01:58PM Ogos 29 2015
oleh Paul Sir
SEKITAR KOTA RAYA: Mengapa saya tertarik dengan Bersih 4? Adakah kerana ia bualan terhangat bulan ini? Sertai ribuan khalayak, melaung laungan penuh semangat bersama mereka dan menikmati sepenuhnya warna-warni acara ini?
Ya, semua di atas dan banyak lagi. Mengapa tidak? Saya bersetuju dengan permintaan Bersih. Permintaan itu diterima oleh rakyat kerana ia masuk akal dan sah. Mengapa ada antara kita yang membantah sesuatu yang secara tulen baik untuk negara dan rakyat?
Umumnya rakyat Malaysia tidak berpuas hati kepada banyak perkara- pastinya, untuk sebab yang jelas. Dan mereka memang mempunyai hak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, bersama-sama di tempat awam. Tidak ada undang-undang yang menghalangnya.
Tetapi kita juga perlu ingatkan diri sendiri yang apabila kita mahu menyuarakan penderitaan kita di ruang awam, kita tidak boleh melanggar undang-undang. Berarak dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh tetapi pada masa yang sama pastikan tindakan anda tidak melanggar undang-undang.
Setelah menetapkan fikiran, saya keluar menyertai Bersih 4.
7.10pm: Daripada tingkap saya, jalan di bawah nampak lengang dan hampir tiada mereka yang berbaju kuning. Trafik berjalan lancar. Saya tertanya-tanya berapa ramai yang akan tidur di jalan-jalan KL malam ini. Akan merayau-rayau di kawasan sekitar selepas makan malam dan kembali melaporkan di sini selepas itu.
6.50pm: Baru sahaja membaca Bersih mengisytiharkan perarakan berjaya seramai 200,000 peserta menghadiri perarakan walaupun polis KL menganggarkan jumlah itu sekadar 25,000 pada jam 3 petang. Adakah jumlah benar-benar penting? Saya rasa ia penting- Bersih 4 telah dilaung-laungkan sebagai ‘ibu segala perarakan’, kan?
6.15pm: Sebentar tadi, saya duduk berbual dengan dua orang lelaki berkerusi roda di kedai mamak berhampiran. “ Mengapa awak di sini, memakai baju Bersih dan berarak?” adalah soalan biasa ditanya. Seorang daripada mereka pantas menjawab yang ia adalah tanggungjawab dan tugas mereka untuk menyokong perarakan ini. Mereka yang sihat tubuh badan dan tidak peduli tentang apa yang berlaku disekitar mereka patut berasa malu. Syabas kepada dua orang OKU itu- merekalah yang mengetuai NGO orang India berarak di sepanjang Jalan Tun Tan Cheng Lock awal tadi. Saya sangat mengagumi kekuatan dan semangat nasionalisma mereka.
5.35pm: Laporan Star Online memetik Ketua Polis Kuala Lumpur Tajuddin Md Isa yang berkata dia berpuas hati dengan tingkahlaku pembantah setakat ini, dan berharap ia akan “kekal aman sehingga akhirnya.” Ya, polis patut berasa gembira. Saya juga berasa gembira kerana semuanya berjalan lancar hari ini. Semua orang patut berasa gembira. Satu-satunya orang yang tidak gembira mungkin adalah lelaki yang pernah berkata dia akan mengetuai 30,000 orang untuk menentang peserta baju kuning. Ho ho ho, jika mamat tu (apa nama dia?) mampu mengumpulkan 30,000 orang untuk mengikutnya, saya akan terjun daripada tingkat 14 tempat saya duduk sekarang.
5.10pm: Seorang polis trafik berpangkat Lans Korporal gembira memenuhi permintaan tiga orang gadis berbaju kuning untuk bergambar. Tersenyum di sebalik cermin mata hitamnya, ia pastinya menjadi cerminan kepada keamanan dan ketenangan perarakan hari ini. Polis melakukan kerja dengan baik. Setakat ini, saya masih belum mendengar kisah ada gas pemedih mata atau meriam air digunakan kepada peserta seperti kejadian tahun-tahun sebelum ini.
4.35pm: Khayalak yang berkumpul di kawasan Menara Maybank bergerak. Mereka bergerak menuju ke Dataran Merdeka untuk menyertai kumpulan lain. Ada juga yang berjalan menjauhi khayalak tersebut- mungkin sudah penat dan memerlukan rehat.
4.00pm: Sebuah NGO India bergerak melepasi Kota Raya. Terdiri daripada hampir 200 orang, mereka menerima sorakan daripada khayalak kuning lain ketika mereka berarak melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock. Salah satu benda menarik yang dibawa mereka ialah sepanduk cek . Dan ada angka yang tertulis di atas ‘cek’ itu- apa lagi kalau bukan RM 2.6 bilion!
3.20pm: Ketika makan tengahari di Nando’s yang terletak di sebelah hotel, sukar benar hendak mendapat tempat duduk. Dipenuhi dengan mereka yang berbaju kuning. Seorang pengurus restoran yang gembira berkata “ini adalah hari berniaga yang paling baik sejak sekian lama”. Jadi saya bertanya sekali lagi, siapa yang kata Bersih tidak baik untuk perniagaan. Hotel penuh di tempah. Restoran dan tempat makan dipenuhi orang. Peniaga kecil juga rancak berniaga, berbeza dengan rugutan berterusan yang perarakan Bersih telah menyebabkan perniagaan terjejas teruk.
2.45pm: Rakan sekerja saya mendapat maklumat dari dua orang sukarelawan PEMANTAU di luar hotel yang NGO telah menggerakan hampir 300 orang sukarelawan untuk perarakan ini. Tugas khas mereka- menjaga orang tua dan kanak-kanak sepanjang acara dua hari ini. Syabas kepada sukarelawan PEMANTAU.
2.25pm: Mungkin saya menghukum terlalu awal. Orang makin ramai berkumpul di depan Menara Maybank. Saya boleh kata yang hampir 6,000 sehingga 8,000 orang sekarang. Kebimbangan mula terasa, kerana mereka telah memenuhi ruang jalan raya. Trafik, terutama bas, kini tidak boleh bergerak. Jika anda terperangkap dalam kenderaan di kawasan ini, anda pasti menyumpah Bersih. Dan ia boleh difahami.
1.50pm: Menjenguk daripada tingkat 14 bilik hotel saya. Saya melihat dan menjangkakan 2500 mereka yang berbaju kuning, dalam beberapa kelompok. Jumlah yang kurang memberangsangkan. Malah, acara ini lagaknya seperti pesta. Jadi semua orang, hanya nikmati perarakan ini dan jangan terlibat dengan masalah.
12.50pm: Makin ramai orang berkumpul dan semakin bising. Mereka yang letih nampaknya hanya melihat daripada jejantas berhampiran Pudu Sentral, melihat lautan baju kuning di bawahnya.
12.15pm: Apa? Penyelia hotel memberitahu saya yang pengurusan hotel memutuskan untuk menutup lobi hotel. Terlalu ramai orang luar, bermaksud mereka yang memakai baju kuning, bukan tetamu hotel, dan telah menggunakan dan mengotorkan tandas. Ermm, ini ialah kawasan persendirian dan hotel berhak berbuat demikian. Saya rasa tempat makan di luar sana juga akan berbuat perkara yang sama. Sekarang, adakah Bersih 4 ada meletakan tandas mudah alih? Yeah, saya pernah mendengar mereka merancang demikian, tetapi saya tak nampak satu pun di sekitar kawasan ini. Mungkin, tempat terdekat peserta perarakan boleh membuang hajat mereka ialah di St John’s Cathedral. KL Archbishop baru-baru ini telah mengumumkan yang pintu gereja itu sentiasa terbuka untuk mereka yang mencari perlindungan, termasuklah menggunakan tandas, saya percaya. Moga Tuhan merahmati Archbishop Julian Leo.
11.45am: Orang ramai di luar hotel bertambah ramai dan bising. Laungan Bersih kedengaran. Khalayak melambai pelancong yang sedang menaiki bas KL Hop on Hop-Off. Mereka melambai balik dan mengambil gambar khalayak yang berkumpul.
11.10am: Lebih kurang 20 orang tiba-tiba muncul daripada hotel memakai t-shirt kuning. Mungkin peserta dari luar KL.
10.05am: Sekitar 300 orang, tua dan muda, memakai t-shirt Bersih 4 tiba-tiba muncul daripada dua arah berdekatan saya, dari stesyen Pudu Sentral LRT dan satu lagi dari stesyen Masjid Jamek. Mereka berbarak menuju ke Tong Shin Hospital. Tidak tahu mengapa, mungkin bertemu dengan kumpulan lain di Bukit Bintang.
9.40: Berbual dengan pengurus keselamatan hotel. Saya diberitahu yang hotel penuh ditempah untuk tiga hari ini. Jadi sekarang siapa kata perarakan Bersih tidak baik untuk perniagaan! Pastinya bagus untuk hotel.
8.30am: Berjalan kaki di sekitar kawasan Pudu. Sudah terlalu lama sejak kali terakhir saya berjalan kaki di sekitar pusat Bandar KL. Tidak ada sebab untuk datang ke kawasan ini memandangkan saya tinggal di PJ. Masih tidak nampak t-shirt kuning.
7.15am: Terlalu awal untuk check in. Jadi kami mula bekerja di laptop menggunakan laptop masing-masing di lobi hotel. Cukup selesa walaupun air-con tidak berapa sejuk.
7.00am: Sampai di stesyen Pasar Seni, destinasi kami untuk memulakan perjalanan. Mengambil masa 15 minit untuk sampai ke hotel kami berdekatan Kota Raya. Melepasi Pasar Seni, salah satu tempat berkumpul peserta Bersih 4. Masih tidak nampak t-shirt kuning. Masih terlalu awal lah!
6.10am: Parkir kereta saya di Stesyen LRT Kelana Jaya. Petunjuk pertama Bersih 4- riben-riben kuning yang diikat di sepanjang susur pejalan kaki di luar stesyen. Keretapi sampai dalam masa dua minit.
5.10am: Mandi dan makan dua sandwich. Bersiap untuk mengambil rakan sekerja yang tinggal di kawasan kejiranan berdekatan.
4.30am: Bangun. Bersiap sedia untuk memulakan hari. Melakukan senaman ringkas yang saya biasa lakukan di balkoni. Pastikan saya mempunyai semua yang saya perlukan untuk hari yang panjang ini. Tidak ada niat untuk tidur di jalan malam ini. Saya bersetuju dengan Ku Nan. Sudah terlalu ramai orang gelandangan di jalan-jalan KL. Tidak berhasrat untuk menambah jumlah tersebut.
Catatan yg agak bagus juga.dgn kehadiran tun m atau tdk sy kira bersih 4 agak berjaya juga.cuma jika pas ikut serta tentulah akan membuat najib lebih kecut perut.sy kira ruang perbincangan ant pembangkang masih longar.begitupun mungkin ada yg berkata tak penting samada pas atau umno ikut serta namun ada kajian menunjukkan ada kekurangan dr peserta melayu.barangkali ada sesuatu yg perlu dbaiki.
ReplyDeletepresiden pas sokong najib. tak kan nak belot terhadap rakan. ahli pas tlg guna otak yg dianugerah Allah. masih nak wala' kpd presiden?
ReplyDelete