Dendam siapa lebih mudarat: Mahathir atau Anwar?
pada 20-05-2016 09:05
Oleh Zainal Salleh
Mahathir mensasarkan usaha menurunkan Datuk Seri Najib daripada kerusi Perdana Menteri Malaysia. Mahathir juga tidak berselindung untuk menewas dan mengaibkan Umno-BN dalam dua pilihanraya kecil bulan depan.
pada 20-05-2016 09:05
Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Benar dan wajarkah surat Anwar Ibrahim yang ditujukan kepada barisan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap khusus untuk pemahaman dan tindakan pemimpin dan ahli-ahli parti itu sahaja?
Pemimpin-pemimpin PKR nampaknya tidak mahu teguran Anwar itu menjadi bahan perbincangan umum kerana mungkin khuatir ia menerbitkan persepsi kurang baik berhubung soal kerukunan dan kesejahteraan dalam parti itu.
Begitu juga dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Beliau menganggap mesej yang terkandung dalam warkah bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “hal rumah tangga PKR”.
Mungkinkah beliau bimbang jika pendirian Anwar itu menjadi perbincangan awam atau agenda Pakatan Harapan, ia akan merencatkan gerak kerja pakatan itu kerana perlu menilai semula pembabitannya dengan Mahathir?
Paling tegar menafikan campurtangan “orang luar” ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, dan Naib Presiden, Shamsul Iskandar Akin. Mereka menyifatkan ehwal PKR tidak perlu dikongsi pihak lain, termasuk media.
Dengan serius Azmin menggambarkan kerengsaannya menjawab soalan wartawan meminta komen beliau mengenai peringatan Anwar tentang taktik Mahathir yang dianggap elit politik berbahaya pada perjuangan reformasi PKR.
Shamsul pula merumuskan bahawa warkah Anwar itu bukan arahan supaya PKR menjarakkan diri dari kempen Deklarasi Rakyat mantan Perdana Menteri itu.
Katanya, intipati surat Anwar cuma satu peringatan pada pucuk pimpinan PKR supaya berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan Tun Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. Ia bukan bermaksud melarang.
Jadi jika surat Anwar itu adalah soal rumahtangga PKR yang mahu reformasi ditegakkan dalam setiap sendi pentadbiran negara mengapakah pihak luar, terutama rakyat dan media, dilarang daripada terbabit dalam wacana Anwar itu?
Bukankah Anwar dengan terang mengingatkan bahawa gerakan reformasi semakin malap dan keghairahan PKR sendiri semakin luntur kerana “dikerdilkan” oleh agenda Mahathir yang juga mahu “menyelamatkan negara”?
Mahathir mungkin punca reformasi Anwar terkubur
Mahathir mensasarkan usaha menurunkan Datuk Seri Najib daripada kerusi Perdana Menteri Malaysia. Mahathir juga tidak berselindung untuk menewas dan mengaibkan Umno-BN dalam dua pilihanraya kecil bulan depan.
Anwar mungkin khuatir jika “kemenangan-kemenangan kecil” Mahathir jadi kenyataan, ia akan melalaikan pimpinan PKR dan menjalar kepada pimpinan Pakatan Harapan dan akhirnya menyebabkan idealisme reformasi terkubur.
Setakat ini Parti Amanah Negara (PAN) tidak menunjukkan minat mengambil ibrah daripada surat Anwar. Ia sibuk meletakkan calon dalam PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar untuk menjadi dalil ia adalah pengganti PAS sebagai parti Islam.
Soal bahaya pemikiran dan strategi politik Mahathir bukan perkara utama bagi PAN. PAS juga tidak berselera mengulas mesej surat Anwar itu kerana turut leka mempertahankan “haknya” meletakkan calon dalam kedua-dua PRK itu.
Kalau sikap tidak acuh parti-parti komponen Pakatan Harapan dan PAS ini berlarutan sudah tentu ia akan membawa maksud bahawa kebimbangan Anwar berasas. Parti-parti berkenaan memang terpukau dengan taktik Mahathir.
Sekaligus ia juga boleh dibaca bahawa pengaruh Anwar semakin susut dek jeriji besi penjara Sungai Buloh yang menghalang karismanya merangsang perjuangan reformasi yang digerakkan sejak 1998.
Ia juga boleh dibaca sebagai petunjuk kegesitan ilmu politik Mahathir. Selain itu, ia ia turut menggambarkan bahawa baik pimpinan PKR, mahupun DAP, PAN dan juga PAS sendiri mahu bersikap badan siasah yang elitis.
Rakyat dihalang dan dinafikan hak untuk membincang dan mengambil bahagian membentuk dinamika politik negara. Sesungguhnya ini sesuatu yang malang bagi politik pembangkang dan pembangunan wacana politik sihat.
Bukankah faktor politik Mahathir dan Anwar ini menjadi salah satu anak kunci pada perkembangan politik negara. Anwar mengingatkan PKR dan akhirnya rakyat tentang bahaya politik elitis Mahathir?
Anwar masih dendam Mahathir?
Bagaimanapun Mahathir pula tidak segan silu menyatakan bahawa isu yang mendasari saingan beliau dan Anwar kini ialah soal dendam.
“Memang la, dia (Anwar) pun dendam pada saya. Sama-sama berdendam,” kata Mahathir seraya mengakui tidak mustahil masih wujud dendam di antara beliau dengan Anwar Ibrahim ketika mereka menerajui negara.
Bagaimanapun beliau menegaskan tuduhan Anwar dalam suratnya yang mendakwa beliau (Mahathir) menggunakan pentas Deklarasi Rakyat sebagai membalas dendam adalah tidak tepat.
Yang muktamad jika mengikut bacaan Mahathir ialah, masih ada saling dendam di antara beliau dengan Anwar. Kesumat mereka ini tentu mempunyai unsur yang boleh mencorakkan politik negara dan nasib rakyat.
Lantas sikap dingin DAP, PAS dan PAN berhubung isu ini agak menggusarkan. PKR tidak boleh menganggap pendirian Anwar itu sebagai rahsia dan tidak perlu membabitkan rakyat.
Perihal persaingan merebut kuasa dan pengaruh dalam PKR adalah satu persoalan yang ada kesan pada rakyat. Menafikan hakikat itu bererti menafikan hak rakyat dan tidak demokratik.
Sikap membisu untuk “jaga tepi kain sendiri” oleh parti-parti pembangkang ini agak mengecewakan. Belumpun diberi mandat memerintah, mereka sudah meracik hak partisipasi rakyat dalam politik.
Jika sikap ini berterusan, ia bukan sahaja akan menggencatkan peluang mereka menakluki Putrajaya kerana persepsi rakyat bahawa pembangkang berwibawa menjadi alternatif Umno-BN mungkin pudar.
Rakyat mesti diajak menyertai wacana saingan Anwar-Mahathir ini kerana rakyat perlu memilih dendam siapa yang lebih berbahaya kepada keharmonian hidup anak cucu mereka di kemudian hari.
Sebelum rakyat membuat pilihan, PKR dan parti-parti pembangkang lain wajib memutuskan siapa yang wajar mereka pilih sebagai nakhoda pembangkang – Anwar atau Mahathir.
Ini kerana di antara kedua politikus veteran ini ialah dendam.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa