Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, December 7, 2016

Isu tangkapan kerana balak menjadi lebih riuh

Dari hutan Gua Musang ke Putrajaya, Orang Asli desak siasat tangkapan

  | December 6, 2016
Mereka mahu pegawai Jabatan Perhutanan Kelantan yang terlibat tangkapan lebih 50 Orang Asli di Gua Musang disiasat sama ada mempunyai kepentingan hasil balak.
VIDEO INSIDE
PUTRAJAYA: Lebih 10 Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan hadir di pejabat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia di Putrajaya hari ini bagi menuntut siasatan terhadap insiden penangkapan aktivis dan penduduk yang cuba menghalang lori balak daripada menceroboh tanah kediaman mereka.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Azmi Badun berkata pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) perlu disiasat kerana menyalah gunakan kuasa apabila bertindak menangkap lebih 50 Orang Asli baru-baru ini.
“Pihak JPNK dan PGA juga menyalahgunakan kuasa apabila bertindak memohon reman 2 hari untuk 47 Orang Asli pada 30 November lalu.
“Mereka juga perlu disiasat kerana menyalah gunakan kuasa merobohkan halangan dan bangunan tradisi di kampung Simpang Petei, Kampung Cawas, Kampung Parit dan Simpang Pos Tohoi.
“Mereka juga perlu disiasat kerana bertindak menghalang orang awam, NGO dan peguam daripada memasuki perkampungan Orang Asli bermula 11 Oktober 2016,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Kumpulan itu juga menuntut pihak Suruhanjaya Integriti menyiasat pegawai JPNK sama ada mempunyai kepentingan membabitkan syarikat balak.
“JPNK memang mempunyai kuasa untuk sekat kemasukan ke mana-mana kawasan hutan mengikut seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984. Namun kuasa tersebut tidak boleh disalah gunakan untuk mengepung Orang Asli yang sedang berjuang untuk menghentikan pemusnah hutan di sekeliling mereka.”
Kumpulan itu turut mempersoal tindakan PGA membantu JPNK membuat tangkapan, dan mempersoalkan sama ada ia atas arahan kerajaan Kelantan.
Minggu lalu seramai 54 Orang Asli diberkas jabatan perhutanan negeri di sebalik tindakan kerajaan Kelantan terus membenarkan aktiviti pembalakan di situ.
Penduduk Orang Asli mengadu pencerobohan hutan menyebabkan punca pendapatan harian mereka diganggu.
Azmi berkata pihaknya bertekad untuk terus membina sekatan lebih besar selepas ini sehingga pihak berkuasa menunaikan semua tuntutan melibatkan tanah adat.
“Sebelum ini, kami bina 3 sekatan, mungkin selepas ini kami akan tambah 7 lagi sekatan dan kami tidak gentar dengan serbuan pihak berkuasa,” katanya.
Kehadiran kumpulan itu ke Suruhanjaya Integriti turut ditemani pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan NGO dari Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).
Sementara itu, Biro Orang Asli PSM, Suresh Kumar berkata tindakan pihak berkuasa menangkap Orang Asli seolah-olah mereka merupakan ancaman kepada keselamatan negara.
Jaringan Orang Asal dukacita Isa Ab Hamid gagal membela nasib Orang Asli yang cuba menghalang kegiatan pembalakan di tanah adat

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa