Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, August 24, 2015

Ketahui bagaimana Najib tafsir hak asasi

Najib dan tafsiran hak asasi

Perdana menteri Malaysia keenam mengatakan hak asasi manusia perlu digandingkan dengan konteks Islam dan syariat, dan ini mesti dilakukan meskipun jika ia bertentangan dengan konsep universal seperti mana yang dipegang di peringkat antarabangsa.
Soalnya adalah, hak asasi manusia beracuan Islam ini akan mengikut acuan Islam yang mana? Kita perlu mengupas pandangan cetek tersebut.
Sebelum kita melanjutkannya, elok diperkirakan yang mutakhir ini terdapat banyak tanggapan buruk dan melulu terhadap gagasan hak asasi manusia moden. Antara momokan yang sering kedengaran adalah ia adalah sebuah agama baharu, terdapat juga tuduhan bahawa gagasan hak asasi manusia bertentangan dengan Islam atau merupakan satu alat yang digunakan oleh ‘musuh Islam’ untuk mencabar ketuanan Melayu.
Persoalan keadilan yang ditekankan dalam gagasan hak asasi manusia moden tidak bertentangan dengan Al-Quran sebagai rujukan umat Islam. Malahan seluruh aspek hak asasi manusia moden dapat digali dan ditemukan dalam kitab suci al-Quran yang menjadi panduan penganut Islam.
Almarhum Abu Bakar Hamzah dalam tahun 1960 telah menulis sebuah buku ‘Hak Asasi Manusia Menurut Pandangan Islam’ yang menunjukkan bagaimana The Universal Declaration of Human Rights 1948 tidak bertentangan dengan al-Quran.
Beliau menyenaraikan 30 Artikel dalam UDHR lantas menggandingkannya dengan ayat suci Al-Quran. Sarjana besar Indonesia, Nurcholish Madjid menyatakan asas-asas kemanusiaan dalam Islam telah diambil oleh Giovani Pico della Mirandola untuk khutbah beliau yang terkenal berjudul 'De hominis dignitate' (Kehormatan Manusia) pada tahun 1486. Bermula dari era pencerahan tersebut, pandangan kemanusiaan Islam menjadi gagasan yang kukuh di Barat.
Pertamanya, aku dan kita semua bersetuju dengan Najib, kerana menurut cara pandang Islam, gagasan hak asasi manusia terserlah pada doktrin ‘al-dhoruriyat al-khomsah’ atau boleh dirujuk juga sebagai ‘al-huquq al-insaniyah fi al-Islam’ (hak-hak asasi manusia dalam Islam).
Konsep ini mengandung lima pokok yang harus dijaga oleh setiap individu iaitu pertama; hak untuk hidup (surah Al-An’am ayat 151); kedua, hak persamaan darjat (surah Al-Hujurat ayat 13); ketiga, hak Memperoleh keadilan (surah al-Maidah ayat 2); keempat, hak perlindungan harta atau pemilikan (surah Al-Baqarah ayat 188); dan kelima, hak kebebasan beragama (surah Al-Baqarah ayat 256, dan surah Yunus ayat 99).
Gus Dur atau Kyai Haji Abdul Rahman Wahid, salah seorang figur besar organisasi Nahdhatul Ulama di Indonesia, dan merupakan bekas Presiden Indonesia melihat lima komponen di atas sebagai sesuatu yang melampaui tujuan syariat Islam.
Gus Dur memandang kelima-lima poin di atas sebagai bukti Islam sebagai sebuah agama yang dasarnya mempertahankan hak asasi manusia.
Abdul Muhaimin Iskandar, atau Cak Imin, salah seorang pemimpin muda Nahdhatul Ulama dan pelajar Gus Dur menyatakan Gus Dur menggunakan sepenuhnya komponen maqashid as-syari’ah untuk menjadikan Islam sebagai sebuah agama yang efektif dalam masyarakat.
Malahan, Islam dilihat dan berfungsi sebagai etika sosial. Sebagai satu etika masyarakat, hukum agama malahan menjadi lebih berkesan kerana mendapat dukungan rakyat atau massa. Justeru, Islam yang disarankan oleh beliau bersumberkan maqasid syariah itu hendaklah menjadi “kenderaan masyarakat” dan bukan wewenang negara.
Pendek kata, tujuan syariah atau maqasid syariah ikut melindungi hak manusia serta menjamin taraf dan keadaan hidup manusia. Kesejajaran matlamat antara hak asasi manusia moden dan maqasid syariah ini membolehkan satu kesepaduan digerakkan untuk membolehkan kedua-duanya saling beroperasi.
Selain dari bersumber al-Quran, persoalan hak asasi manusia turut terjelma dalam hadis-hadis Nabi Muhammad saw. Sebagai contoh, antara lain Baginda memesan pengikutnya, kelompok manusia yang tertindas harus diberi perhatian kerana Islam memandang penganiayaan, dalam konteks ini, pencabulan hak asasi manusia sebagai sesuatu yang tidak boleh diringankan.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi bernombor 2083, Rasulullah menganjurkan supaya umat Islam, khususnya kelompok penguasa, menteri atau pentadbir lebih berhati-hati dan tidak menganiaya atau menindas orang.
Keadilan, serta kasih sayang dan persaudaraan merupakan tunjang gagasan hak asasi manusia moden yang kebetulan di gagaskan di Barat.
Selain ayat suci al-Quran dan sumber sunnah yang disebutkan di atas, model pemerintahan Khulafa ar Rasyidin khususnya pimpinan Saidina Ali menunjukkan keadilan adalah satu prinsip yang tidak boleh dikorbankan dalam sebuah masyarakat.
Ia juga menunjukkan bahawa keadilan itu terpakai buat semua, tanpa mengira bangsa, dan warna kulit.
Tatacara pemerintahan Saidina Ali itu terserlah pada surat perintah kerja beliau untuk Malik Al-Ashtar, yang merupakan gabenor Mesir lantikan Khalifah keempat tersebut.
Apa yang menarik adalah laporan United Nations Development Programme (UNDP) untuk negara rantau Arab pada tahun 2002 yang bertajuk ‘The Arab Human Development Report 2002: Creating Opportunities for Future Generations’ telah merujuk surat Saidina Ali bin Abi Talib kepada gabenornya itu.
Laporan menyatakan terdapat lima kebebasan yang mesti dijamin oleh pemerintah untuk menjadi pra-syarat sebagai sebuah negara yang maju dan membangun. Lima pra-syarat ini mesti diterjemah dan dilaksanakan dalam polisi kerajaan dan saling lengkap-melengkapi.
Prasyarat yang dimaksudkan merangkumi kebebasan berpolitik, prasarana ekonomi, peluang sosial yang cukup, jaminan ketelusan dan perlindungan keselamatan. Jadi, kita tidak boleh mengatakan secara superfisial dan kontot-kontot bahawa United Nations menidakkan Islam sebagai salah satu sumber rujukan.
Dalam erti kata lain, lebih tiga belas tahun lalu, iaitu sejak tahun 2002 lagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai sebuah badan antarabangsa yang berwibawa dan menjadi rujukan dalam semua urusan dunia, antara lain melibatkan pembangunan, hak asasi manusia dan keamanan telah menjadikan Saidina Ali sebagai rujukan kebijaksanaan. Itulah tafsiran hak asasi manusia harus mengikut acuan Islam, demikian peri Najib.
Meskipun gagasan hak asasi manusia telah tersedia dalam Islam, namun demikian amalan pincang dan korupsi pemerintah serta segelintir agamawan Islam telah menyebabkan gagasan keadilan, kesetaraan dan kebebasan yang aku kemukakan di atas menjadi larut malahan pudar.
Antara sebab yang paling jelas adalah perpindahan kuasa politik dari era Khulafa’ ar Rasyidin kepada bani Umaiyyah dan kemudiannya kepada dinasti Abassiyah. Sarjana Azizah al-Hibri dalam ‘Legal Reform: Reviving Human Rights in the Muslim World’ menulis untuk Harvard International Review edisi 50 menyatakan dinasti Umaiyyah bertanggungjawab menukar ruang demokrasi dalam Islam sehingga autoritarianisme berleluasa.
Keadaan ini menjadi lebih malang apabila jentera kerajaan digunakan untuk menekan rakyat. Ini mengakibatkan kedudukan dan status, dalam konteks kajian beliau, perempuan, yang sebelumnya telah diberi tempat yang setara dan penuh maruah dalam Islam kembali terkebelakang dan terperosok ke dalam.
Dapatlah dihujahkan, hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang asing untuk penganut Islam. Bahkan dapat juga dihujahkan hak asasi manusia yang dianjurkan Islam itu adalah bersifat universal dan tidak terikat oleh zaman, atau tempat seperti yang diyakini segelintir pihak.
Jelas sekali berdasarkan perbincangan di atas hak asasi manusia adalah hak yang asas dan dasar dan dimiliki oleh setiap individu sejak ia dilahirkan.
Hak ini merupakan pemberian Tuhan Yang Maha Esa. Oleh kerana sifatnya yang demikian, ia tidak boleh dinafikan atau direbut oleh sesiapa pun. Menurut Abed al-Jabiri, dalam al-Dimuqrathiyyah wa Huquq al-Insan istilah al ‘Alamiyyyah atau universal menunjukkan hak manusia yang ditegaskan Islam itu terpakai kepada setiap manusia tanpa perbezaan gender, bangsa, kepercayaan atau status.
Hak asasi manusia dengan itu tidak dapat dikurangi kerana alasan kebudayaan atau tamadun serta melampaui ruang dan waktu.
Kesimpulannya, hak asasi manusia aadalah hak setiap manusia kerana ia datang secara pakej dengan diri manusia itu sendiri (‘ala al-Insan ayyan kana wa anna kana).
Meskipun memperjuangkan hak asasi manusia dianggap sebagai sebahagian dari komponen Islam Liberal seperti yang dinukilkan oleh Charles Kurzman dalam prakata buku susunannya 'Liberal Islam: A Source Book', tetapi seperti yang sudah dibahaskan, hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang asing atau datang dari luar Islam, malah merupakan anjuran penting Islam.
Terlepas dari kontroversi mengenai hak asasi manusia sebagai belahan dari Islam Liberal, dapat dihujahkan betapa perjuangan untuk memulihkan hak asasi manusia adalah satu bahagian dari Islam yang sederhana wajahnya.
Malahan keadilan yang ditekankan dalam hak asasi manusia moden dapat dihujahkan sebagai penonjolan dari kesederhanaan Islam. Najib, dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi bernombor 4039 Rasulullah menjelaskan “wasathan” sebagai adil.
Hadis ini merupakan penjelasan kepada kata “wasathan” yang muncul dalam ayat 143 surah al Baqarah yang terjemahannya berbunyi:
"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu..."
Majid Khadduri, pernah menjawat gelar Profesor Emeritus di School of Advanced International Studies Universiti John Hopkins menyatakan keadilan dalam Islam adalah kombinasi nilai moral, sosial yang mengacu kepada maksud kesaksamaan, keseimbangan, kesederhanaan atau pertengahan dan ketelusan.
Umat Islam menurut Khadduri lagi dalam ‘The Islamic Conception of Justice’ adalah dituntut untuk bersederhana dan telus selain menjauhi ekstremisme. Tuntutan ini jatuh pada setiap penganut Islam secara individu dan secara kolektif.
Harus dinyatakan di sini, sisi pandang Khadduri ini penting ditimbulkan di sini memandangkan sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1947, beliau bertugas bersama kerajaan Iraq.
Antara lain, beliau merupakan salah seorang anggota delegasi Iraq yang menyertai San Francisco Conference, yang mana bertanggungjawab menyediakan United Nations Charter. Jadi lebih dari sekali, nampaknya, gagasan hak asasi manusia moden yang universal itu merujuk kepada Islam.
Seperti yang telah ditunjukkan di atas, Islam yang bersumberkan al-Quran dan Nabi Muhammad saw ternyata adalah agama yang universal dan lebih sejagat dari idea Najib sendiri.
Apabila ada saranan supaya kita memilih hak asasi manusia yang lebih Islam, aku dan kita semua tertanya-tanya, hak asasi manusia beracuan Islam yang bagaimana lagi harus kita jadikan panduan? - Faisal Tehrani

2 comments:

  1. tidak ada kompromi dalam mengamalkan Hukam-Hakam Islam dan tidak ada hukum lain yang mengatasi Hukum-Hakam Islam .... sesiapa yang mengatakan Hukam-Hakam Islam boleh dikompromikan dengan hukum lain atau mengatakan ada hukum lain yang lebih baik dari Hukum-Hakam Islam, dia menjadi kufur ........!!!!

    ReplyDelete
  2. INI BUDAK LAHANAT CAKAP JANGAN CURI , JANGAN ZINA TETAPI BUAT KERJA SIAL SENYAP SENYAP

    Kesian Rakyat kena tanggung GST bayar hutang 1MDB 42 BILION

    Kesian ZZ melayan KERBAU JANTAN di PELABUHAN ANAK-KONTOL....

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa