Saturday, 22 August 2015
Para pemimpin UMNO nampaknya masih kebingungan dan tercari-cari jawapan yang sebenar mengapa wang sebanyak RM2,600 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Najib Razak walaupun ia telah disahkan oleh SPRM sebagai derma daripada Timur Tengah.
Dari hari ke sehari, apabila pemimpin UMNO membuka mulut untuk mempertahankan kemasukan wang tersebut, ia sentiasa saja berbeza dan berlainan antara satu sama lain.
Bukan saja rata-rata rakyat Malaysia ketawa serta gelihati dengan jawapan yang berbeza itu, bahkan barangkali Najib dan isterinya Rosmah Mansor pun terbahak-bahak sama melihatkan pemimpin-pemimpin UMNO itu sanggup terus menerus mereka-reka jawapan semata-mata untuk dilihat paling ke depan mempertahankan sang Perdana Menteri.
Pada peringkat apabila isu wang RM2,600 juta itu didedahkan oleh The Wall Street Journal, berlumba-lumba pemimpin UMNO mengatakan ia sebagai fitnah serta konspirasi asing untuk menjatuhkan kepimpinan Melayu dan Islam di negara ini.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan yang baru-baru ini kena boo di bahagaiannya sendiri, Pontian pernah berkata, "Perdana Menteri bukannya bodoh untuk membenarkan wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya."
Oleh kerana terpedaya dengan tanggapan bahawa Najib benar-benar seorang yang cerdik, Mursyidul Am Pas Dr Haron Din juga menyifatkan tidak masuk akal wang sejumlah itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, sebaliknya jika mahu dilakukan tentulah melalui akaun rahsia di luar negara.
Najib pula, mungkin kerana terasa dirinya benar-benar cerdik dan berjaya membuatkan semua orang tidak percaya dengan kemasukan wang itu, kemudian tampil mengucapkan penghargaan kerana ketidakpercayaan Dr Haron Din itu sambil berkata, "kalau saya nak menyamun pun, takkan saya masukkan dalam akaun di Malaysia."
Ahli MT UMNO, Sharkar Shamsuddin pula berkata, Najib dan UMNO menjadi sasaran konspirasi asing adalah bertujuan melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara in memandangkan parti itu memiliki 89 kerusi Parlimen berbanding Pas yang hanya mempunyai 21 kerusi saja.
Selepas itu berbagai dakwaan dilemparkan terhadap WSJ yang didakwa membuat laporan palsu dan fitnah terhadap Najib. Sehinggalah apabila SPRJ mengesahkan wang tersebut benar-benar mengalir masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan mengklasifikasikannya sebagai derma dan bukan berunsur rasuah, lenggok kata para pemimpin serta merta berubah nada.
Masing-masing cuba tampil dengan hujah yang dirasakan paling ampuh untuk mempertahankan Najib. Ada yang mengatakan ia dana politik untuk pilihanraya, derma sebagai tanda penghargaan memerangi keganasan IS dah terbaru ini, seorang pemimpin UMNO Aziz Kaprawi berkata, dana itu adalah untuk melawan DAP yang didalangi oleh Yahudi.
Jika dulu, Ketua UMNO Kuantan, Wan Adnan Wan Mamat sudah "kantoi" apabila mengaitkan derma itu dengan IS sedangkan pada Mac 2013 ketika Najib menerima wang tersebut, daulah Islamiah berasal Syria itu belum pun wujud lagi, kini Aziz juga "kantoi" sama nampaknya.
Bagaimana beliau boleh mengaitkan derma daripada Timur Tengah itu untuk melawan DAP yang kononnya ditaja Yahudi sedangkan sebaik menjadi Perdana Menteri pada 2009, Najib sendiri melantik APCO sebuah syarikat yang ada kaitan dengan Yahudi sebagai perunding medianya di peringkat antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dalam nada yang hampir sama berkata, derma itu diberikan kerana sikap Malaysia yang komited memerangi keganasan, berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah serta mengamalkan Islam yang sederhana dan oleh yang demikian, ia diberikan agar UMNO dan BN terus kekal berkuasa.
Zahid juga mengatakan beliau telah bertemu dengan penderma terbabit serta melihat dokumen asal mengenainya. Wahh, hebatnya....
Tidak sampai sebulan menjadi Timbalan Perdana Menteri, Zahid ternyata jauh lebih hebat berbanding Muhyiddin Yassin yang hampir enam tahun memegang jawatan itu tetapi langsung tidak tahu apa-apa mengenai wang RM2,600 juta itu sehinggalah ia didedahkan oleh WSJ.
Dengan begitu hebatnya Zahid ini, sepatutnya beliau lebih awal daripada Tun Musa Hitam lagi dilantik Timbalan Perdana Menteri.
Melalui jawapan yang berbeza-beza sehingga sekarang ini, para pemimpin UMNO seolah-olah terus dibelenggu rasa bersalah berkaitan wang tersebut serta mungkin turut menerima sejumlah kecil antara RM1 juta atau RM2 juta daripada RM2,600 juta itu.
Bukankah mereka tidak perlu risau apa-apa lagi kerana SPRM sudah mengesahkannya sebagai derma dan halal diterima?
Kalau sudah disahkan derma dan dihalalkan pula SPRM, kenapa perlu bising-bising lagi?
Tetapi jika para pemimpin UMNO terus menghadapi kesulitan meyakinkan rakyat mengenai wang tersebut, lebih baik mereka mengatakan ia merupakan derma untuk kemudahan Perdana Menteri dan keluarganya berbelanja dan membeli-belah di seluruh pelusuk dunia.
Jika itu jawapannya, sudah tentu ia sangat mudah dipercayai oleh sesiapa saja dan mereka tidak perlu terus mereka-reka jawapan yang berbeza yang akhirnya hanya menjadi bahan ketawa saja.
Kalau tak percaya, cuba Zahid Hamidi atau Ahmad Maslan tampil paling awal menyebutnya? (SH 22/08/2015)
Pendapatan tak seberapa. Perbelanjaan gila babi. Mana orang nak percaya...orang akan berteka teki mana dapat duit banyak2 tu
ReplyDeleteNk mengaku tulah yg susah.klu perompak tak kn nk ngaku dia perompak. Selagi x di heret ke muka keadilan selagi itula dia main sorok2
ReplyDelete