Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, November 19, 2014

Debat Di Media Sosial: Terjejaskah Kedudukan Hadi?

Pada aku tak berikan apa-apa kesan pada kedudukan Hadi
Hanya Ahli PAS yang tentukan jatuh bangun Hadi
Di media sosial hanyalah setakat pandangan umum yang belum tentu boleh mengundi di dalam pemilihan parti

Debat di media sosial hangat sama ada Hadi perlu berundur 
Published: 19 November 2014
Media sosial serta WhatsApp berterusan aktif memperdebatkan kedudukan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi pemilihan akan datang selepas beliau bercanggah pendirian dengan Pakatan Rakyat dalam kemelut MB Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 November, 2014.

Persoalan sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang patut terus kekal sebagai presiden PAS atau berundur makin hangat diperdebatkan di media sosial selepas beliau menentang pendirian Pakatan Rakyat (PR) dalam kemelut menteri besar Selangor.
Walaupun pemimpin utama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) menegaskan pihaknya tidak campur tangan dalam pemilihan PAS, namun kenyataan ahli dan penggeraknya terus-menerus menunjukkan kumpulan dalam PAS itu mahu menukar Hadi.
Kempen anti-Hadi berterusan samada melalui laman sosial Facebook dan juga kumpulan perbincangan Whatsapp yang melibatkan aktivis kumpulan ini.
Semalam, salah seorang penggerak utamanya di utara, Zolkharnain Abidin yang merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Perlis, membuat satu posting pada dinding Facebooknya, "PAS bukan sekadar memerlukan presiden baru, tetapi presiden yang berupaya membawa pembaharuan."
Tulisan bekas Adun Santan yang banyak memenuhi program PasMa di bahagian utara Semenanjung ini mendapat komen pro dan kontra dari pembaca beliau.
Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang keras cadangan beliau itu.
Seorang pembaca beliau yang menggunakan nama AyahCik Anuar menulis, "TGHH tidak sihat dari segi fizikal. Tetapi akalnya masih sihat. Mungkin ada baiknya dia undur diri untuk memulihkan kesihatannya," katanya merujuk kepada singkatan bagi Tuan Guru Haji Hadi.
"Masih ramai yang layak memimpin. Ramai yang marah apabila ramai mendesak TGHH undur diri. Tidak tahu apa sebabnya mereka marah. Kita tidak perlu taksub pada seseorang pemimpin," tambah beliau dalam nada yang agak rasional di antara yang menyokong cadangan itu dengan yang marah.
Ketika yang menyokong mula mencadangkan nama pengganti iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahmad Awang di samping Mohamad Sabu, pihak yang menentang cadangan itu mula mempertikaikan kewajarannya.
Seorang penyokong Hadi, Husnizaim Hussain menulis: "TGHH sebagai presiden mencacatkan gerak kerja partikah? Atau dia melanggar perlembagaan atau hukum Allah?
"Jangan dilayan kumpulan pendesak, mereka kebanyakan bukan jamaah PAS mereka dari orang bukan ahli PAS, sebaliknya budak hingusan sahaja."
Ada juga kalangan mereka yang tidak nampak calon pengganti Hadi yang sesuai.
Syook Salleh menulis: "Setakat ini saya tidak nampak yang betul-betul layak, berkaliber, berkarisma, berilmu tinggi, berpengaruh untuk menggantikan presiden... tidak tahulah kalau ustaz Zul ada calonnya."
Pihak yang menentang cadangan itu juga menulis, sekarang ini pihak yang tidak suka kepada presiden PAS itu sedang membina persepsi tidak baik terhadap beliau.
Fazly Zaimie Yaacob dalam tulisnnya menulis, tukar presiden tidak pelik.
"Yang peliknya sebelum muktamar lagi sudah diburukkan dulu Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Apa agenda mereka? Tidak lain ialah hendak bina dahulu persepsi yang buruk terhadap presiden," katanya.
Sementara itu, dalam kumpulan perbincangan WhatsApp yang dipelopori penggerak PasMa di Terengganu, kegagalan presiden PAS itu mempertahankan kerajaan negeri itu dijadikan modal menyerang beliau.
Buku tulisan Mohd Sayuti Omar "Inside story: Kejatuhan kerajaan PAS Kedah" dijadikan sandaran serangan kepada Hadi.
Beliau didakwa antara punca kejatuhan kerajaan Kedah pimpinan Tan Sri Azizan Razak itu.
"Baru habis baca buku itu. Rupa-rupanya Haji Abdul Hadi Awang yang menjadi punca utama menyebabkan PR ditolak oleh rakyat Kedah dalam PRU13.
"Itu belum dibongkar punca kejatuhan kerajaan PAS Terengganu tahun 2004 dulu... itu lagi memalukan," petik Othman Ismail, Ketua PasMa Kuala Terengganu dari satu tulisan Facebook oleh Awang Malaya ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan oleh beliau itu.
Othman ketika dihubungi The Malaysian Insider kemudiannya berkata, beliau mengkritik Hadi bukan kerana bencikan peribadinya tetapi atas kepentingan PAS.
Presiden PasMa Datuk Fakhrurazi Zawawi ketika bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat pertama PasMa selepas organisasinya lengkap dibentuk baru-baru ini berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam pemilihan PAS.
"Kami tidak akan campur urusan PAS. Masalah kepimpinan dalam PR akan ditentukan sendiri oleh mereka," katanya pada satu sidang media selepas selesai mesyuarat pertama PasMa 14 November lalu di Petaling Jaya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan wartawan sama ada PasMa akan terlibat dalam pemilihan PAS yang bakal diadakan pertengahan tahun depan, ekoran pendekatannya yang mahu PAS rapat dengan Pakatan Rakyat.
PasMa mengadakan mesyuarat pertamanya 14 November lalu selepas menubuhkan jawatankuasa peringkat negerinya di seluruh negara.
Mereka mendapat kritikan panas dari kumpulan yang pro ulama dalam parti Islam itu sehingga menggelarkan pimpinannya dan juga pimpinan PAS yang pro kepada PasMa sebagai 'Jebon'.
PAS akan mengadakan mesyuarat agung yang mempunyai pemilihan yang dikatakan bakal menjadi yang paling hangat pertengahan tahun depan apabila jawatan presidennya dijangka akan dicabar.
Sebelum ini, hanya jawatan timbalan presiden yang dipertandingkan tetapi jawatan presiden biasanya dimenangi tanpa pertandingan. – 19 November, 2014.

2 comments:

  1. dah bahalol.

    ke mana pergi , bincang apa pun kira bahalol jugak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mereka itu juga dgn sedap mulut mengatakan pemikiran orang lain jumud, walhal mereka sendirilah yg berfikiran jumud tapi mereka tak sedar.

      Delete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa