Mungkin menteri dalam keadaan kurang selesa menjawab soalan maka terkeluarlah apa yang tidak patut.
PETALING JAYA: Menteri perlu ada asas kemahiran komunikasi yang baik sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi (gambar) asas komunikasi ini sangat penting bagi seseorang pemimpin.
“Tetapi ada kalanya apabila ditanya dalam keadaan spontan, ia boleh mempengaruhi komunikasi tersebut.
“Mungkin dia (menteri) dalam keadaan terdesak, orang pula tanya macam-macam dan mungkin dia kurang selesa menjawab soalan, maka terkeluarlah apa yang tidak patut keluar,” kata Budiman apabila dihubungi hari ini.
Budiman berkata demikian sebagai mengulas mengenai komen-komen yang dikeluarkan beberapa menteri yang menimbulkan kemarahan rakyat.
Namun, tegas Budiman, ada juga kenyataan para menteri yang sengaja dipetik luar dari konteks untuk kepentingan sendiri.
“Mungkin kenyataan yang diberikan itu panjang tapi sesetengah pihak mentafsirkannya mengikut kandungan yang hendak mereka keluarkan,” kata Budiman tanpa menamakan mana-mana pihak.
Menurut Budiman lagi, penerimaan rakyat juga penting dalam mentafsirkan kenyataan para menteri ini.
“Ada ilmu yang perlu digunakan untuk menjawab (sebarang pertanyaan). Dalam segi ini ada dua konteks, maklumat dan juga kemahiran menjawab.
“Kedua-dua ada peminat yang tersendiri, ada setengah pengikut suka cara A dan ada yang suka cara B. Ada sesetengah pemimpun yang menjawab menggunakan fakta namun ada juga yang hanya menjawab untuk keseronokkan halwa telinga yang mendengar,” jelasnya lagi.
Namun, beliau mengakui kepentingan pemimpin untuk mendengar apa yang diperkatakan oleh rakyat terhadap kenyataan yang mereka keluarkan.
“Kadang-kadang ada pembaca yang memetik kata-kata pemimpin dan meletakkannya di laman sosial sebelum mengutarakan pula pandangan mereka.
“Sebenarnya kita (pemimpin) harus peka (kepada pandangan orang lain) namun tidak harus kritis sangat kepada komentar-komentar ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, terdapat beberapa menteri mengeluarkan kenyataan yang dilihat seperti mempersendakan bebanan yang ditanggung rakyat seperti “jika tol mahal elak guna lebuh raya’, dan “tiada aduan bukti rakyat sokong kenaikan”.
Turut baca:
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa