Biar saya mulakan dengan tiga tuntutan rakyat yang kini telah menjadi asas Tuntutan Gerakan Anti Tipu 505.
Pertama: Tidak akan menerima keputusan PRU13.
Kedua: Menuntut ditubuh SPR baru.
Ketiga: Mengadakan pemilihan semula dikawasan berlaku penipuan.
Tiga tuntutan ini adalah tuntutan minima dari rakyat yang semakin marah kerana undi mereka telah ditipu. Kemarahan para pengundi ini sedang diterjemahkan dengan gerakan anak muda yang mahu turun ke jalan raya. Turun ke jalan raya ini adalah manifestasi bahawa para pengundi tidak mahu ditipu. Paling menjolok mata ialah kehadiran ratusan ribu anak anak muda di jalan raya - walau pun mereka mungkin belum mengundi - tetapi mereka tidak mahu menerima penipuan.
Ramainya orang turun ke jalan raya itu adalah bukti sahih bahawa penipuan telah berlaku. Jika penipuan tidak berlaku mustahil ratus ribu orang ramai akan turun ke jalan raya. Mereka yang turun ke jalan raya ini bukan diupah. Mereka bukan dibawa dengan bas. Mereka bukan pegawai kerajaan yang dipaksa datang. Mereka bukan murid sekolah yang dibawa oleh guru. Mereka bukan anak muda dari sekolah asrama penuh. Mereka tidak dibekalkan dengan nasi bungkus.
Mereka ke jalan raya dengan kesedaran. Beratus ribu turun ke jalan raya kerana mereka sedar bahawa SPR telah menipu. Mereka sedar bahawa kemenangan United Malays National Organisation adalah kemenangan melalui jalan tipu. Mereka sedar bahawa SPR telah menjadi alat untuk memastikan Parti Ketuanan Melayu akan terus berkuasa.
Bermula dengan Himpunan #Tipu505 di Kelana Jaya kini telah merebak ke seluruh negara. Turun ke jalan raya ini kini telah menjadi ampuh dan sedang mendobrak lembaga-lembaga yang bersekongkol dalam merancang penipuan PRU13. Tidak dapat tidak rakyat Satu Malaysia akan menunggu ‘grande finale' gerakan jalan raya ini.
Jelas terbukti bahawa kesedaran wujudnya PENIPUAN dalam PRU13 adalah pemangkin orang ramai dan anak anak muda untuk turun ke jalan raya. Menolak penipuan dalam PRU13 menjadi motivasi utama. Penipuan PRU13 adalah penyebab rakyat turun ke jalan raya. Turun berdemo ke jalan raya bertujuan untuk mengembalikan yang hak.
Seluruh dunia tahu PRU13 telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat. PRU13 ini telah dicuri. Kemenangan PRU13 telah dicuri oleh United Malays National Organisation. Justeru perjuangan untuk mengembalikan kemenangan ini telah memanggil anak-anak muda ini turun ke jalan raya. Jika TIDAK ada penipuan mustahil beratus ribu orang ramai akan turun ke jalan raya.
Anak anak muda bukan bodoh. Anak anak muda bukan bangang boleh ditarik hidung. Anak muda turun ke jalan raya melawan kezaliman kini sedang menjadi tren dan fesyen seluruh dunia. Dimulakan oleh anak muda dari Tunisia, kemudian ke Mesir, ke Paris, ke London, ke Bahrain, ke New York - dan terakhir ke Turki.
Rejim-rejim zalim satu demi satu telah disingkirkan oleh gerakan anak muda di jalan raya. Anak muda tahu akhirnya dunia ini adalah milik mereka. Justeru mereka wajib bertindak untuk melakar masa depan mereka. Ini hakikat.
Masih ada yang bertanya : Kenapa kita ke jalan raya? Apa salahnya pilihan raya kita?
Dua soalan ini adalah soalan yang amat adil. Ini soalan berhemah. Ramai yang telah menyuarakan soalan ini. Justeru di sini saya cuba memberi jawapan sejelas mungkin.
Awal wahid kita mesti menerima hakikat bahawa Malaysia adalah Negara Dunia Ketiga. Dalam sejarah Negara Dunia Ketiga TIDAK pernah berlaku perubahan rejim melalui pilihan raya. Hukum-hukum dan syarat dalam Negara Dunia Ketiga ini amat berbeza dari hukum dan syarat politik di Amerika, di Eropah , di New Zealand, di Australia atau di Kanada. Ada perbezaan hakiki antara Negara Dunia Ketiga dengan negara kuasa imperial Anglo-Amerika dan egara Kedua di Eropah.
Kesemua Negara Dunia Ketiga muncul hasil dari pertembungan dengan negara imperial. Tanah Melayu ini wujud kerana British. Malaysia wujud kerana perancangan British. India, Burma, Pakistan, Iran, Iraq dan dan dan... semua diwujudkan oleh kuasa imperial British. Malah Siam yang tak pernah dijajah itu pun diwujudkan oleh dua kuasa kolonial. Siam dijadikan negara pemisah dengan perjanjian kuasa imperial Perancis yang menjajah Indo-China dengan kuasa imperial British yang menjajah Tanah Melayu. Hakikatnya Negara Dunia Ketiga ini muncul kerana kuasa kolonial.
Sejarah Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia adalah sejarah kolonial British. Kuasa penjajah British ini telah memilih United Malays National Organistaion untuk mengambil alih pentabiran Bristish pada 31 Ogos 1957.
Salah satu ciri yang amat penting dalam Negara Dunia Ketiga ini ialah kaum kapitalis dan kaum pemodal nasional amat lemah. Mereka hanya menjadi orang tengah untuk kaum pemodal internasional. Kerana mereka lemah maka mereka bergantung kuat dengan kuasa politik. Justeru kita melihat Daim Zainuddin, Vincent Tan, Syed Mokhtar, Halim Saat, Cucu Iskandar Kutty, Ananda Krishna semuanya bergantung dengan kuasa daulah United Malays National Organisation untuk mengembangkan jaringan perniagaan mereka. Tanpa sokongan daulah kaum kapitalis ini akan reput.
Ini perbezaan politikal ekonomi yang wajib difahami. Inilah sebab utama kenapa pilihan raya dalam Negara Dunia Ketiga tidak akan pernah menukar kerajaan. Kaum kapitalis ini bergantung kuat dengan kuasa daulah. Malah tidak ada garis pemisih antara kuasa daulah dan kuasa kaum kapitalis nasional ini. Kepentingan ekonomi kaum kapitalis nasional ini dijaga dan dibentuk oleh kuasa daulah.
Menteri jaga politik - menteri yang sama juga jaga kroni. Menteri ada kepentingan dalam syarikat milik kroni. Yakinlah di belakang syarikat kroni ini ialah para menteri. Ini politikal ekonomi Negara Dunia Ketiga.
Justeru ikatan ini memustahilkan berlaku apa-apa perubahan melalui pilihan raya. Cukong-cukong ini semua sedar jika United Malays National Organisation tutup kedai mereka bukan sahaja mereka akan hilang harta malah ramai antara mereka akan diheret ke penjara. Anak Suharto masuk penjara. Anak Husni Mubarak masuk penjara. Ini hakikat politik Negara Dunia Ketiga.
Ini tidak akan berlaku di Kanada, New Zealand, Australia, Jerman , Sweeden atau Britain atau Amerika. Dalam Negara Dunia Pertama dan Kedua ini - kaum kapitalis telah kukuh bertapak. Kepentingan ekonomi mereka berselirat di dunia. Sama ada Parti Konservatif menang atau Parti Buruh menang di Britain - perniagaan Mark and Spencer saperti biasa. Sama ada Demokrat menang atau Republican menang Esso dan General Motors akan terus berniaga.
Pilihan raya dalam Negara Pertama dan Kedua adalah tentang dasar. Dasar parti politik mana yang akan dapat membawa keuntungan untuk kaum pemodal. Dasar parti mana yang akan membawa kestabilan ekonomi. Tidak seperti di Malaysia. Pilihan raya di Malaysia ini akan menentukan saudara mara siapa atau syarikat kroni menteri yang mana yang akan dapat kontrak, dapat tanah atau dapat lesen cari gali. Politikal ekonomi inilah yang menjadikan pilihan raya dalam Negara Dunia Ketiga ini satu sandiwara.
Untuk saya PRU13 ini cukup cantik sebagai satu sekolah politik. Bertahun-tahun saya telah memberi kuliah/menulis tentang penipuan yang telah, yang sedang dan yang akan dilakukan dalam pilihan raya. Ada yang percaya dan ramai yang TIDAK percaya. Tetapi PRU13 ini telah membuktikan bahawa apa yang saya tulis selama ini adalah tepat dan benar.
Akhirnya saya akan ditanya apa kesudahannya? Ini juga satu soalan yang berhemah. Saya yakin ramai yang bertanyakan soalan ini. Apa seterusnya?
Dari apa yang kita semua baca kita dapat mengetahui bahawa kedudukan Najib Razak amat lemah. Kita juga melihat bahawa kerajaan Najib ini lebih lemah dari kerajaan Dolah Badawi. Dari segi politik ini amat penting untuk kita menilai kekuatan musuh kita.
Seluruh dunia - dari Obama di Rumah Putih - dari akhbar di Austarlia, New Zealand, Hong Kong, Jepun, United Kingdom, Jerman, Perancis dan dan dan... malah The New York Times telah membuat kartun memperli Najib menipu dalam PRU13. Semua ini adalah berita baik untuk rakyat Malaysia. Rakyat dunia telah tahu bahawa kerajaan Najib Razak ini kerajaan haram.
Najib dan United Malays National Organisation juga tahu bahawa mereka menang kerana penipuan. Justeru kita lihat bagaimana agama telah digunakan untuk melobi agar rakyat menerima keputusan PRU13. Kita juga melihat bagaimana mufti telah direkrut untuk menghalalkan penipuan. Kita melihat para penjual agama yang berjanggut dan berserban meminta agar orang ramai menerima keputusan PRU13.
Akhir ini kita melihat bagaimana Yang di-Pertuan Agong dikaitkan dengan rayuan kepada orang ramai agar menerima keputusan PRU13.
Ini ertinya penolakan keputusan PRU13 adalah tepat. Garis turun ke jalan raya itu tepat dan membawa hasil. Apabila Najib mula berkelentong untuk membawa SPR ke bawah jawatan kuasa Parlimen - memberi tanda bahawa Najib sedang terdesak. Bila musuh terdesak adalah masa yang tepat untuk mengasak.
Justeru pengumuman Anwar Ibrahim bahawa pada petang Sabtu 22 Jun 2013 ini rakyat akan berhimpun adalah langkah tepat. Perhimpunan ini adalah sambungan #Blackout505 dengan tiga tuntutan. Kemarahan orang ramai kerana ditipu tidak akan dapat diredakan hanya dengan satu ucapan Agong. Tiga Tuntutan wajib ditunaikan - Hishamuddin Rais
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa