12:30PM Mac 08
Shahbudin Husin
SUARA LANTANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang selama ini sentiasa senada dengan Perdana Menteri dan kerajaan dalam semua perkara nampaknya sudah mula berbeza dalam isu 1MDB yang semakin hari semakin kritikal jadinya.
Dalam kenyataan terbaru mengenai 1MDB semalam, Tan Sri Muhyiddin telah menggariskan beberapa pendekatan yang menggambarkan ketegasan yang seharusnya diambil dalam menangani isu 1MDB ini.
Beliau antaranya menekankan agar dana awam tidak digunakan untuk "bail out" atau menyelamat syarikat itu, menyatakan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) boleh melakukan siasatan sendiri terlebih dahulu tanpa menunggu Laporan Ketua Audit Negara, mahukan pengauditan dilakukan secara telus, bebas dan menyeluruh terhadap 1MDB sejak penubuhannya lagi, mengingatkan Lembaga Pengarahnya untuk memberi penjelasan berkaitan beberapa urusniaganya yang tidak menguntungkan serta mahu mereka memikul tanggungjawab bersama dan sedia menghadapi tindakan undang-undang sekiranya hasil siasatan mendapati ada kecuaian dan penyelewengan.
Tan Sri Muhyiddin juga mengingatkan mengenai kerugian yang bakal dialami oleh kerajaan sekiranya penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia yang diperolehi daripada kerajaan dengan harga rendah dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat.
Dengan mengulangi mengenai "bail out", Tan Sri Muhyiddin secara tidak langsung telah mengesahkan bahawa pendiriannya selari dengan penolakan kabinet terhadap dana tambahan RM3 bilion kepada 1MDB yang dicadangkan baru-baru ini.
Dalam laporan yang belum dinafikan oleh mana-mana pihak, kabinet dikatakan telah menolak rancangan untuk menyuntik dana tambahan RM3 bilion kepada 1MDB berikutan ramai menteri tidak bersetuju dengannya.
Jika sebelum ini, Datuk Seri Najib telah meminta Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB yang telah diaudit dan laporannya akan diserahkan kepada PAC untuk penelitian lanjut, Tan Sri Muhyiddin jelas berbeza pendirian dalam hal ini dengan memberi kebebasan kepada PAC melakukan siasatan sendiri tanpa menunggu laporan Ketua Audit Negara.
Selain itu, penegasan Timbalan Perdana Menteri bahawa perlunya 1MDB diaudit sejak daripada penubuhannya lagi dan bukan setakat akaun 2013 saja sebagaimana yang dilakukan oleh sebuah firma audit antarabangsa, Deloitte turut membuatkan beliau sekali lagi berbeza dengan kenyataan Datuk Seri Najib.
Lebih dari itu, desakan agar akaun 1MDB diaudit secara menyeluruh ini juga sebenarnya selari dengan kemahuan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang pernah menyuarakan perkara itu beberapa bulan lalu.
Isu-isu berkaitan 1MDB yang melibatkan pelaburan, pembelian dengan harga tinggi, hutang, simpanan misteri di Pulau Cayman, penglibatan usahawan rambu-ramba, Jho Low dan kaitannya dengan keluarga Perdana Menteri telah menjadi perbualan sejak sekian lama dan terus hangat diperkatakan kebelakangan ini.
Selain tidak mampu membayar hutang berjumlah RM bilion dan dikatakan terpaksa dibantu oleh Ananda Krishnan, rancangannya meminta tambahan RM3 bilion lagi daripada kerajaan seolah-olah mengesahkan syarikat itu sedang tenat dan berada dalam "ICU". Semua isu berkaitan 1MDB lebih mungkin menjadi suatu skandal terbesar dalam era kepimpinan Najib ini.
Pendirian tegas Tan Sri Muhyiddin dalam isu 1MDB ini segera mengingatkan kepada apa yang pernah dilakukannya ketika mendesak Tun Abdullah mempercepatkan pengundurannya sebagai Perdana Menteri suatu ketika dahulu.
Walaupun Tan Sri Muhyiddin mulai nampak berbeza dengan Perdana Menteri dalam isu 1MDB ini, tetapi yang jelas apa yang dinyatakannya adalah selari dengan kehendak majoriti rakyat ketika ini.
Rakyat hanya mahukan ketelusan dan kebenaran dalam semua perkara yang menjadi bualan ramai mengenai syarikat itu. Urusniaga, pelaburan dan hutangnya mesti dijelaskan secara terbuka kepada umum kerana ia melibatkan wang rakyat.
Apakah Tan Sri Muhyiddin sekali lagi sedang dan akan melakukan lonjakan ke arah memulihkan imej kerajaan dengan kenyataan terbarunya mengenai 1MDB ini?
Jika dulu beliau mendesak Pak Lah berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Najib menghuni Seri Perdana, adakah pula pembongkaran menyeluruh yang dimahukannya dalam 1MDB ini sebagai usaha menunjukkan kegagalan Perdana Menteri dalam mengurus kerajaan dan seharusnya diikuti dengan perletakan jawatan?
Yang nyata juga, kenyataan dan pendirian Tan Sri Muhyiddin ini bukan saja selari dengan kehendak majoriti rakyat ketika ini dan menggambarkan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan, bahkan juga menunjukkan masih ada harapan negara ini boleh diselamatkan melalui ketegasannya itu.
Ini mungkin hanya permulaan, tetapi ramai yang mulai gembira dengan keberanian beliau ini.
1MDB boleh juga bermakna 1Malaysia Di Bangkrapkan....
ReplyDeleteJohor adalah kubu kuat UMNO sejak 50 tahun dahulu. Yang menyandang PM hanya Tun Hussein Onn seorang, itupun tak sampai tarikh matang. Entah bila anak Johor seperti Muhyideen Yasin ini nak timbul keberaniannya maka rakyat pun sudah tidak mengharap. Jika Pak lah sebagai PM yang paling "cool"dan dilihat bersih mampu disuruh turun takhta oleh Muhyideen tetapi dengan Najib yang penuh dengan Korupsi dan noda dalam pemerintahan beliau, masakan Muhyideen boleh berdiam dan membisu seribu kata? Mungkin sebelum dilantik sebagai Timbalan PM beliau telah dikasi terlebih dahulu sebagai 'sida-sida' oleh Kak Mah? Bangunlah Muhyideen.... Kamu nak tunggu malaikalmaut menegur baharu kamu nak mulakan langkah melawan Najib? Kalau Kedah yang kecil negerinya dan kurang hasil mahsulnya pun boleh melahirkan 2 x PM, Johor negeri yang ke-3 terkaya di Malaysia masih tercari-cari rentak? Buat malu orang Penang sahaja kamu ni?
ReplyDeleteJgn mimpilah nk jd PM Yiddin ooiiii...ko jd Menteri Pelajaran pun dh carca cerba.. menyusahkan org je dgn sistem ko yg ntah apa2.. penting kan poket dari masadepan anak2. Biarlah rakyat yg tentukan saper pemimpin bknnya lanun nak diganti dgn penyangak..
ReplyDelete