Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, May 25, 2016

Luahan kebimbangan akar umbi PKR terhadap Pimpinan dan Ahli

بِسْمِ اللهِ الرَّحمنِ الرَّحِيْم

DS Presiden, Pimpinan Pusat & Negeri-negeri dan seluruh warga Keadilan.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Bahagian II

Kemenangan awal di dalam Peperangan Uhud adalah hanya untuk sementara waktu apabila pasukan pemanah yang di tempatkan oleh Baginda Rasulullah SAW di atas Bukit Uhud meninggalkan kubu mereka. Mereka tidak patuh kepada arahan Baginda Nabi SAW. Mereka teruja dengan harta rampasan perang yang sedang dikumpul. Mereka merasa bimbang akan ketinggalan pembahagian harta tersebut. Musuh melihat ini sebagai satu peluang besar untuk menyerang balas ketika pertahanan utama iaitu pasukan pemanah sudah tidak berada di kubu. Mereka melihat tentera Islam sedang leka dengan harta rampasan perang. Akhirnya tentera musuh melancarkan serangan dan mengakibatkan tentera Islam tewas.

Begitulah juga situasi kita hari ini. Kita mendapat kemenangan awal di dalam PRU12 sehingga mendapat 5 negeri dan menafikan majoriti 2/3 Umno-BN di Parlimen. Walau bagaimanapun akhirnya tidak kekal lama. 

Perak dirampas semula; walau dengan cara paling kotor dilakukan oleh Umno-BN. Namun di sana terdapat juga kelekaan kita (Pakatan Rakyat) sehingga menyebabkan Umno-BN dapat mengambilnya semula. 

Walau pun kita berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen dalam PRU13 namun kita kehilangan satu lagi negeri iaitu Kedah manakala Perak tidak mampu kita mengambilnya kembali. 

Saya yakin JPRP dan parti sudah membuat analisa terperinci tentang perkara ini. Setiap kali analisa dibuat bagi mencari sebarang jawapan kepada sesuatu keputusan pilihanraya (PRU & PRK), analisa sudah pasti menjurus kepada dua faktor utama iaitu faktor luaran dan dalaman. Dan saya juga yakin parti sudah memperolehi jawapan yang sebenar terhadap analisa tersebut. 

Saya percaya tiga negeri yang tinggal di tangan Pakatan (PR/PH) sudah pasti mahu dijadikan contoh  (role model) pentadbiran dan pengurusan yang baik agar rakyat membuka mata bahawa kita mampu menjadi kerajaan yang lebih baik berbanding Umno-BN. 

Ini jugalah yang telah ditekankan beribu kali oleh Ketua Umum, DSAI. Harapan DSAI terhadap Selangor sangat tinggi. Selangor berjaya kita perolehi di dalam PRU12 dan berjaya mengekalkannya dalam PRU13. Ini tidak menjamin kita akan dapat mengekalkan untuk PRU yang akan datang. 

Kemenangan ke atas Selangor adalah kemenangan bersama di dalam PR bersama PAS dan DAP. Pertelingkahan hebat di antara PAS-DAP dilihat tiada noktahnya membuatkan Keadilan tersepit di tengah. 

Perpecahan PAS sehingga tertubuhnya Amanah semakin menghimpit kita. Kerja keras DSAI dalam tempoh 12 tahun menyatukan parti pembangkang dilihat semakin terancam terhadap perselisihan tiga penjuru PAS-DAP-Amanah. Pertelingkahan yang tiada kesudahannya ini turut mengancam kedudukan Selangor. 

Musuh sedang memerhati. Rakyat juga sedang meneliti. Keadaan ini membuatkan kita perlu berhati-hati menanganinya. Saya tidak berniat mengulas perkara ini. Saya tertumpu untuk memberi pandangan terhadap isu-isu dalaman Keadilan.

Sebagai seorang ahli biasa di peringkat akar umbi saya menaruh harapan yang sangat tinggi terhadap Keadilan. Saya bersikap idealistik. Saya amat yakin sikap idealistik sepenuhnya jika diamalkan dengan betul berdasarkan tuntutan agama dan peraturan yang ada (dalam hal ini Perlembagaan Parti), kita akan semakin mendekati kesempurnaan. 

Saya pasti semua Pimpinan Pusat, Negeri dan Cabang adalah terdiri daripada ahli-ahli politik. Setiap ahli politik mempunyai matlamat. Merujuk kepada Keadilan matlamat ini pula terbahagi kepada dua iaitu matlamat perjuangan parti dan matlamat peribadi ahli politik.

Di dalam perjuangan kita wajib meletakan matlamat perjuangan parti sebagai matlamat utama dan matlamat peribadi di tempat paling bawah. Sebaliknya jika meletakan matlamat peribadi paling atas, akan mengakibatkan banyak permasalahan.

Tidak salah ahli-ahli politik berusaha keras untuk mencapai matlamat peribadi selagi mereka meletakan matlamat perjuangan parti di tempat yang tertinggi. Menjunjung Perlembagaan Parti. Menghormati peraturan parti. Akur kepada keputusan Majlis Pimpinan Pusat dan menghormati di antara satu sama lain. 

Ahli politik yang baik ialah yang bekerja sebagai sebuah pasukan di dalam organisasi. Selama 17 tahun kita berjuang bersama di dalam Keadilan. Jalan berliku, onak dan duri, suka dan duka telah kita jalani bersama. Cahaya sudah kelihatan di hadapan. Kemenangan sudah semakin hampir. Rakyat semakin membuka mata. Rakyat bukan bodoh. Mereka melihat, mendengar, meneliti juga menganalisa.

Saya mohon jasa baik semua ahli politik Keadilan; walaupun anda semua mempunyai matlamat peribadi yang cukup kuat; janganlah kiranya meletakannya di puncak segala matlamat. Politik dalaman hendaklah dikurangkan (pasti tidak dapat dihentikan). Jaga dan uruslah harta negeri dengan penuh jujur dan amanah. Jauhkan diri kita daripada bersikap sama seperti Umno-BN. Hormatilah Ketua Umum DSAI & Presiden DSWA. Mereka bersama keluarga telah melalui derita yang panjang dalam perjalanan ini. Jika anda semua berada di landasan yang betul, berpegang kepada prinsip perjuangan yang asal; saya yakin warkah 8 halaman tidak akan ditulis oleh DSAI.

Cukuplah kita selama ini diperdaya oleh Umno-BN. Janganlah pula kita terpedaya oleh Tun M. Paling buruk jika kita terpedaya oleh hawa nafsu kita sendiri. Hawa nafsu yang sentiasa menghasut kita untuk mengejar pangkat, darjat dan harta benda. Kerana semua itu mampu menggagalkan matlamat utama perjuangan iaitu membela nasib rakyat dan mengambil alih pemerintahan negara.

Wallahu a'lam

ZAIDI AHMAD
Pekan
23, Mei 2016M
16, Sya'ban 1437H

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa