Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, January 2, 2014

Tajuk Rencana Yang Menggelikan Hati

Tahun harapan baru untuk rakyat

January 1, 2014
Dari Hanif bin Mahpa, melalui e-mel

Mutakhir ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan kenaikan harga barang yang menjurus kepada kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Bermula dengan kenaikan harga RON 95, dituruti pula dengan pemotongan subsidi gula, tarif elektrik dan yang terbaru harga tol, rata-rata rakyat Malaysia menyatakan kekesalan lantaran kenaikan yang terlalu mendadak.
Bagi yang berpendapatan tinggi, mungkin tidak menjadi masalah bagi mereka. Namun, kita harus cakna kepada golongan masyarakat yang berpendapatan rendah dan rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan. Menurut sumber Jabatan Perangkaan Negara, 40% rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isi rumah kurang dari RM 1,847. Mereka ini yang bakal menanggung beban terbesar ekoran kenaikan kos sara hidup.
Purata rakyat Malaysia membelanjakan satu pertiga pendapatan mereka hanya untuk membayar hutang. Cuba kita bayangkan bagaimana keperitan hidup rakyat yang berpendapatan bawah RM 1,847 ini. Mereka hanya mampu membelanjakan kira-kira RM 1,000 dari pendapatan mereka untuk menanggung kos makanan, pendidikan anak-anak, pakaian, ubat-ubatan, bil elektrik, air dan pengangkutan. Lebih memburukkan keadaan sekiranya mereka ini tinggal di tengah-tengah bandar, tentunya kos hidup jauh lebih tinggi.
Hentikan kepandiran
Sememangnya rasionalisasi, kenaikan harga dan pemotongan subsidi yang dilaksanakan kerajaan ada sisi-sisi positif tertentu. Misalannya, kerajaan mengumumkan bahawa langkah merasionalkan subsidi gula mampu menjimatkan perbelanjaan subsidi, seterusnya berpeluang memanfaatkan subsidi ini untuk program yang lebih berfaedah kepada rakyat seluruhnya. Sebagai catatan, pemansuhan subsidi itu akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM551.25 juta pada tahun 2014.
Namun, apa yang kita kesali ialah ketidakseriusan kerajaan dalam mengurus khazanah dan hasil mahsul negara. Laporan Audit Negara Tahun 2012 mendedahkan terlalu banyak ketirisan, salah urus dan pembaziran hasil mahsul negara.
Antaranya ialah kes pembelian 55 lukisan sebagai pelaburan mungkin yang tidak dipamerkan oleh Khazanah Nasional dengan kos RM3.05 juta. Turut dipersoalkan ialah bayaran sebanyak RM1.6juta kepada artis K-Pop yang sangat dipertikaikan mengapa mesti dibayar oleh Kementerian Belia dan Sukan. Selain itu, laporan tersebut turut membangkitkan monopoli oleh 3 syarikat penyelenggara 64 bangunan Persekutuan yang kos RM1.447 bilion.
Persoalannya, apalah gunanya penjimatan RM551.25 juta dari subsidi gula pada tahun 2014, sekiranya pemborosan dan ketirisan pada tahun yang sama bernilai berbilion-bilion ringgit? Sindrom-sindrom kepandiran ini yang telah dikritik oleh Syed Husein Alatas 36 tahun yang lalu dalam karyanya, Intelektual Masyarakat Membangun.
Syed Husein Alatas telah mengkritik golongan pandir dalam hal ehwal pengurusan kewangan negara pada waktu itu. Senario yang beliau nyatakan pada waktu itu melibatkan Laporan Juruaudit Negara 1968 yang penuh dengan perancangan yang tidak efisien, ketirisan dan pembaziran yang melampau. Sekali imbas, tidak jauh bezanya situasi yang dihadapi negara kita 36 tahun yang lampau dengan apa yang kita hadapi hari ini.
Secara sinis, beliau menukilkan bahawa:
“Orang pandir mengumumkan mereka menginginkan pentadbiran yang cekap tetapi mereka memperoleh hasil yang buruk. Orang pandir mengumumkan mereka ingin melenyapkan rasuah tetapi sebaliknya rasuah tetap berkembang. Orang pandir ingin membasmi kemiskinan tetapi kemiskinan masih ada malah makin meluas.”
Seharusnya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan tiada sebarang ketirisan dalam urus tadbir negara sekaligus memastikan rakyat tidak terbeban. Selain rakyat yang perlu pandai berjimat cermat, kerajaan juga harus membuktikan bahawa mereka mampu menguruskan hasil negara dengan amanah dan efisien.
Vicious cycle
Kebimbangan kita juga adalah sekiranya kenaikan barangan keperluan asas akan menghasilkan kitaran ekonomi yang dahsyat (vicious cycle). Cuba kita fahami keadaan ini.
Disebabkan tekanan kenaikan kos sara hidup, pekerja-pekerja mengharapkan majikan menaikkan gaji menanggung kos hidup mereka. Jika gaji pekerja dinaikkan, ditambah pula dengan kenaikan kos bahan api dan tarif elektrik, maka keuntungan perniagaan akan berkurangan.
Bagi menampung kerugian, majikan terpaksa meningkatkan harga produk jualan. Natijahnya, inflasi meningkat naik. CIMB Investment Bank dalam perangkaannya menjangkakan inflasi akan meningkat naik kepada 2.2 peratus pada 2013, dan berkemungkinan meningkat sehingga 2.8 peratus pada 2014 disebabkan siri pemotongan subsidi.
Kenaikan harga barang seterusnya menyebabkan pengguna di pasaran tidak mampu membeli produk-produk atas faktor kuasa beli yang semakin berkurang. Disebabkan pelanggan semakin berkurangan, perniagaan terpaksa menampung lebih banyak kerugian. Keadaan menjadi lebih parah apabila majikan terpaksa melepaskan pekerja untuk mengurangkan beban perniagaan. Maka di situlah bermula pengangguran, yang seterusnya menyebabkan berlakunya ketegangan ekonomi dan sosial dalam masyarakat.
Kritik kerana sayang
Kerajaan Malaysia pada hari ini seharusnya melaksanakan polisi dan langkah yang efektif bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang kian meruncing. Jika suara rakyat terus-terusan tidak diendahkan, kerajaan harus bersedia menerima tekanan berterusan dari rakyat yang kian menanggung beban.
Menurut Haggard dan Kaufman dalam buku The Political Economy of Democratic Transitions (1995), sekurang-kurangnya ada tiga senario bagaimana krisis ekonomi mendorong perubahan politik: (i) krisis ekonomi mendorong rakyat mempersoalkan kecekapan kerajaan dalam menyelesaikan masalah, dan ini secara tidak langsung menggugat legitimasi dan keabsahan pemerintah; (ii) krisis ekonomi menyebabkan juga timbulnya krisis dasar awam yang membawa masalah kepada masalah perpecahan dalam kerajaan (iii) krisis ekonomi boleh merosakkan hubungan baik antara kerajaan dan pendorong usaha, sehingga menyukarkan pihak pemerintah mengatasi krisis ekonomi.
Peristiwa yang pernah berlaku di Indonesia pada tahun 1997-1998 seharusnya dijadikan iktibar bagi kita sebagai rakyat Malaysia yang komited dengan prinsip dan nilai demokrasi. Peristiwa ini telah dicatatkan oleh Denny J. Ali dalam hasil kajian PhDnya, Democratization from below: protest events and regime change in Indonesia 1997-1998. Kerajaan perlu bertindak secara bijak dan serius bagi memastikan kemelut ekonomi yang kita hadapi kini tidak membarah menjadi kemelut politik yang berpanjangan.
Dalam sebuah negara demokratik, masyarakat sivil memainkan peranan signifikan sebagai ejen semak-imbang (check and balance) kepada polisi dan dasar kerajaan. Partisipasi politik rakyat juga menjadi cerminan kepada perjalanan demokrasi sesebuah negara. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil kira siri-siri tuntutan penurunan harga barang yang digerakkan oleh mahasiswa, NGO dan rakyat akhir-akhir ini sebagai manifestasi rasa prihatin dan sayang mereka kepada tanah air ini.
Seruan Kami
Justeru itu, seruan kami sebagai mahasiswa kepada kerajaan Malaysia yang tercinta ialah:
1 Menangani ketirisan, pembaziran dan salah guna dana awam secara serius, terutama mengenai masalah-masalah yang berlaku dalam siri-siri Laporan Audit Negara.
2 Mengambil langkah permulaan untuk mengkaji semula kenaikan harga bahan-bahan asas seperti petrol, elektrik dan gula. Kesan kenaikan bahan-bahan ini menghasilkan cost-push inflation, menyebabkan pengguna terpaksa menanggung bebanan akibat kenaikan harga barang.
3 Mengambil kira suara rakyat marhaen secara serius dalam pembuatan polisi dan dasar, dengan merasai sendiri denyut nadi keperitan rakyat. Bukan semata-mata mengharapkan kajian konsultan-konsultan terkemuka dari luar.
4 Menghormati hak asasi dan demokrasi rakyat Malaysia untuk berhimpun dan menyatakan bantahan secara aman. Harus diingat, hak asasi ini telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB.
Seluruh jentera kerajaan seharusnya digiatkan bagi menyelesaikan isu-isu ini, bukannya berhabis tenaga menghalang dan mendiamkan rakyat Malaysia yang mahu menyatakan tuntutan secara aman. Suara-suara rakyat yang menyatakan desakan seharusnya didengari, bukannya dicurigai dan dibenci.
Impian kita bersama untuk melihat Malaysia yang lebih baik. Ayuh sama-sama kita buktikan.
Penulis adalah Timbalan Presiden, Economics and Management Sciences’ Society (EMSS), UIAM

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa