Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, January 4, 2014

Kejamnya Manusia Ini!

Keluarga dihalau keluar rumah, 5 beradik tak bersekolah

Lima beradik tidak dapat memulakan sesi persekolahan mereka tahun ini setelah keluarga mereka dihalau keluar rumah sehelai sepinggang Selasa lepas akibat bapa mereka tidak mampu membayar sewa rumah di Kampung Tedung Pantai, Jasin.
    
Bapa mereka Ahmad Sharoni Man, 50, seorang buruh kasar berkata lima anaknya masing-masing berusia tujuh, sembilan, 10, 11 dan 13 sepatutnya memulakan sesi persekolahan Khamis lepas tetapi tidak dibenarkan mengambil keperluan sekolah di dalam rumah mereka yang dikunci dan dipalang adik tuan rumah itu.
    
Lebih menyayat hati, anak bongsunya Muhammad Nur Iman yang berusia tujuh tahun juga tidak dapat mula bersekolah.
    
Ahmad Sharoni yang mempunyai lapan anak, juga tinggal bersama dua lagi anaknya, masing-masing berusia 15 tahun yang sedang mendapat rawatan akibat kemalangan dan 17 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, serta isterinya Norhatipah Ayob, 42, orang kurang upaya manakala anak sulungnya berusia 19 tahun sedang belajar di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.
    
"Saya menyewa rumah itu selama enam bulan dan sewa rumah tertunggak selama dua bulan berjumlah RM300... bukan sengaja tidak mahu membayar sewa rumah tetapi ada masalah kewangan gaji saya RM45 sehari tidak cukup untuk tampung keluarga," katanya kepada pemberita di Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) Melaka.

Mencerita kejadian keluarganya dihalau keluar rumah, Ahmad Sharoni berkata kira-kira pukul 5.30 petang adik pemilik rumah yang tinggal di Singapura itu bersama kira-kira 10 anggota keluarga dan rakannya datang ke rumah sewa terbabit untuk menghalau keluarganya.
    
"Ketika kejadian saya dan isteri tiada di rumah, saya sedang bekerja di Ayer Keroh dan menerima panggilan daripada anak kedua, Norsyaronipah Haziqah, 17, memaklumkan keluarga saya dihalau keluar kerana tidak bayar sewa," katanya.
    
Dia kemudian meminta bantuan rakannya untuk melihat keadaan keluarganya serta cuba berbincang dengan adik pemilik rumah tersebut untuk memberi masa kepadanya menjelaskan sewa yang tertunggak namun gagal.
    
Sementara itu Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata pihaknya akan memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk Ahmad Sharoni menjelaskan bayaran tunggakan sewa rumah tersebut bagi membolehkannya mengambil barangan serta dokumen penting keluarganya dari rumah itu.
    
"Pembela BN Melaka juga akan membuat permohonan untuk menempatkan keluarga ini di rumah milik kerajaan negeri yang sudah dikenal pasti dalam tempoh terdekat," katanya.
    
Beliau berkata Pembela BN Melaka juga cuba menghubungi pemilik rumah berkenaan tetapi gagal dan berharap pihak terlibat tampil untuk bekerjasama bagi menyelesaikan masalah itu.
- Bernama

1 comment:

  1. Tertunggak 2 bln RM300 bukannya besar sangat untuk bertindak seperti binatang

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa