Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, May 29, 2016

Bukan hanya mereka yang kecewa, ramai lagi di kalangan rakyat yang terhimpit

Surat kekecewaan mahasiswa untuk pembangkang
29 Mei 2016 | MUHAMMAD WAFIUDDN ROSLI
Mahasiswa kini kecewa dengan pembangkang yang tidak bersatu.

21 Mei 2016 Masihi bersamaan 14 Syaaban 1437 Hijrah.  

Kehadapan Yang Berbahagia:

1) Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)  Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat,  A-1-09, Merchant Square,  Jalan Tropicana Selatan 1,  47410 Petaling Jaya,  Selangor Darul Ehsan.

2) Pemangku Pengerusi Kebangsaan,  Parti Tindakan Demokratik (DAP)  Ibu Pejabat Kebangsaan,  Jalan Yew (off Jalan Pudu),  55100 Kuala Lumpur.

3) Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)  Wisma Amanah Negara,  Unit No. 73-1, Tingkat 1,  Jalan Seri Utara 1, Sri Utara,  Off Jalan Ipoh,  68100 Kuala Lumpur.

4) Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS)  Pejabat Agung PAS Pusat,  No. 318-A,  Jalan Raja Laut,  50350 Kuala Lumpur

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,  Sesungguhnya saya menulis surat ini buat kesemua presiden-presiden komponen parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan PAS yang menjadi tunggak harapan rakyat bagi menggantikan kerajaan sedia ada Barisan Nasional (BN) yang kian bobrok dibawah YAB Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak itu.

Saya dengan ini menginsafi bahawa saya hanyalah seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang terdiri daripada mahasiswa dan anak muda begitu lelah melihat cakaran diantara komponen pembangkang yang tiada langsung keuntungan buat rakyat Malaysia khususnya.

Yang Berbahagia Presiden-Presiden Parti Pembangkang,

Sudah agak lama kiranya komponen blok pembangkang ini mengalami krisis yang tidak ada kesudahan jelas untuk menumpukan kepada masalah rakyat yang kian tertindas ini. Blok pembangkang lebih dilihat mempunyai ego yang tinggi dan hanya mementingkan kepentingan parti sendiri berbanding isu rakyat. Saya boleh nyatakan beberapa kekecewaan anak muda terhadap blok pembangkang ini :

1- Pembangkang gagal untuk mengurus krisis yang melanda sesama mereka bahkan mereka lebih suka mengambil sikap pentingkan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat terutamanya PKR dan DAP, PAS dan AMANAH di Sarawak.

Contoh mudah, mahasiswa dan anak muda melihat cara mengurus Pakatan Harapan didalam penentuan kerusi Pilihanraya Negeri Sarawak yang lepas, mengapa masih terdapat pertindihan kerusi sesama blok pembangkang sedangkan kesepakatan telah dijanjikan bersama untuk berhadapan dengan BN tetapi akhirnya cita-cita itu dibakulsampahkan sebegitu rupa demi kepentingan pengaruh dan politik kesemua parti pembangkang. Anda semua telah mengecewakan kami.

2- Pembangkang gagal untuk mengangkat suara anak muda di dalam setiap manifesto yang mereka janjikan. Jika mereka mengatakan anak muda sebagai harapan dan tunggak kepada perubahan, mengapa kepentingan kami diketepikan tanpa sebarang penelitian?

Anak muda mahukan kepentingan kami didengari dan sebahagian daripada penentuan polisi tetapi malangnya kami ibarat tidak begitu wujud dimata kalian wahai parti-parti pembangkang. Anda semua sekali lagi telah mengecewakan kami.

3- Pembangkang gagal untuk bersepakat bersama dalam cita-cita bagi menurunkan YAB Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang korup. Bahkan bergaduh dan teragak-agak sesama sendiri samada untuk bersama dalam Deklarasi Rakyat dibawah Mahathir ataupun tidak.

Mujur Anwar Ibrahim mengeluarkan suratnya, barulah pembangkang ‘meroyan’ seolah-olah kononnya sinar kebenaran baru sahaja terbit. Soalnya, mengapa kalian seolah-olah menunggu surat dari Anwar? Tidakkah kalian boleh bersepakat bersama bagi mengumpul kekuatan menurunkan YAB Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak. Kalian dilihat lemah, sekali lagi telah mengecewakan rakyat.

4- Pembangkang lebih syok untuk memanjangkan pergaduhan bahkan seronok untuk disensasikan buat tatapan rakyat. Mengapa kalian suka bersengketa sesama sendiri dan seperti sengaja menimbulkan kenyataan membawa kepada permusuhan? Aktiviti cabar-mencabar, kutuk-mengutuk, dan caci-maki sesama parti pembangkang hanyalah memberikan gambaran kalian tidak serius untuk memimpin Malaysia bagi menggantikan BN yang sudah tidak dianggap releven lagi kini.

Presiden-Presiden Parti Pembangkang yang dihormati,

Atas nama mahasiswa, anak muda, dan rakyat Malaysia, saya sebahagian suara kecil yang tidak begitu penting ini merayu dan memohon kepada kesemua kalian agar kembali bersepakat bersama melakukan langkah yang konstruktif bagi menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang bakal berlaku tidak lama dari sekarang. PRK ini adalah simbol kematangan kalian dalam mengurus dan memberikan harapan kepada keseluruhan rakyat Malaysia sebelum menghadapi PRU 14.

Mahasiswa dan anak muda memberi amaran supaya jangan sekali lagi memberikan peluang kemenangan kepada BN dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan pertindihan kerusi sesama pembangkang baik PKR, DAP, AMANAH dan PAS. Kami sudah jelek dengan sikap kalian yang seperti acuh tidak acuh sahaja dalam menghadapi BN untuk membina sebuah kekuatan dan menghadapi sebuah kemenangan.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan aset penting untuk pembangkang miliki kedua kerusi ini bagi memberikan mesej jelas bahawa Najib Razak dan partinya UMNO BN sudah tidak tidak releven lagi dan perlu turun dari terus menjadi Perdana Menteri Malaysia akibat terlalu banyak kebobrokan yang dicipta oleh beliau.

Presiden-Presiden Parti Pembangkang yang dikasihi,

Tidakkah kalian mengetahui, bahawa mahasiswa dan anak muda kini menghadapi ‘Fatigue Syndrom’ yakni sudah letih dan malas untuk mengambil tahu dan bersama-sama dalam segala macam hal yang berlaku di Malaysia ini terutama bab politik?

Sedarlah bahawa ini merupakan petanda bahaya yang memungkinkan penurunan peratusan turun mengundi oleh mahasiswa dan anak muda pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta PRU 14 akan datang. Justeru, kalian perlu mewarna sebuah warna-warni harapan buat anak muda Malaysia agar kembali percaya kepada kalian.

Justeru itu, saya mewakili sebahagian daripada mahasiswa, anak muda, dan rakyat Malaysia turut berkongsi aspirasi yang sama menggesa tindakan yang JUJUR dan SERIUS daripada kalian. Prasyarat kepada sebuah kemenangan dan kebangkitan adalah dengan membina sebuah kesatuan demi cita-cita yang ingin digapai.

Ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menggantikan BN kepada komponen parti yang konsisten bersama rakyat dan anak muda. Jika harapan ini kalian bakulsampahkan, mahasiswa dan anak muda tidak teragak-agak untuk bertindak sesuatu !

Muhammad Wafiuddin Rosli  
Koordinator bersama,  
Gerakan Mahasiswa Amarah (GeMA)

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa