Sunday, December 4, 2016

Aku terlepas pandang: Najib bercakap seorang diri, memang seronok. debatlah!

DEBATLAH DENGAN MAHATHIR, NAJIB CAKAP SEORANG DIRI MEMANG SERONOK!
oleh Izmil Amri

Letih kita mendengar ucapan-ucapan di Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Letih, menyampah, rasa nak muntah; semua ada. Festival tahunan ini memang pun itu tujuan dia, untuk bercakap merepek tentang UMNO secara ad nauseam – sampai rasa nak muntah.

Sejak hari pertama persidangan bermula, kita melihat bagaimana media arus perdana menghurung PWTC dan memuntahkan berita-berita tentang ucapan pembesar-pembesar parti Melayu itu. Keesokan harinya akhbar-akhbar milik UMNO memaparkan di muka depannya betapa gah dan hebatnya semangat yang ditiup antara empat dinding ibu pejabat UMNO.

Kemuncaknya esok, apabila Presiden United Malays National Organisation, atau lebih dikenali ramai sebagai suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor, akan sekali lagi naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan penggulungan dan memalu gong pelaung, menandakan bermulanya strategi UMNO menuju pilihan raya umum ke-14.

Tetapi kita janganlah terlalu berasa teruja dengan ucapan-ucapan UMNO ini. Bercakap seorang diri tanpa ada ruang yang terbuka untuk dicabar dan berdebat memang seronok. Langit pun boleh runtuh kalau ikut hati bercakap sendirian begitu. Tambah pula dengan tepukan gemuruh perwakilan yang kenyang dijamu […….]

Barang diingat. Datuk Seri Najib Razak adalah seorang yang akan melarikan diri daripada berdebat. Dia tidak berani. Bukan sekali dua kita telah menyaksikan ‘Malaysian Official 1’ ini melarikan diri dari gelanggang. Sudah baaaaaaaaanyak kali.

Terbaru pastinya kita masih ingat bagaimana beliau menghilangkan diri apabila Tun Dr Mahathir datang ke PWTC untuk bersoal jawab dengannya.

Najib Razak memang seronok bercakap seorang diri. Cuba kalau kita letak Mahathir di depan dia. Tak cukup tanah dia melarikan diri.

Melayu hilang kuasa

Dalam setahun, UMNO akan mengulang ayat ini beberapa kali. Tak perlu tunggu bersidang pun UMNO akan tetap bermain sentimen perkauman, kerana UMNO memang parti perkauman. Tanpa modal perkauman, apa lagi lah UMNO ada? Barangkali modal agama, setelah di-hijack modal politik angin syurga itu daripada PAS.

Sebenarnya kita semua sedia tahu, kalau UMNO melingkup, UMNO lah yang hilang kuasa.

UMNO berkuasa pun Melayu merana. Lihat sahaja bagaimana kita sehari-hari dicukai dan dipaksa bayar tol, selain harga barang keperluan yang naik tak turun-turun. Ini siapa punya kerja? Kalau bukan UMNO, siapa? DAP kah yang luluskan GST?

Sasterawan Negara, Pak A. Samad Said  telah berkali-kali mengingatkan:

“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya…

“Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan PM semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu.

“Ini tidak termasuk Raja-raja Melayu, tentera dan polis yang majoritinya orang Melayu.”

Otak yang boleh menerima dakwaan Melayu hilang kuasa jika UMNO melingkup adalah otak yang sarat disumbat dedak dan pembohongan sehingga tidak lagi mampu mempersoal, telan sahaja mentah-mentah. Kalau otak seluruh rakyat Malaysia demikian bengap, memang boleh lah UMNO kekal berkuasa sampai kiamat.

Sebab itu pentingnya perdebatan. Politik ialah seni memujuk keyakinan, dan ia tidak boleh sekadar ditelan seperti ular sawa menelan buaya. Akhirnya buaya koyak perut ular dan berlepas lari. Bodoh betul ular sawa itu.

Maka sekarang begini. Najib Razak dan konco-konconya boleh terus merepek sampai hari Sabtu. Tak apa, kita dengar habis-habis apa tawarannya untuk rakyat negara ini semuanya, bukan yang Melayu sahaja.

Hari Ahad, Parti Tindakan Demokratik pula bakal bersidang di Shah Alam. Kita tengok apa pula jawapan DAP terhadap tuduhan-tuduhan sehala dan syok sendiri oleh UMNO selama seminggu ini.

Kemudian rakyat boleh buat keputusan. Mahu memilih terus merana di bawah pemerintahan kleptokrat, atau memilih untuk membuka lembaran baru bersama para demokrat. - sumber


No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa