10 Jun 2013
Pemandangan di Kampung Sungai Bilis
Kampung Tinagian
SK Lok Buani terpaksa ditutup sementara pada Mac lalu akibat krisis pencerobohan yang berlaku.
Antara kesan serangan pengganas yang masih ada di Kampung Tanjung Batu
Pekerjaan utama penduduk Kampung Tanjung Batu adalah berniaga
LAHAD DATU – Meskipun ancaman penceroboh di Lahad Datu sudah berakhir, namun pengalaman pahit tetap segar di ingatan penduduk. Apa yang jelas, pengganas Kiram sudah lama merancang untuk masuk ke Sabah dan menawan Borneo dengan hajat meletakkan kepulauan itu di bawah kekuasaan Sultan Sulu.Beberapa ketua kampung dan pengerusi JKKK mengakui kewujudan pelbagai tawaran dari pengganas untuk memujuk penduduk di Kampung Tanjung Labian, Kampung Tanjung Batu, Kampung Sungai Bilis, Kampung Tinagian, Kampung Lok Buani dan Kampung Lok Sembuang menyokong tindakan mereka.
Menyoroti semula kisah enam bulan sebelum pengganas menyusup masuk ke Lahad Datu, Ketua Kampung Tinagian, Abdul Aziz Linggan mengakui ada mendapat perkhabaran mengenai kemasukan ejen–ejen pengganas yang dilantik untuk memujuk penduduk kampung menyertai mereka.
“Mereka beroperasi di kedai kopi atau warung dan menyuruh penduduk menjadi ahli Sultan Sulu dengan bayaran RM50.
"Setiap orang yang menyertainya akan memperoleh kad identiti,” katanya.
Menurutnya, ketika itu orang kampung tidak menampakkan minat untuk menjadi ahli Sultan Sulu namun ejen-ejen terdiri dari orang Sulu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan berterusan memujuk penduduk menyertai mereka.
“Mereka janji macam-macam termasuk tanah, harta serta pangkat sekiranya Kesultanan Sulu berjaya merampas Borneo dan ini bagi saya adalah perkara ‘gila’.
"Saya juga terkejut apabila mendengar berita ketua-ketua kampung di Lahad Datu menjadi buruan ketika pengganas memasuki Kampung Tanjung Labian, 3 Mac lalu.
“Meskipun kampung Tinagian tidak menjadi sasaran pengganas namun kerana ianya berhampiran dengan Kampung Tanjung Batu, saya diberitahu supaya mengarahkan penduduk kampung keluar segera pada 4 Mac, iaitu selepas berlaku pertempuran di Kampung Tanjung Batu dan Labian.
“Masa itu tembak menembak sudah berlaku Kampung Tanjung Batu, tiba-tiba dalam kekecohan untuk keluar dari kampung saya dihubungi seseorang yang bertanyakan di mana saya berada dalam bahasa Sulu. Bila dengar sahaja bahasa Sulu itu hati saya jadi tidak sedap, jadi saya ambil keputusan untuk tidak melayan panggilan itu kerana khuatir pengganas mencari saya," katanya lagi.
Menurut ketua kampung itu lagi, teka-teki berhubung panggilan itu akhirnya terjawab apabila seorang pemuda datang ke rumahnya dan menyuruhnya keluar dari kampung segera.
“Dia beritahu pengganas sedang cari semua ketua kampung menyebabkan saya melarikan diri,” katanya.
Menurutnya bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia tinggal sementara di rumah saudaranya di kawasan Felda Sahabat.
Pengganas lantik orang tengah
Pengerusi JKKK Kampung Sungai Bilis, Hussin Uyong mengakui sememangnya pengganas menggunakan orang tengah untuk meminta penduduk menyertai mereka.
“Mereka bergerak senyap-senyap dan laporan mengenai kegiatan ini memang diketahui namun kerana ia nampak biasa pada mulanya, kami tidak mengesyaki apa-apa.
“Sepanjang krisis pencerobohan bermula, kami dan beberapa ketua kampung lain sudah lima kali dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan. Kami beri kerjasama dan maklumkan mereka sememangnya mempunyai saudara mara yang ramai di sekitar Lahad Datu," katanya.
Katanya, kumpulan yterbabit juga sering menghubungi telefon bimbit penduduk malah beliau juga mendapat tahu, kononnya kad ahli Sultan Sulu ini kebal dari tindakan pihak berkuasa.
“Mereka sasarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen. Kalau tunjuk pada pihak berkuasa, mereka tidak akan ditahan atau dikenakan tindakan.
“Inilah yang kerap mereka kata jika menjadi ahli mereka boleh mendapat pangkat dan tanah sekiranya pengganas menakluki Borneo di bawah nama Kesultanan Sulu," jelasnya.
Penduduk jangan terpengaruh
Ketua Kampung Lok Buani, Roslan Abdul Hamid,47, berkata, dia sentiasa menasihatkan penduduk supaya tidak terjebak dengan kegiatan yang boleh mencemar kedaulatan negara.
“Perkara ini saya sering tekankan. Jangan biar kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu berulang sekali lagi dan sebagai rakyat Malaysia kita harus sama-sama mempertahankan negara.
“Krisis yang berlaku sebenarnya memberi pengajaran kepada kita betapa perlunya penduduk di kawasan ini bekerjasama dengan pasukan keselamatan supaya kegiatan ini tidak berulang,” katanya.
Pendapat sama dilontarkan Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang yang melalui situasi sama apabila kampungnya menjadi sasaran pengganas.
“Mereka lari masuk ke kampung saya sebaik pasukan keselamatan melancarkan serangan di Kampung Tanduo pada 1 Mac lalu,” katanya.
Katanya, kedatangan puluhan pengganas bersenjata cukup menakutkan dan disebabkan itu banyak rumah yang rosak kerana pertempuran berlaku di sini.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa