjadikan beliau lebih mudah dihubungi dan boleh mengadakan perbincangan secara peribadi dengan orang muda, tidak seperti 1Malaysia, yang kabur, mempunyai interpretasi maksud yang pelbagai dan tidak disokong sebahagian ahli Umno dan komponen parti BN.
"Paling kurang, jenama Najib berpotensi membina satu tarikan secara langsung. Dia menggunakan karisma dan modal peribadinya bagi menarik terutamanya pengundi muda, dan ini memang masa yang sesuai kerana pembangkang sedang dalam keadaan huru hara," kata Ibrahim.
Walaupun popularitinya sudah menurun, jenama Najib masih lebih popular dari gabungan BN yang diterajuinya.
Februari tahun lepas, Merdeka Center mendapati Najib menerima 61% sokongan pengundi dibandingkan BN yang hanya mendapat 45%.
Satu lagi kajian UMR Research, sebuah pertubuhan antarabangsa berpangkalan di Sydney, Australia yang neutral, dijalankan sebelum PRU13 pada Mei tahun lepas, menunjukkan Najib lebih popular (55%) daripada pesaingnya daripada Pakatan Rakyat, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (48%).
Menjelang PRU13, jenama Najib mendominasi bahan kempen BN seluruh negara dan diberi kepentingan yang sama, atau lebih, daripada bahan promosi calon di kawasan masing-masing dalam usaha memenangi hati golongan atas pagar.
Baru-baru ini, jenama Najib tiba-tiba meningkat popular apabila perdana menteri menggunakan 'diplomasi rahsia' dengan pemberontak Ukraine untuk memulakan pencarian pesawat MH17 yang ditembak serta penumpangnya.
Ibrahim berkata, peribadi Najib yang disenangi membolehkannya menggunakan kualiti itu untuk menarik orang ramai dan mempromosi dasar Putrajaya.
Bagaimanapun, pada masa sama ia juga membuka ruang untuk orang mempersoalkan masalah yang lama dihadapi negara seperti ketegangan antara kaum dan agama, siri tangkapan dan dakwaan mengikut Akta Hasutan serta kos sara hidup yang meningkat.
"NajibRazak.com akan terpaksa menghadapi soalan tersebut secara peribadi dan dia mesti bersedia dengan jawapannya," kata Ibrahim.
Asohan berkata, NajibRazak.com memerlukan bahan sebenar, didokong tindakan konkrit, jika tidak ia akan berakhir sebagai satu lagi kempen penjenamaan yang licin tetapi kosong.
"Mana-mana pakar komunikasi akan kata yang stail perhubungan awam (PR) dan penjenamaan yang 'whitewash' (mengaburkan kebenaran) tidak boleh berjaya. Mesti ada bahan di sebalik mesej itu.
"Tiada PR atau kempen penjenamaan yang boleh hidup tanpa disusuli tindakan sebenar. Hanya cakap saja? Itu bukan PR yang baik. Semua orang akan kata begitu," katanya.
Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata ada meritnya apabila perdana menteri 'memutuskan hubungan' dengan laman web 1Malaysia dan memulakan laman webnya sendiri.
Katanya, pada pemerhatiannya, jenama 1Malaysia tidak mendapat sokongan kuat termasuk daripada masyarakat Melayu, malah di kalangan orang Umno juga, mereka kurang bersemangat dengan konsep itu.
"Memutuskan hubungan dengan 1Malaysia mungkin boleh beri kesan positif kepada Najib, malah kepada jenama 1Malaysia itu sendiri, kerana ia tidak lagi dikaitkan dengan perdana meneri atau digunakan sebagai alat politik.
"Saya secara peribadi percaya Najib rasa susah untuk mempromosi 1Malaysia, dan mungkin ia memakan masa terlalu lama, kerana ada rintangan dari dalam dan luar Umno
"Jadi, saya fikir Najib dan penasihatnya pasti sudah mengkaji meritnya sama ada dia patut terus mengaitkan dirinya dengan 1Malaysia atau merintis jalan sendiri, paling kurang pun di alam media sosial," kata bekas ketua pengarang suratkhabar pro-kerajaan New Straits Times. – 11 September, 2014.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa