TMI - Published: 8 September 2014
Barisan Pemuda Pakatan Rakyat bermuafakat menggesa kepimpinan utama Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan krisis menteri besar Selangor dengan segera dan bersedia untuk menjadi orang tengah. – Gambar PKR oleh Fahmi Fadzil, 8 September, 2014.
Dalam kenyataan bersama itu, ketiga-tiga pemimpin Pemuda PR menawarkan diri menjadi orang tengah dalam kemelut tersebut serta menggesa supaya ia diselesaikan dengan segera.
"Pemuda PR bermuafakat menggesa kepimpinan utama PR untuk menyelesaikan krisis menteri besar Selangor dengan segera," kata kenyataan tersebut yang ditandangani Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Dapsy, Teo Kok Seong.
Ketiga-tiga pemimpin Pemuda PR itu juga akan mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga pemimpin utama gabungan pembangkang bagi menyatakan hasrat mereka.
"Kami akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam waktu terdekat untuk menyampaikan hasrat Pemuda PR dan harapan anak muda Malaysia," kata kenyataan itu lagi.
Perkembangan terkini kemelut di Selangor memberi gambaran ia mungkin berlarutan khususnya selepas Sultan Selangor secara terbuka mengatakan murka dengan PKR dan DAP.
PKR dan DAP enggan akur kepada titah supaya memberi dua nama calon menteri besar, sebaliknya hanya PAS yang patuh kepada titah itu.
Hadi juga dilihat tidak senada dengan kepimpinan PKR dan DAP, secara terbuka menyatakan pendirian bercanggah dan berbeza.
Dalam kenyataan itu juga, Pemuda PR mengecam Putrajaya susulan siri tangkapan mengikut Akta Hasutan 1948 akhir-akhir ini.
"Bagi menyatakan pendirian Pemuda PR, kami akan bertemu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 11.00 pagi, 11 September 2014 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya untuk meminta penjelasan segera terhadap isu-isu yang berbangkit dalam isu ini," kata kenyataan itu.
Mereka juga menggesa supaya pihak berkuasa membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock selepas Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 membuat keputusan yang konklusif menukar keputusan terbuka koroner.
Pemuda PR juga berkata akan memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon yang akan bertanding di Pengkalan Kubor demi memastikan PR menang di situ. – 8 September, 2014.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa