Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, August 29, 2015

Latah, amuk Melayu

Ikuti wawancara Tan Sri Sanusi Junid bersama wartawan Malaysia Gazette Ainul Asniera Ahsan dan Norlaile Abd Rahman.

Pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dikatakan mengulangi sejarah Tun Musa Hitam pada tahun 1986, apa komen Tan Sri?

SANUSI: Persamaan Muhyiddin dan Musa dua-dua orang Johor tetapi kes mereka lain. Musa dulu dia sudah mula rimas bekerja di bawah Tun Dr. Mahathir dan tidak setuju dengan beberapa perkara. Musa tidak setuju sebab Mahathir recruit orang muda yang lain. Dia letak jawatan dengan harapan UMNO akan tetapkan beliau balik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Bagi Mahathir pulak hak melantik Timbalan Perdana Menteri itu hak dia, jadi UMNO boleh keputusan setakat suruh Musa balik sebagai Timbalan Presiden UMNO. Jadi dia balik sebagai Timbalan Presiden UMNO, tetapi bukan Timbalan Perdana Menteri kerana Mahathir cari orang lain. Keadaan ini berlaku bukan sebab skandal cuma Musa tidak setuju Mahathir promote orang muda macam Anwar Ibrahim.

Usul oleh dua, tiga orang dalam Majlis Tertingi untuk diadakan satu mesyuarat agung khas mendesak Musa balik sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, usul itu kalah dalam MT. Jadi tidak adalah Musa balik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi ada yang terfikir kalau Musa tidak jadi Timbalan Perdana Menteri tidak apalah tetapi kalau Timbalan Presiden UMNO pun dia tidak jadi, adakah itu akan jadi masalah kepada penyokong-penyokongnya. 

Ini kerana Timbalan Presiden UMNO, semasa dulu turut jadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin. Kalau Musa tidak jadi Timbalan Presiden UMNO, naik orang lain ada kemungkinan orang itu akan mengambil tindakan ke atas penyokong Musa. Saya rasa atas perhitungan itu barangkali orang Musa pujuk supaya dia duduk dalam UMNO, perjuangan belum selesai.

Bagi Dr. Mahathir kalau Musa duduk dalam UMNO tidak ada masalah. Tarik diri tidak ada masalah, kalau Musa tidak tarik diri pun tidak ada masalah. Mahathir pula rasa dia yang menyokong Musa sebab itu Musa menang. Patut Musa lebih toleran terhadap dia. Memang pun kerana Musa tidak ada peluang pun kalau lawan dengan Tengku Razaleigh sebenarnya, kalau Dr. Mahathir tidak sokong, Musa tidak akan menang. Isunya lain.

Adakah pengguguran Muhyiddin akan memberi kesan dalam UMNO?

SANUSI: Lagi cepatlah UMNO merudum. Muhyiddin ada penyokongnya. Mengapa UMNO kekalkan Tengku Razaleigh dulu, sebab beliau juga ada kebolehan yang boleh pakai. Yang kedua, beliau ada pengikut. Bukan senang hendak menyatupadukan UMNO. Anda ingat semua yang dilantik dalam UMNO disukai? Kadang-kadang hendak lantik, orang itu pantau, orang ini pantau tetapi kita lantik juga sebab penyokong. Ini tak, satu-satu kita eliminate, lama-lama kita tinggal seorang.

Apabila kita bercerita bab pilihan raya kita bukan bercerita bab UMNO. Kalau semua ahli UMNO sokong UMNO pun kita tidak menang. Kita rakyat, jadi yang pentingnya rakyat. Assesment Muhyiddin itu saya fikir betul, pengaruh Dr. Mahathir tidak luput dan kita pun tidak pun tidak popular dalam kalangan orang muda-muda. 

Kalau kita barangkali kata yang menyokong Mahathir ini orang tua-tua, kita boleh tunggulah 20 tahun lagi penyokong Mahathir sudah tidak ada, orang muda sokong kita. Sebenarnya budak-budak muda pun tak sokong kita, jadi yang sokong kita orang-orang dewasa. Orang-orang dewasa ini kenal Dr. Mahathir. Apa yang dikatakan oleh Muhyiddin itu satu kebenaran. Soalnya adakah kita sebagai pemimpin berani berdepan dengan kebenaran? 

Kita lihat pembangkang, Tony Pua timbulkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), patutnya kita dalam kerajaan pun kaji benda itu. Tetapi kerana yang menimbulkan isu itu pembangkang, kita anggap pembangkang cakap semua tidak betul. Memang dalam Parlimen kita cakap pembangkang tidak betul. Dulu semasa kami dalam kerajaan pun kalau pembangkang timbulkan sesuatu, kita lawan dalam Parlimen tetapi secara diam-diam kita selidik apa yang pembangkang cakap kerana kemungkinan yang pembangkang cakap itu ada asas. Kalau ada asas kita ambil tindakan.

Saya pernah tanya orang Pas bagaimana mereka kempen sebab kerajaan bagi duit tapi kalah. Dia kata duit itu orang bagi ambil tetapi jangan dengar cakap mereka (kerajaan). Kalau dengar cakap kerajaan dan kita ambil duit maknanya rasuah. Tetapi kalau kita ambil duit dan berdoa agar kerajaan dapat pahala, cuma jangan undi.

Kkalau kita hendak menyelamatkan UMNO caranya perbetulkan yang ini. Kalau ada dasar kita yang tidak popular, kita perbetulkan dasar itu. Yang hendak perbetulkan dasar itu ialah Perdana Menteri. Bagi Dr. Mahathir kalau Perdana Menteri tidak mahu tukar dasar, kena tukar Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri tidak mahu tukar dasar dan dia pun tidak mahu berhenti bermakna kita akan kalah dalam pilihan raya. Itu logika.
  
Ada potensikah Muhyiddin akan naik pada kerusi nombor satu jika tidak gugurkan dalam Kabinet?

SANUSI: Perjuangan bukan siapa naik, perjuangan Dr. Mahathir siapa turun. Bila orang naik itu mesti ubah sistem, selesaikan masalah. Hutang ini tetap ada di situ, siapa naik pun ada hutang. Siapa yang akan selesaikan hutang ini, macam mana cara, adakah kita hendak gunakan akal orang yang suruh berhutang ke atau kita hendak guna akal orang yang tidak mahu berhutang, atau pun kurangkan hutang, atau kurangkan bunga, atau pinjam tempat lain.  Sekarang ini apa yang dia orang buat ialah hendak pertahankan kuasa, lepas itu tutup penyelewengan. Soal hendak cover-up, itu soal lain.

Muhyiddin dituduh pengkhianat apabila melontarkan pandangannya mengenai 1MDB dalam satu majlis baru-baru ini. Apa komen Tan Sri?

SANUSI: Inilah yang interesting. Anda tengok mereka latah walhal kalau cerdik tidak terus kata Muhyiddin. Tetapi disebabkan tidak cerdik, inilah yang memecahbelahkan UMNO. Inilah yang berlaku pada Dr. Mahathir.  Beliau menegur untuk buka fikiran, Mereka ini bila tegur termasuk orang yang sayang UMNO pun dicurigai. Muhyiddin seorang yang sayang UMNO, dia bukan ada kepentingan, ada dapat untung daripada 1MDB, satu sen pun.

Bagaimana hendak ubah daripada tidak boleh ditegur, sudah jadi budaya?

SANUSI: Kami yang pernah berada dalam pemerintahan begitu lama tidak pernah memandang rendah teguran pembangkang. Walaupun tidak dihebohkan tetapi perhatian, kajian penelitian dan tindakan tetap diambil jika ada teguran daripada pembangkang didapati benar.

Kalau teguran pembangkang diambil perhatian, apatah lagi teguran tokoh-tokoh UMNO yang telah berpengalaman menjayakan pembangunan negara di suatu masa dulu.
  
Mengenai krisis Najib dan Dr. Mahathir, masih ada peluang dan ruangkah untuk dipulihkan?

SANUSI: Sebenarnya saya tidak memandang adanya konflik antara Dr. Mahathir dan Najib. Jelas sekali penasihat-penasihat di sekeliling Najib tidak ingin melibat hubungan baik antara kedua-duanya. Nampaknya penasihat-penasihatnya lebih berpengaruh berbanding Dr. Mahathir, Tun Daim dan Tengku Razaleigh.

Sudah tentu alasan-alasan mereka berikan berlandaskan kepentingan berperibadi kerana tidak mungkin yang bukan Melayu, apatah lagu bukan rakyat Malaysia lebih cinta pada Melayu, UMNO dan Malaysia lebih daripada Dr. Mahathir sendiri. Pada umumnya, penasihat bergaji hanya mementingkan kedudukan dan rezeki mereka tanpa memikirkan masalah bangsa dan negara. Mereka adalah golongan pemusnah negara.

Pada pandangan Tan Sri adakah selepas pengguguran Muhyiddin, Dr. Mahathir akan terus mengkritik 1MDB?

SANUSI: He will keep talking. I don't think he had told everything. Dr. Mahathir adalah seorang yang banyak berhutang budi dengan Tun Razak, saya juga terhutang budi dan tidak mahu terlibat dalam apa juga usaha untuk menjatuhkan Najib. Bukan kempen besar-besaran, hanya untuk orang berfikir supaya orang yang berakal boleh buat keputusan. Tetapi kalau tidak mahu berubah,akhirnya terpaksa bawa ke pilihan raya. Itulah yang kita takut...takut UMNO kalah.
 
Parti-parti lain bukan duduk diam, mereka himpun fakta-fakta. Kita pula berharap Pas berpecah. Pembangkang ini dalam hal UMNO mereka bersatu. Betul pembangkang berkelahi sesama mereka, hendak kerat tangan, hendak kerat kaki ke, yang itu mereka berkelahi. Tapi bila bab UMNO sahaja, hal-hal lain diketepikan. Ahli-ahli UMNO mengetahui, Najib hampir mustahil untuk dijatuhkan daripada tempatnya dalam UMNO kerana kebanyakan Ketua Bahagian UMNO ialah mantan Ketua Pemuda UMNO sewaktu Najib menjadi Ketua UMNO Malaysia. Ketua Bahagian pula banyak terhutang budi kepada Najib sebagai sahabat seangkatan.

Sempat lagikah UMNO mahu memperbaiki reputasi dan imej menjelang pilihan umum akan datang?

SANUSI: Bagi saya sempat. Macam Kapal Titanic yang hendak tenggelam. Ia tenggelam sebab barang-barang berat. Cuba barang-barang berat itu dikeluarkan, timbullah balik kapal itu. Yang Dr. Mahathir bimbang bukanlah jatuhnya Najib daripada kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Tetapinya jatuhnya UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya.
 
Sejauh manakah Tan Sri melihat kebersediaan UMNO dan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya umum?

SANUSI: Mereka belum bersedia untuk menang. Itulah sebab tidak ada pemilihan dalam UMNO sehingga pilihan raya umum ke-14.  Jika ada pemilihan dalam UMNO, ramai pemimpn di peringkat akan kecundang.

Najib bersandarkan harapan kepada kemenangan Barisan Nasional di Sarawak tetapi negeri itu tidak boleh menjadi fixed deposit jika Barisan Nasional tidak menang di Semenanjung. Sesiapa sahaja yang memerintah Sabah dan Sarawak pasti tidak akan bekerjasama dengan sebuah parti yang kalah di Semenanjung kecuali Perdana Menteri dari negeri-negeri itu.

Komen Tan Sri mengenai pergolakan politik dalam parti pakatan rakyat dan pembersihan kumpulan progresif dalam PAS. 

SANUSI: Parti-parti dalam Pakatan Rakyat berpecah hanya antara parti tetapi satu hati dalam membenci UMNO. Orang UMNO sendiri tidak dilatih untuk I love UMNO tetapi I love PM dan I love Najib.  Pakatan rakyat pula mempunyai satu slogan iaitu ABU - Asal Bukan UMNO.
Katalah Najib berundur, adakah adil kepada penggantinya untuk menerima tanggungjawab menerima parti dan negara yang bermasalah?

SANUSI: Mengikut Einstein, fikiran yang menciptakan sesuatu masalah tidak mungkin boleh menyelesaikan masalah yang diciptakannya itu.

Pengganti Najib tidak terikat atau bebas menjadi jalan penyelesaian, tidak perlu menggunakan penasihat dari luar negara untuk membantu Malaysia kerana negara ini mempunyai cukup ramai cerdik pandai dalam kerajaan, di Institusi Pengajian Tinggi, yang berpengalaman dan kasih kepada bangsa dan negara. Pengganti Najib boleh menggunakan pakar-pakar berpangalaman dari dalam UMNO dan Barisan Nasional untuk pembangunan negara. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa