Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, August 25, 2015

Habislah Najib?

Habislah Najib? – Bahagian 2
TMI - Published: 24 August 2015
Artikel Habislah Najib? ditulis pada Mei selepas menghuraikan mengapa Datuk Seri Najib Razak akan terus kekal sebagai perdana menteri meskipun ramai meramalkan beliau akan habis pada Jun mahupun Julai ketika isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletup.

Kini, persoalan mengenai riwayat politik Najib bergema lagi dengan rancangan undi tidak percaya terhadap beliau.
Undi tidak percaya ini bersifat demokrasi pada asal murninya. Namun, apabila ia diletakkan di dalam konteks Malaysia, ia satu perkiraan politik yang melibatkan pengkhianatan dan juga rundingan keuntungan politik.
Bagi Tun Dr Mahathir Mohamad, rancangan ini hanya boleh berjaya jika Najib disingkirkan dan Barisan Nasional (BN) kekal sebagai kerajaan. Beliau meminta bantuan pembangkang untuk memikirkan cara kerana beliau sudah kehabisan peluru untuk menurunkan Najib.
Masalahnya, jika pembangkang sudah berjaya mendapat 30 ahli Parlimen BN untuk membuang Najib, sudah tentu golongan yang sama ini juga mempunyai kuasa menentukan siapa perdana menteri seterusnya.
Pada ketika itu, mengapa mereka harus lagi berpegang pada kata-kata Dr Mahathir untuk mengekalkan BN sebagai kerajaan sekiranya mereka boleh melantik seseorang di kalangan mereka sendiri menjadi perdana menteri ke-7?
Dengan godaan kuasa yang sebegitu besar dan impian untuk melihat 30 ahli Parlimen BN yang khianat itu akan digolongkan sebagai katak yang bakal meretakkan kestabilan BN, cadangan Dr Mahathir agar kerajaan BN dikekalkan hanyalah angan-angan.
Barangkali adalah lebih baik Dr Mahathir mencuba taktik mengisytiharkan diri keluar Umno terlebih dahulu sepertimana dilakukan beliau ketika mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah melepaskan jawatan perdana menteri.
Bukan itu sahaja, cara pemikiran pembangkang yang meletakkan kepentingan politik masing-masing menjadi keutamaan dalam menjayakan rancangan undi tidak percaya terhadap Najib juga merupakan masalah besar.
Tiada siapa sanggup meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan parti serta diri sendiri.
Sebelum rancangan ini dapat dilaksanakan, sudahpun ada parti menuntut itu dan ini sebagai balasan menyokong rancangan tersebut. Dengan perbalahan yang terus berlaku di kalangan pembangkang, tidak dapat dibayangkan kecelaruan politik yang bakal berlaku selepas berlakunya undi tidak percaya terhadap Najib.
Apakah mereka boleh bersetuju dengan calon perdana menteri yang baharu? Apakah mereka boleh bersetuju siapa yang bakal memasuki Kabinet, memandangkan DAP masih tidak dapat berhenti menyerang PAS sehingga hari ini?
Yang bakal wujud bukanlah satu kerajaan peralihan, tapi satu kerajaan tergantung yang tidak mampu membuat keputusan penting demi negara dan ekonomi kerana perbalahan yang terus berlaku.
Selain itu, peratusan kaum di kalangan ahli Parlimen yang menyokong undi tidak percaya kepada Najib dan melantik perdana menteri baharu juga akan menjadi pertikaian.
Sekiranya komposisinya tidak mewakili komposisi pecahan kaum rakyat Malaysia, percayalah keadaan negara akan menjadi mudarat berbanding hari ini kerana ada pihak akan memainkan sentimen dan merasakan kerajaan yang ada sudah dirampas atau jatuh ke tangan tidak sepatutnya.
Persoalan lebih penting ialah, apakah ada calon yang sesuai menggantikan Najib hari ini, yang akan meredakan keadaan dan diberi peluang untuk mentadbir daripada sibuk menangkis pergerakan politik dan menjawab serangan-serangan daripada para pengkritik?
Jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih, apakah Umno boleh menerimanya tatkala Tan Sri Muhyiddin Yassin masih timbalan presiden Umno? Bolehkah Umno menerima Muhyiddin tatkala Zahid ialah timbalan perdana menteri? Dua soalan mengunci Umno daripada bergerak dan akan terus berbalah jika Najib tidak kekal sebagai perdana menteri.
Jika ada pihak ketiga (pilihan pembangkang) selain Zahid dan Muhyiddin dipilih sebagai pengganti, beliau akan berada dalam keadaan getir kerana bila-bila masa sahaja beliau bakal menghadapi undi tidak percaya oleh ahli-ahli Parlimen BN apabila separuh daripada 30 ahli Parlimen BN yang berpaling tadah kembali ke pangkuan BN. Keadaan itu akan hanya membawa Malaysia ke ketidakstabilan berbanding sekarang.
Sehingga hari ini, sebenarnya tiada siapa termasuklah Dr Mahathir, yang ada idea penyelesaian terhadap masalah politik negara dan ekonomi.
Yang ada ialah idea meneruskan perbalahan sambil melihat nilai ringgit, simpanan negara dan bursa terus menjunam sama ada di dalam dan luar Umno.
Oleh itu, buat kali keduanya, Najib tidak habis lagi.
Dengan menjunamnya nilai ringgit, harga minyak sedunia, pelaburan asing dan jumlah pelancong ke dalam negara, waktu ini adalah lebih penting untuk memastikan ekonomi negara selamat dan rakyat boleh meneruskan kehidupan seperti biasa ekoran tindakan negara China menurunkan nilai renmenbi daripada menentukan siapa yang bakal menang.
Memandangkan tiada jalan penyelesaian yang munasabah, dan Najib dilihat masih akan terus mengekalkan kuasa dan pembangkang masih bercelaru, apa kata semua berhenti menyerang dan memberikan Najib ruang dan masa mentadbir negara daripada membiarkan semua lemas bersama?
Ini satu situasi menang menang di mana Najib boleh menggunakan masa memulihkan ekonomi, nilai ringgit dan menyelesaikan masalah 1MDB sebagai insentif memulihkan imej politik serta keyakinan rakyat terhadapnya dan pembangkang bakal memperoleh insentif tertinggi dengan Najib menerajui BN di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Biarlah rakyat yang menentukan nasib Najib dan BN di PRU14. – 24 Ogos, 2015.

Habislah Najib?
Ramai yang melihat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Haji sebagai paku terakhir kepada kareer politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Namun, ia tidak semudah itu kerana nyawa politik Najib kini berkait dengan nyawa 1MDB yang juga bersangkut-paut dengan nyawa perbendaharaan Malaysia.
Ceritanya mudah, hutang 1MDB RM42 bilion perlu dibayar – sama ada Najib terus menjadi perdana menteri mahupun tidak – kerana yang menjamin hutang 1MDB ialah kerajaan bukannya Najib.
Najib selaku menteri kewangan dan juga penasihat 1MDB melalui satu jawapan bertulis 12 Mac 2015 mengaku yang “surat sokongan” yang dikeluarkan kerajaan kepada 1MDB Global Investment Ltd untuk membuat pinjaman berjumlah AS$3 bilion (RM9.6 bilion).
“1MDB Global Investment Limited perlu menggunakan dana dalaman syarikat termasuk kesemua asetnya terlebih dulu. Jika semua langkah tersebut diambil dan syarikat masih kekurangan dana untuk menyelesaikan pinjaman berkenaan, barulah surat sokongan kerajaan menjadi efektif,” kata Najib.
Apa maksudnya secara mudah? 1MDB perlu menjual aset-asetnya terlebih dahulu untuk bayar hutang. Jika tidak mampu membayarnya, maka kerajaan Malaysia (bukan Najib) perlu membayarnya.
Oleh kerana ada “backup” sebesar kerajaan Malaysia, maka ramai yang sudi meminjam duit kepada 1MDB sebelum ini sehinggalah hutang ditimbunkan menjadi RM42 bilion.
Untuk membayar hutang, 1MDB mencuba pelbagai cara. 1MDB pernah merancang IPO bagi mencari dana, tapi gagal. Bukan itu sahaja, 1MDB juga menerbitkan sukuk Bandar Malaysia bernilai RM2.4 bilion untuk mencari dana dan kini timbul ura-ura Lembaga Tabung Haji membeli RM1.6 bilion atau 66% sukuk tersebut berdasarkan dokumen yang diledakkan di blog mengenai pembelian tanah TRX.
Di Parlimen, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah juga mengaku Tanjong Public Limited Company milik Tan Sri Ananda Krishnan membantu 1MDB mencari RM2 bilion dana untuk membayar hutang.
Selain daripada sukuk, rancangan IPO yang gagal, meminta bantuan Tanjong, 1MDB perlu mencari pembeli untuk aset-asetnya untuk membayar bunga hutang.
Antara aset-aset bernilai yang ada di tanah TRX dan Lapangan Terbang Sungai Besi yang diperolehnya secara murah oleh kerajaan Malaysia. Namun, tugas mencari pembeli menjadi semakin susah bagi 1MDB apabila kerajaan sendiri mengarah agar audit forensik dijalankan terhadap akaunnya.
Namun, ia tetap dapat mencari pembeli seperti Tabung Haji, yang sanggup membeli sekeping tanah kecil daripada 1MDB pada harga yang hampir 43 kali (RM2,773 sekaki persegi) daripada nilai yang diperoleh 1MDB (RM64 kaki persegi) daripada kerajaan secara tunai.
Meskipun rakyat marah, 1MDB tetap tidak membatalkan penjualan itu kepada Tabung Haji. Penasihat 1MDB Najib meminta Tabung Haji menjual tanah itu kepada pihak lain. Dalam erti kata lain, carilah pihak ketiga (yang tidak mampu dicari 1MDB) untuk membeli tanah tersebut tetapi duit RM188 juta yang dibayar Tabung Haji kekal di tangan 1MDB.
Kontroversi TH-1MDB kini membentuk satu cabaran besar bagi 1MDB untuk menjual aset-asetnya bagi membayar hutang. Jika penjualan sekeping tanah 0.63 hektar boleh mencetus kontroversi sebegini rupa, siapa lagi yang akan berurusan dengan 1MDB selepas ini?
Bagaimana 1MDB akan mencari dana pula selepas ini? Antara aset lain yang boleh membantu 1MDB menjana duit ialah dua penjana kuasa bebas (IPP) yang dibelinya pada 2012 iaitu Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd daripada Ananda dan Mastika Lagenda Sdn Bhd daripada Genting Sanyen.
Akan tetapi, kedua-dua IPP ini dibeli pada harga yang jauh tinggi daripada harga pasaran.
Apakah tarif elektrik akan dinaikkan selepas ini kerana TNB terpaksa membeli sumber elektrik yang mahal daripada 1MDB demi membantu 1MDB menjana keuntungan?
Jika tidak, lubuk dan tabung mana 1MDB akan mencari dana seterusnya untuk membayar hutang? Apakah nasihat penasihat 1MDB?
Jika segala usahanya mencari dana gagal, maka 1MDB tidak dapat membayar hutangnya. Dengan itu, surat sokongan kerajaan akan berkuat kuasa dan kerajaan yang perlu menanggung beban hutang 1MDB.
Sesiapa yang menggantikan Najib akan juga berdepan dengan masalah 1MDB ini. 1MDB tidak boleh ditutup begitu sahaja. 1MDB sudah membesar menjadi masalah negara dan rakyatnya. Ia bukan sahaja setakat masalah yang berkait dengan Najib.
Ada sesiapa di Umno yang sanggup mengambil alih bom jangka jika Najib diturunkan buat masa ini? Jaga-jaga kerana kemoterapi pun tidak dapat membunuh kanser ini tanpa membunuh jasadnya. Kontroversi 1MDB-TH ini hanyalah isu kecil jika dibandingkan dengan isu 1MDB sebenarnya.
Oleh itu, Najib tak habis lagi. – 11 Mei, 2015.

3 comments:

  1. Sekarang, sumber2 simpanan wang negara mesti diawasi dan dikawal ketat. Jangan biarkan lanun2 yg berkeliaran merompak simpanan duit rakyat. Pandai hutang, pandailah dia bayar. Kalau tak mampu bayar, tolong mintak derma kat anak raja arab saudi sana.

    Tolong jangan rompak duit simpanan rakyat lagi.

    ReplyDelete
  2. Hanya mereka yg bodoh sahaja yakin dan percaya hanya umno yg mampu memerintah negara ini. Apakah tiada umno negara ini akan musnah? umno dah jadi tokong sembahan sebahagian rakyat negara ini. Org Islam yg syirik yakin hanya umno mampu perintah negara ini bukan kuasa Allah. Apakah umno yg perintah negara lain selain negara mesia ini? Jepun yg tukar parti memerintah berkali-kali sampai sekarang punn tak bangkrap serupa juga dgn korea selatan, taiwan dll. Yg sebabkan negara bangkrup & musnah adalah pemimpin korup spt suharto, marcos dll. Pemimpin yg korup sebabkan negara jatuh miskin & rakyat papa kedana.

    ReplyDelete
  3. Perasuah perlu dhukum.Tuhan akan bersama kerajaan yg adil.jika kerajaan korup dbiar berleluasa tunggu lah balasan dr Tuhan.apa tdk cukup 2 kterbang hancur.tak cukup org mati dgunung kinabalu.apa lg yg kita ingin lihat Tuhan tunjukkan kpd kita.jgn sampai hancur semuanya bertindak sebelum terlambat

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa