Wednesday, 11 May 2016
PRN 11 Sarawak: Apa Maksud Tun Dr Mahathir- DS Najib Sebenarnya Kalah?
Terlihat dengan nyata, mengapa selama 22 tahun Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, Sabah dan Sarawak sebenarnya dijadikan jajahan. Kerana merupakan jajahan, maka keperluan rakyat Sabah dan Sarawak daripada segi pembangunan diberikan dengan alah kadar. Ibarat, hidangan makan dalam satu majlis, meja yang diduduki Tun Dr Mahathir dengan penyokongnya dihidangkan dengan berbagai kombinasi lauk pauk, manakalah meja yang diduduki pemimpin Sabah dan Sarawak, hanya disediakan nasi bungkus.
Selepas keputusan PRN 11 Sarawak, di mana Bn Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, Mantan Perdana Menteri itu menyifatkan kemenangan Bn Sarawak itu adalah kemenangan mutlak Tan Sri Adenan, dan kekalahan teruk bagi DS Najib Razak. Menurut mantan Perdana Menteri itu, melalui kemenangan Adenan, kini pusat kuasa bukan lagi di Putrajaya melainkan berpindah ke Kuching, ibu negeri Sarawak.
Melalui kenyataan bahawa pusat kuasa telah bertukar, menunjukkan, bahawa mantan Perdana Menteri itu, sebenarnya sangat marah, apabila DS Najib Razak memberikan apa yang hak kepada Sarawak, dan menyangkal pendekatan beliau selama memerintah, bahawa Sabah dan Sarawak merupakan negeri jajahan.
Sabah dan Sarawak, sebenarnya tidak meminta lebih daripada apa yang dipesetujui pada tahun 1963, apabila negara baru dibentuk, iaitu Persektuan Malaysia. Rakyat Sabah dan Sarawak tidak meminta hak rakyat Semenanjung, sebaliknya hanya meminta hak dua negeri itu sepertimana yang ditulis melalui Perkara 18 (Sarawak) dan Perkara 20 (Sabah).
Sebenarnya, melalui Perjanjian Malaysia 1963, setiap 10 tahun, akan dilakukan kajisemula berkaitan dengan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak, namun sehingga kini, ianya tidak dilakukan. Walaupun tidak dilakukan, namun selepas DS Najib Razak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2 April 2009, beliau menyatakan akan mendengar degup jantung rakyat Sabah dan Sarawak.
Melalui pengakuan Perdana Menteri ke-6 negara itu, maka diumumkan pembinan Trans Borneo yang menghubungkan semua pekan atau bandar di Sabah dan Sarawak, di mana lebuh raya itu mengandungi 4 lorong (dua lorong sehala). Bayangkan selepas 50 tahun, barulah rakyat Sabah dan Sarawak mendapat lebuh raya 4 lorong, sedangkan lebuh raya seumpama itu telah berdekad dirasai atau dinikmati penduduk Semenanjung.
Rakyat Sabah dan Sarawak adalah rakyat yang tahu mengenang budi, seperti mana kerap diucapkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman- Ada Ubi Ada Batas, Ada Budi Ada Balas. Rakyat Semenanjung begitu marah dengan rakyat Sarawak kerana memberikan kemenangan kepada Bn Sarawak. Ada rakyat Semenanjung mendakwa, bahawa rakyat Sarawak tidak tahu melihat masa depan. Rakyat Sarawak sebenarnya telah memberi isyarat kepada parti-parti yang bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir, jangan paksa rakyat menyokong parti-parti yang disokong oleh mantan pemimpin yang tidak memberi pembelaan kepada mereka. Bayangkan dalam tempoh 22 tahun, rakyat Sabah dan Sarawak digengam kemiskinan, hanya kerana hak yang sepetutnya diberikan, tidak diberikan, sebaliknya pemberian hanya bersifat ala kadar.
Sebenarnya rakyat Sabah dan Sarawak terselamat, hanya kerana perlantikan DS Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Pada masa pilihanraya Sarawak, terlihat bagaimana Perdana Menteri dan Menteri-menteri persekutuan memberi perhatian kepada pembangunan Sarawak. Melalui kempen semasa pilihanraya Sarawak, para menteri Persekutuan berpeluang melihat sendiri, bagaimana ketinggalannya Sarawak, atas sebab itu, berbagai projek diumumkan oleh Perdana Menteri dan para menteri persekutuan.
Melihat kepada pembelaan Perdana Menteri dan para menteri dalam kabinet beliau, rakyat Sarawak memberi respon dengan memberi undi kepada Bn Sarawak yang diketuai oleh Tan Sri Adenan Satem.
Kepada pembangkang, selagi rakyat Sabah dan Sarawak dibela dan tidak dijadikan sebagai jajahan, maka selagi itu rakyat dua negeri itu memberikan sokongan kepada pemimpin yang membela mereka.
Rakyat Sabah dan Sarawak adalah rakyat yang tahu mengenang budi, walaupun ianya tidak disukai oleh sebahagian rakyat Semenanjung, khususnya penyokong pembangkang.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa