Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, December 14, 2016

Papan iklan pula bawa petaka!

Satu cedera, papan iklan tepi lebuh raya tumbang hempap rumah
Disember 13, 2016 23:23 MYT
Satu cedera, papan iklan tepi lebuh raya tumbang hempap rumah
Angin kencang menyebabkan papan iklan terletak berhampiran rumah bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan, tumbang. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Umpama jatuh ditimpa tangga buat Maulud Wahid yang sedang menguruskan jenazah abang iparnya apabila diberitahu rumahnya dihempap papan iklan yang mencederakan anak perempuannya di Kampung Telegong, di sini hari ini.

Maulud, 44, yang ketika itu berada di Hospital Tuanku Jaafar berikutan kematian abang iparnya, terpaksa bergegas pulang selepas dimaklumkan Diana Athira, 17, cedera ringan akibat terkena serpihan besi konkrit papan iklan itu.

Angin kencang pada 1.30 tengah hari itu menyebabkan papan iklan terletak berhampiran rumah bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan itu, tumbang menghempap kediaman tersebut ketika mangsa sedang tidur di biliknya manakala empat beradiknya bermain di luar rumah.

"Saya hanya mengetahui mengenainya selepas dihubungi anak. Ketika kejadian, isteri saya berada di rumah saudara berdekatan rumah kami.

"Selepas dapat panggilan itu, saya terus balik kerana khuatir keselamatan anak-anak yang berada di rumah," katanya.

Menurut Maulud, beliau ada membuat laporan mengenai papan iklan tersebut yang baru dinaikkan bulan lalu kerana terlalu hampir dengan rumahnya kepada Majlis Perbandaran Nilai, dua minggu lepas kerana bimbangkan keselamatan keluarganya.

"Anak saya yang cedera telah dibawa ke Klinik Kesihatan Labu tetapi masih mengadu sakit selepas dibawa pulang ke rumah.

"Saya akan bawanya ke hospital untuk rawatan susulan," katanya.

Adik Diana, Mohd Haniq Farhan Maulud, 15, berkata beliau tidak sedap hati ketika angin kencang dan sempat menjerit memanggil kakaknya sebelum papan iklan itu tumbang menghempap rumah itu.

"Kakak tidak sempat keluar dari rumah. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia berlaku dengan pantas," katanya.
Seorang jiran Mohd Asri Abdullah, 37, pula berkata mulanya beliau menyangka bunyi petir tetapi apabila menyedari papan iklan itu menghempap rumah jirannya, beliau terus bergegas membantu mangsa.

"Saya menyangkakannya bunyi petir, jadi saya keluar rumah untuk memeriksa dan nampak rumah jiran kami telah dihempap papan iklan, lalu memberitahu isteri dan kemudian memberi bantuan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa