Negara kita telah merdeka selama 58 tahun. Telah banyak kemajuan yang dicapai oleh negara kita selama ini dan Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan dihormati di persada dunia.
Asas yang membina kemerdekaan dan kemajuan negara kita ialah kepercayaan. Sebelum merdeka dahulu, penduduk negara ini yang berbilang kaum dan agama mempunyai rasa sangsi antara satu sama lain. Namun, berkat kebijaksanaan pemimpin kita yang terdahulu, mereka telah berjaya memupuk kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini bahawa Malaysia adalah milik semua warganegara tanpa mengira kaum dan agama.
Semua warganegara mempunyai hak yang dijamin oleh perlembagaan dan semua mereka bertanggugjawab untuk memelihara keamanan, keselamatan dan keharmonian negara dengan memupuk perasaan saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.
Kepercayaan juga terbentuk antara pemimpin pelbagai kaum. Pemimpin Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain boleh duduk semeja untuk berbincang mengenai kepentingan semua kaum dan merancang kemajuan negara kerana mereka mempercayai antara satu sama lain.
Tak pernah melampau
Memang sepanjang negara ini ditadbir oleh BN, terdapat beberapa masalah yang wujud antara masyarakat pelbagai kaum, tetapi semua masalah ini dapat diatasi kerana pemimpin BN percaya, perundingan dan kerjasama adalah jalan terbaik untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.
Rakyat juga mempercayai kerajaan yang memerintah. Mereka percaya kerajaan bertanggungjawab memerintah secara adil dan saksama, melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, memacu kemajuan ekonomi, menyediakan pendidikan berkualiti, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Kerana itu, selama 58 tahun merdeka, rakyat di negara kita tidak pernah bertindak melampau untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik menerusi pilihan raya yang bebas dan adil.
Para pelabur dan komuniti perniagaan juga selama ini mempunyai kepercayaan tinggi terhadap negara kita. Mereka yakin bahawa dengan kestabilan politik, keharmonian kaum dan kecekapan kerajaan mengurus negara, pelaburan dan perniagaan mereka di negara kita adalah terjamin.
Dengan keyakinan ini, Malaysia merupakan antara penerima pelaburan langsung asing yang tertinggi di rantau ini dan saban tahun mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif.
Sekiranya kita dapat mengekalkan, malah memperkukuhkan kepercayaan antara sesama pemimpin, antara sesama rakyat, antara rakyat dan pemimpin, antara kerajaan dan rakyat, antara pelabur, komuniti perniagaan dan institusi ekonomi negara, maka saya yakin negara kita akan terus berada pada landasan yang betul dan bersedia untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Sentimen rakyat agak negatif
Namun, pada masa ini ramai pihak berpandangan bahawa negara kita sedang menghadapi masalah defisit kepercayaan(trust deficit) yang parah. Kepercayaan rakyat kepada kerajaan sudah semakin longgar. Kepercayaan pelabur dan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara juga sudah luntur.
Ringgit kita kian merudum terutamanya berbanding dollar AS dengan nilainya sekarang yang paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Pasaran saham jatuh, rizab negara merosot dan sentimen pengguna adalah paling rendah dalam tempoh tujuh tahun.
Benar, faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi mempengaruhi pasaran kewangan dan ekonomi, tetapi prestasi kita antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau. Inilah realiti yang harus kita terima dan mesti diatasi dengan segera.
Saya menyambut baik kenyataan Gabenor Bank Negara bahawa asas ekonomi negara kita kukuh. Ini adalah satu perkembagan yang amat baik untuk kita membina semula kepercayaan masyarakat dunia terhadap ekonomi dan politik negara kita.
Yang perlu kita atasi ialah sentimen rakyat, pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap negara kita yang agak negatif disebabkan oleh beberapa isu politik yang sedang melingkari kita hari ini.
Rakyat semakin resah apabila hari demi hari prinsip integriti dan akauntabiliti kelihatan semakin terhakis dalam pentadbiran negara. Pegawai-pegawai kerajaan yang dedikasi dalam melaksanakan tugas ditamatkan perkhidmatan, ditukar, diugut dan diambil tindakan.
Kebebasan institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia seolahnya semakin disekat.
Kredibiliti pemimpin dipersoal
Tidak dapat dibayangkan dalam sejarah perkhidmatan awam negara kita, terdapat pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berdedikasi sanggup bersuara lantang menentang pihak atasan yang cuba mencabuli prinsip perkhidmatan awam yang adil, tegas dan berkecuali.
Ada juga sesetengah pemimpin politik yang mengugut untuk menyekat kebebasan rakyat daripada menyuarakan pandangan terutamanya di media sosial kerana tidak sanggup lagi mendengar kritikan dan teguran rakyat yang semakin hari semakin lantang.
Selain itu, mereka yang menegur tindak tanduk pemimpin digelar sebagai pengkhianat dan dituduh hendak menggulingkan kerajaan. Mereka ini jelas tidak dapat membezakan antara menegur pemimpin dengan menggulingkan kerajaan adalah dua perkara yang berlainan. Betapa ramai pemimpin negara sebelum ini yang menerima teguran, tetapi kerajaan terus kekal, malah bertambah kukuh.
Atas segalanya, kredibiliti pemimpin semakin dipersoalkan. Institusi demokrasi yang ada dilihat sudah tidak dapat lagi berfungsi dengan baik untuk melakukan perubahan kerana ditekan dan dikawal dengan ketat oleh mereka yang berkuasa.
Saya bimbang selagi kemelut besar kepimpinan ini tidak dapat diselesaikan, maka selagi itulah negara dan kerajaan akan terus dibebani dengan masalah defisit kepercayaan yang semakin parah.
Bagi saya, isu kepercayaan ini akan dapat diselesaikan jika negara kita kembali dipimpin berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan penanggungjawaban kepada rakyat. Prinsip ini jugalah yang dituntut oleh Islam ke atas setiap pemimpin sebagaimana hadis Rasululullah SAW (bermaksud): "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya”.
Sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu “Sehati Sejiwa”, marilah kita bersama-sama membentuk kesatuan hati atau “wahdatul qulb” untuk membina semula kepercayaan terhadap negara kita dengan mengembalikan kepimpinan yang berintegriti, berakauntabiliti dan bertanggungjawab.
Yakinlah bahawa Malaysia adalah tanah air kita yang berdaulat dan bermaruah, dan kita sebagai rakyat bertanggungjawab untuk terus memelihara kedaulatan dan maruah negara kita. Saya berdoa agar negara kita terus kekal aman, maju dan berdaulat.
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN adalah Timbalan Presiden Umno.
Orang orang Bahalol lagi Malas BEKERJA mana boleh maju di masa jangka panjang....
ReplyDeleteAlam politik hanya lah untuk mainan penipu penipu saja
Bangsa PENIPU pon sama saja semua papa kedana miskin meminta minta.
Kalau sudah bangsa jenis BENGGAP , apa lagi yang boleh di harap kan pon.
Anwar Ibrahim anak MELAYU yang kerja lurus bendul pon di kurung jauh dari Rakyat.
Kepala Otak !!!!!!!!