Resort ‘Star Trek’ ditutup kerana tragedi buruk
FATHIN ATHIRAH HASLI - 11 November 2014
PUSAT peranginan futuristik San Zhi di Taipei, Taiwan mungkin mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong sekiranya ia dibuka.
Malangnya pembangunan ke atas resort yang seakan Genting Highlands ini dihentikan apabila banyak tragedi buruk dan kemalangan dilaporkan berlaku.
Terletak di bahagian utara Taiwan, destinasi pelancongan San Zhi dibina berkonsepkan Star Trek dijangka bakal menjadi pilihan kepada golongan kaya dan berada yang mahukan percutian sempurna setiap kali menjelangnya musim panas.
Idea tersebut dikatakan diterima baik bahkan mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan Taiwan.
Pembinaan projek mega ini dimulakan pada tahun 1978, namun pada tahun 1980, modal yang dilaburkan oleh syarikat ke atas projek tersebut dikatakan terjejas sebelum projek itu siap.
Terdapat banyak spekulasi menular berikutan kegagalan projek peranginan di San Zhi.
Antara yang didakwa menjadi punca projek tersebut dihentikan termasuklah keadaan kewangan yang tidak mengizinkan dan kepercayaan karut masyarakat setempat.
Bagaimanapun, peningkatan jumlah kemalangan melibatkan para pekerja binaan yang dilaporkan berlaku dari semasa ke semasa menjadi punca sebenar projek pusat peranginan ini dihentikan sepenuhnya.
Dengan rekod buruk tersebut, kerajaan kemudiannya menarik subsidi yang diperuntukkan ke atas projek tersebut.
Pusat Peranginan San Zhi yang hampir siap, akhirnya ditinggal terbengkalai.
Pada tahun 2001, nilai hartanah dan pembangunan di pusat peranginan San Zhi dikatakan meningkat berbanding beberapa dekad lalu.
Namun kerana kisah lagenda yang tersebar secara meluas, kerajaan akhirnya mengambil keputusan untuk meruntuh dan meratakan resort tersebut.
Sementara itu, pada Mac lalu menunjukkan, pusat peranginan tersebut telah diruntuhkan kerajaan sepenuhnya.
Hasil carian Sinar Harian Online melalui aplikasi peta Google Satelite membuktikan San Zhi dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan Taiwan.
Walaupun San Zhi tidak pernah beroperasi, namun keunikan seni binanya dan kisahnya sering menarik pengunjung untuk melawat tempat itu.
Menurut penduduk dan pelancong yang pernah melawat pusat peranginan itu, ketika siang, San Zhi kelihatan seperti petempatan yang telah ditinggalkan dalam keadaan yang amat dahsyat.
Dan ketika malam menjelma, pusat pelancongan tersebut kelihatan agak menyeramkan.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa