Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menggunakan kuasa mengikut Seksyen 4 akta penubuhannya untuk menyiasat dua kes melibatkan kematian dalam tahanan polis.

Ketua pegawai eksekutif EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar berkata dua siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 28 Akta EAIC 2009.

Bercakap dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata satu pasukan bertindak dengan tujuh orang anggota akan bermesyuarat pada 11 Jun untuk memeriksa kes N Dhamendran yang meninggal dunia pada 21 Mei dan R Jamesh Ramesh yang meninggal dunia pada 26 Mei.

Pengerusi EAIC Heliliah Mohd Yusof akan mengetuai pasukan bertindak berkenaan.

Nor Afizah berkata, jumlah anggota pasukan berkenaan melibatkan anggota EAIC, pakar perundangan dan siasatan, mungkin akan ditambah sekiranya mereka memerlukan khidmat perunding bebas.

Tambahnya, siasatan pasukan tersebut tidak akan bertembung dengan siasatan polis dan juga pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara ke atas polis yang didakwa terlibat dengan kematian dalam tahanan itu.

Jelasnya, tugas berkenaan akan melengkapi siasatan tersebut.

Katanya lagi, suruhanjaya itu juga sehingga kini masih belum menerima apa-apa aduan rasmi berhubung kematian dalam tahanan dan hanya bertindak atas kepentingan awam.