11:30AM Ogos 21 2015
oleh Mariam Mokhtar
KOMEN: Ramai orang percaya bahawa apabila berhadapan dengan ketidakadilan, orang Cina akan berjuang untuk mendapatkan kebenaran, manakala orang Melayu akan pasrah dengan nasib mereka. "Takdir Allah," adalah keluhan biasa orang Melayu, tetapi ini tidak lagi berlaku. Kita juga berharap bahawa ini tidak akan berlaku, dalam kes kematian pegawai kastam Ahmad Sarbaini.
Sarbaini meninggal dunia pada 6 April 2011, semasa berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau secara sukarela telah pergi ke ibu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, di Jalan Cochrane, untuk menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada 4 April.
Kira-kira jam 8.30 pagi, Sarbaini telah dibawa ke bilik soal siasat, di tingkat tiga bangunan SPRM dan telah diminta untuk menunggu kehadiran pegawai penyiasat. Menjelang jam 10:15, dia telah mati, terlentang di dewan badminton, di tingkat pertama bangunan. Menurut saksi, tingkap bilik soal siasat telah terbuka. Dia disyaki telah jatuh dari ketinggian dua tingkat.
Isnin lalu, 17 Ogos, Mahkamah Tinggi menolak saman cuai RM8 juta oleh balu dan anak Sarbaini, dengan mendakwa bahawa "tiada bukti mencukupi" untuk menyokong apa-apa niat jenayah, dan tidak ada bukti bahawa Sarbaini telah didera, dipaksa atau diancam SPRM.
Sebulan sebelum kematian Sarbaini, SPRM telah mengumumkan sebuah siasatan besar-besaran di seluruh negara terhadap sebuah sindiket, yang telah bertanggungjawab atas pengubahan wang haram, mengelak cukai dan aliran keluar wang haram.
Sarbaini adalah antara 62 pegawai kastam yang ditahan oleh SPRM. Kebanyakan mereka dikehendaki sebagai saksi. Telah didedahkan bahawa pemeriksaan ke atas latar belakang kewangan Sarbaini tidak mendedahkan apa-apa yang meragukan. Rumah-rumah dan keretanya yang sederhana, telah dibeli melalui saluran yang sah.
Pada masa itu, sumber-sumber yang tidak dinamakan mendakwa bahawa agen-agen penghantaran telah ditakutkan pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan dipaksa menamakan pegawai-pegawai kastam, kononnya kerana menerima rasuah dan salah guna kuasa. Dokumen yang dirampas sewenang-wenangnya jarang dipulangkan, sekali gus merumitkan kerja agen penghantar ini.
Pada tahun 2011, The Star melaporkan bahawa lebih 70 NGO telah menuntut supaya pengarah siasatan SPRM dan semua pegawai yang dikaitkan dengan siasatan kastam, digantung. Turut telah dicadangkan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan (CI) ditubuhkan, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz menolak idea ini.
Pengarah Suaram, Kua Kia Soong menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC), yang dicadangkan kerajaan, tetapi ini tidak diendahkan.
Akhir sekali, minggu ini, tuntutan mahkamah balu Sarbaini telah diketepikan. Balu beliau sedih, tetapi adalah mengejutkan bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak kisah. Jika ini berlaku di negara barat, Indonesia atau India, bantahan awam dan protes menuntut keadilan untuk Sarbaini pastinya telah diadakan; tetapi ini adalah Malaysia, di mana pemahaman kita tentang hak asasi manusia, belas kasihan dan seruan supaya adanya tindakan, bagi mereka yang tidak mendapat keadilan, adalah lemah.
Syak wasangka masih ada dan siasatan tadi masih meragukan, kerana kematian misteri Sarbaini di tangan SPRM bukannya kejadian pertama. Kematian Teoh Beng Hock masih tidak dapat diselesaikan.
Untuk memburukkan lagi keadaan, rakaman CCTV bilik tahanan Sarbaini, telah dipadam secara tidak sengaja. Mengapa? Ada yang mengatakan; sekali adalah kemalangan, dua kali kebetulan, tetapi tiga kali adalah corak.
Ada terlalu banyak contoh di mana rakaman-rakaman penting telah "dipadamkan secara tidak sengaja". Adalah wajar bagi rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang keluarga Sarbaini dan menuntut keadilan, sama seperti apa yang kita lakukan bagi Teoh Beng Hock.
Mereka yang gagal menuntut keadilan, mesti sanggup hidup di bawah undang-undang rimba.
Apa nak dihairankan?
ReplyDeleteInilah malaysiaku a.k.a kangkong land@boleh land
ramai manusia sanggup jadi pengkhianat kepada amanah yang diserah
ReplyDeletecctv hanya diguna bila keadaan menyebelahi puak yang terlibat
bila ada salah laku mulalah keluar cerita padam padam
berapa banyak mau padam