Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, July 9, 2014

Zam Seorang Demagog?

Zam dijangkiti sindrom Mahathir?
Hazlan Zakaria

SEKILAS PANDANG: Walaupun telah bersara sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus menerima liputan media disebabkan kenyataan menyindir dan jenaka bersahaja beliau.
Walaupun ramai yang mempersoalkan mengapa dia diberi liputan dan menggelarkannya sebagai nyanyuk, ironinya pembaca termasuk mereka yang membenci beliau seolah-olah begitu gemar membaca apa yang diperkatakannya.
Mahathir sendiri nampaknya gemarkan liputan ini, mungkin sisinya yang telah terbiasa mendapat perhatian.
Mungkin "Sindrom Mahathir" ini telah turut merebak ke bekas menteri-menteri lain, yang dilihat membuat kenyataan kontroversi dan menyuarakan pendapat mereka ke seluruh dunia.
Seolah-olah ada yang mengucapkan "Zam Zam Ala Kazam" dan menyeru kembali tikar terbang P Ramlee dari tempat persembunyiannya, di bilik-bilik simpanan Studio Jalan Ampas, dan ianya kembali terbang ke langit.
Tikar terbang yang bergerak sendiri dan menyerang semua pihak.
Perumpamaan ini menerangkan dengan baik bagaimana seorang bekas menteri Umno yang telah dilupakan radar politik Malaysia, tiba-tiba muncul kembali untuk mengisi halaman berita politik.
Tidak semena-mena Tan Sri Zainuddin Maidin, yang pernah menjadi menteri maklumat dan juga bekas ketua editor Utusan, menjadi tumpuan media sebagai seorang demagog yang berapi-api, namun bukan terhadap pembangkang persekutuan, tetapi terhadap rakan-rakan komponen BN MCA, dan juga Umno sendiri.
Zainuddin, atau lebih dikenali sebagai Zam, telah berada di penghujung kerjaya politiknya setelah kehilangan kerusi Parlimen Sungai Petani kepada Johari Abdul dari PKR pada tahun 2008.
Tetapi Zam tidak asing dengan kontroversi. Pada tahun 2012 dia telah menyebabkan insiden diplomatik dengan negara jiran, Indonesia apabila rencana beliau dalam Utusan Malaysia yang dimiliki Umno mengkritik bekas presiden BJ Habibie, dan menaikkan kemarahan presiden republik itu.
Beliau juga terlibat dalam masalah undang-undang pada tahun lepas dengan syarikat penerbangan tambang AirAsia, selepas artikel di laman blog beliau seolah-olah mendakwa syarikat penerbangan itu menghidangkan daging babi dalam penerbangannya.
Tetapi secara umumnya dia tidak mendapat perhatian selain daripada beberapa peristiwa yang dimulakannya dua minggu lalu, apabila beliau mengutuk MCA untuk "pergi mampuslah" jika parti komponen BN itu terus mengikut jejak langkah parti pembangkang, DAP.
Beliau juga mendakwa bahawa akhbar harian Bahasa Inggeris The Star milik MCA dipengaruhi oleh pelampau Kristian.
Kenyataan Zam menyebabkan MCA bertindak balas dan mereka berdua bertelagah.
Beliau juga menyerang veteran Umno seperti ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee apabila beliau secara terbuka mengecam kepimpinan parti itu kerana berbangga dengan ahli yang lain dan yang mengenepikan rakyat melalui sikap elitis mereka.
Zam menggunakan perumpamaan memakai pakaian songket mahal ke majlis-majlis parti sebagai bukti, menaikkan kemarahan Syed Ali yang membalas dengan menuduh Zam mempunyai pengalaman dalam "menggelapkan dana awam".
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak juga tidak selamat daripada kritikan, apabila bekas menteri ini kemudiannya mengecam partinya sendiri.
Ia seolah-olah Zam telah turut dijangkiti sindrom Mahathir selepas "persaraan" beliau.
Tetapi sudah tentu beliau bukan yang pertama mensasarkan Umno, kerana sebelum ini pakar media Datuk A Kadir Jasin dan penulis-penulis blog Umno pernah menyerang kepimpinan Najib dan situasi dalam Umno pada masa kini.
Dan Zam bukannya bekas menteri pertama yang menjadi tajuk utama berita, kerana bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam juga telah mencetuskan kekacauan melalui pendedahannya mengenai kejadian-kejadian yang melibatkan peristiwa Memali.
Tetapi persoalannya mengenai telatah Zam adalah, mengapa sekarang?
Mengapa dia tiba-tiba bersuara?
Siapakah yang beliau wakili, kem Umno yang mana? Atau sesungguhnya dia hanya dijangkiti sindrom Mahathir, dan menikmati perhatian media lama selepas "bersara"?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa