Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, November 10, 2014

'Temberang' MH370

'Temberang' MH370 masih mendapat liputan
Ng Kee Seng08:30AM Nov 10 2014

KOMEN: Pesawat MH370 Malaysia Airlines telah hilang selama kira-kira lapan bulan, tetapi pihak berkuasa masih mengeluarkan omong kosong dan bercakap besar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 22 Oktober memberitahu Sky News yang berpangkalan di London bahawa beliau "99.9 peratus yakin" bahawa teknologi sonar yang digunakan dalam pencarian pesawat itu akan mengetahui apa yang telah berlaku kepadanya. 

Awal minggu lalu, versi atas talian The Star melaporkan bahawa Malaysia Airlines (MAS) sedang menunggu untuk penerbangan MH370 diumumkan hilang secara rasmi, supaya pampasan boleh diberikan kepada waris penumpang (dan semua yang berada di atas pesawat itu). 
Pengarah komersial MAS, Hugh Dunleavy meminta keluarga para penumpang pesawat itu untuk bersabar, kerana butir-butir pampasan sedang diatur.

Jika Hishammuddin dan kerajaan Malaysia 99.9 peratus yakin dapat mencari serpihan Boeing 777 MAS itu, kenapa ia perlu diumumkan sebagai hilang? 

Adakah Hishammuddin telah bercakap besar? Atau adakah MAS telah berputus-asa untuk dapat mencari apa-apa kesan jet penumpang itu? 

Siapa yang menyatakan fakta dan menghadapi realiti, dan siapa yang masih berputar-belit selepas kira-kira lapan bulan?

"Kami tidak mempunyai tarikh akhir tetapi sebaik sahaja kami merekodkan kerugian rasmi, kami akan dapat bekerjasama dengan waris-waris mengenai pembayaran pampasan penuh bagi mereka keluarga," Dunleavy dipetik sebagai berkata kepada akhbar New Zealand Herald. 

Dunleavy berkata yang Konvensyen Montreal telah menetapkan had maksimum pampasan pada kira-kira AS$175,000 (RM582,000), walaupun penumpang boleh mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan pampasan yang lebih tinggi. 

"Kami akan memastikan yang kami memberi pampasan kepada mereka atas kehilangan orang tersayang, melalui syarikat-syarikat insurans kami," beliau dilaporkan sebagai berkata. 

"Kami cuba mempercepatkannya sebanyak yang mungkin, tetapi ada beberapa hal yang berada di luar ruang lingkup syarikat penerbangan ini sendiri. 

“Jika mereka tidak berpuas hati dengan pampasan ini, mereka boleh mendapatkan nasihat undang-undang dan melakukan tindakan seterusnya, kemudian pihak kami akan menilai dan memberi maklum balas," katanya.

Dunleavy berkata bahawa pemberian pampasan kepada waris-waris penumpang penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine adalah sesuatu yang lebih mudah, kerana mereka mengetahui apa yang berlaku kepada pesawat itu.

Beliau yakin bahawa anak-anak kapal MH370 tidak ada kena mengena dengan insiden itu, yang digelar sebagai misteri penerbangan yang paling besar oleh banyak pihak. 

“Kesemua anak-anak kapal MH370 telah disiasat oleh agensi-agensi keselamatan dan setahu saya, tidak ada apa-apa yang tidak diingini telah ditemui. 

"Kami tidak percaya yang ia berkaitan dengan bagaimana kami memproses atau merekrut kakitangan, dan mereka dalam pesawat itu telah bersama kami selama bertahun-tahun.

Kami percaya yang ia tidak berkaitan dengan anak-anak kapal, tetapi kami tidak akan tahu 100 peratus sehingga kami mempunyai akses kepada kotak hitam," katanya.

Dan ada juga sebuah laporan "aneh" tentang kemungkinan serpihan-serpihan pesawat yang hilang itu "bermungkinan akan hanyut ke pantai Indonesia".

Menurut laporan International Business Times di Australia, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah "mengeluarkan amaran" di Indonesia dan telah menasihatkan pihak berkuasa untuk memberi perhatian terhadap kemunculan apa-apa bukti berkenaan MH370.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) antarabangsa yang diketuai Australia, jelas tidak mengetahui di mana pesawat Boeing 777 MAS itu berada.

Ada baiknya pihak berkuasa menghentikan semua omong kosong dan hanya menumpukan perhatian kepada operasi SAR. Tidak ada ruang bagi ahli-ahli politik dan pegawai-pegawai SAR untuk mencuba menarik perhatian ahli-ahli keluarga mangsa dan seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa