Naib Presiden MCA mengaitkan penglibatan rakyat Malaysia dengan IS disebabkan menyambung pelajaran di Timur Tengah.
COMMENT
Oleh Er Teck Hwa
Merujuk kepada kenyataan oleh Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang mengatakan Kerajaan perlu berhenti menghantar pelajar ke Timur Tengah untuk mengelakkan mereka dipengaruhi fahaman IS menunjukkan pemikiran sempit oleh seorang Naib Presiden MCA.
Benar, aktiviti dan gerakan IS berlaku di banyak negara Timur Tengah tetapi untuk mengatakan semua orang Arab dan negara Timur Tengah adalah pengganas adalah satu bentuk pemikiran yang terjajah, sempit dan berat sebelah.
Seperti juga semasa konflik Komunis zaman sebelum Merdeka dahulu, mentaliti sebahagian besar masyarakat Malaya ketika itu adalah semua orang Cina adalah komunis. Adakah Chew Mei Fun bersetuju dengan pernyataan itu?
Meletakkan label kepada keseluruhan masyarakat itu hanya kerana kecenderungan sesetengah kelompok dalam masyarakat tersebut terhadap sesuatu ideologi?
Kedua-dua pernyataan ini mempunyai maksud yang hampir sama. Adakah kita sebenarnya ingin terus kekal dengan bentuk pemikiran usang sebegini?
IS tidak mewakili atau tertakluk kepada ajaran Islam secara keseluruhan sebaliknya memanipulasi nama Islam untuk menyasarkan sentimen dan meraih sokongan dan persetujuan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Sheikh Yusuf Al-Qardawi pernah berkata bahawa tindakan kumpulan IS adalah tindakan yang melencong daripada ajaran Islam dan Sheikh Yusuf Al-Qardawi ini juga merupakan seorang Arab dari Timur Tengah.
Adakah Chew Mei Fun juga ingin mengatakan bahawa Sheikh Yusuf Al-Qardawi ini juga seorang pengganas hanya kerana beliau merupakan seorang Arab dari Timur Tengah?
Beberapa tangkapan seperti yang diumumkan di dalam media massa juga tidak menunjukkan penularan sokongan terhadap IS ini adalah hanya berkisar kepada pelajar atau bekas pelajar dari Timur Tengah. Sebaliknya, tangkapan terbaru juga melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang mempunyai kecenderungan untuk pergi ke Syria.
Persoalan pokok yang perlu ditanya oleh Chew Mei Fun kepada Kerajaan Persekutuan adalah bagaimana pihak kerajaan dapat memantau dan mengawal penyebaran video dan propaganda kumpulan IS yang banyak bertebaran di laman-laman sosial?
Jika kita bercakap mengenai keganasan, kita seharusnya jujur dan tidak melabelkan aktiviti keganasan ini kepada mana-mana agama, kaum dan negara.
Keganasan melangkaui sempadan agama. Tidak ada mana-mana agama, kaum, negara mahupun wilayah yang dapat mengiktiraf aktiviti keganasan. Ia hanyalah dilakukan oleh segelintir kumpulan manusia yang ekstrem dan tidak rasional.
Cuma ketika ini, kumpulan pengganas IS kelihatan menonjol kerana tindakan keras mereka dan keupayaan mereka merekrut ramai penyokong hanya bersandarkan propaganda di alam siber.
Maka muncul satu pandangan umum seolah-olah Islam dan penganutnya memang seorang pengganas.
Saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan Chew Mei Fun ini dan ia juga menjadi kebimbangan saya kerana pemikiran sempit ini lahir daripada seorang Naib Presiden sebuah parti komponen Barisan Nasional yang juga merupakan kerajaan pemerintah.
Beliau patut mengeluarkan kenyataan yang lebih rasional dan bukannya terperangkap dalam kotak yang emosional dan penuh prasangka.
Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepatutnya turut sama menumpukan usaha dan fokus kepada mengurangkan penularan aktiviti Kongsi Gelap di kalangan pelajar sekolah. Ini juga membimbangkan kerana jika tidak dibanteras ia akan memudaratkan modal insan dan pewaris masa depan negara.
Er Teck Hwa ialah Ahli Parlimen Bakri-DAP
Minta pemimpin UMNO komen
ReplyDeleteWah ... terbalik kut dah ni, DAP pulak back up Islam dalam hal terrorism ? tq bro !
ReplyDeleteMana pegi pejuang Kalimah Allah hari tu? apa tak marah, bantah MCA hina orang Melayu Islam !