Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, June 5, 2013

Kenapa Pecahkan Kepala Perdebatkan Tindakan Bodoh?

Terimalah hakikat dan sebab sebenar kekalahan itu
Bukan saja PAS yang kalah tetapi hakikatnya harapan rakyat yang kalah
Kemenangan BN KD adalah akibat dari tindakan bodoh sesama PR!

Perang Uhud dan Kota Damansara — Khalid Samad
Oleh  Khalid Samad
Di sini saya ingin mengemukakan respon terhadap satu penulisan yang menggunakan kisah perang Uhud sebagai asas hujjahnya bagi mempertahankan kekalahan di Kota Damansara. Secara ringkas beliau menyatakan bahawa kekalahan di KD berlaku apabila ahli PAS sendiritidak sokong calon PAS setelah diarahkan oleh pimpinan untuk menyokongnya. Dalam erti kata lain, strategi untuk PAS bertanding sudah betul, yang salah perlaksanaannya atas sebab keingkaran ahli PAS untuk patuh pada arahan. Ini, menurut penulis berkenaan lagi, adalah sama seperti kumpulan pemanah di Uhud yang tidak akur kepada perintah Rasulullah (SAW) untuk tidak meninggalkan kedudukan mereka di atas Bukit Uhud dan inilah punca kekalahan PAS di KD.
Saya hanya mampu tersenyum apabila membaca hujjah beliau. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya beliau mengakui kekalahan di KD adalah satu yang tidak diingini. Ini jauh lebih ke hadapan berbanding mereka yang berpendirian kalah pun tidak mengapa, yang penting lawan Sosialis! Golongan yang bersikap sedemikian masih tidak faham konsep tahalluf siyaasi rupanya.
Kalau kalah itu sesuatu yang tidak diingini, maka sudah pasti strategi untuk menang perlu diusahakan. Sudah terang lagi bersuluh kalau ingin menang maka tiga penjuru perlu dielak. Kita kena akui, kekuatan PAS sahaja atau PKR sahaja tidak cukup untuk memenangi KD, lebih-lebih lagi apabila sama-sama bertanding di situ. Walaupun semua ahli dan penyokong PAS mengundi calon PAS, ahli PKR dan penyokong PKR akan sokong calon PKR! Undi orang atas pagar yang melihat PR bertelagah sesama sendiri akan pecah dua atau mereka boycott dan tidak undi atau lagi teruk, mereka mengambil keputusan untuk mengundi BN. Maka undi PR pecah dan akibatnya BN menang. Maka bagaimana dikatakan strategi untuk PAS bertanding lawan PKR di KD adalah strategi yang baik dan hanya perlaksanaannya sahaja yang tidak betul? Maaf sangat-sangat, tetapi itu yang dikatakan ‘qias ma alfaariq’ atau qias yang tidak kena pada tempatnya.
Punca utama kesilapan dan ketidak-sesuaian qias tersebut adalah kerana ketika ini PAS berpakat di dalam 3 pasukan. Maka sudah pasti strategi mesti diselaraskan di antara tiga pasukan tersebut.
Saya juga nak gunakan kes perang Uhud untuk menjelaskan pandangan saya. Tapi qiasan saya begini;
Di semua kawasan ‘perang’, pasukan tertentu diminta turun berperang sementara pasukan lain menunggu di atas Bukit Uhud. Di Dusun Tua, pasukan yang turun berperang adalah PAS. PKR dan DAP tunggu atas Bukit Uhud memberi sokongan dan perlindungan pada pasukan PAS. Ianya berjalan baik, PAS menang. Di kawasan Taman Medan, pasukan PKR turun berperang, pasukan PAS dan DAP diletakkan di atas Bukit Uhud, memberi perlindungan kepada pasukan PKR. Ianya berjalan baik juga, PKR menang. Di Bukit Gasing, pasukan DAP turun berperang, pasukan PAS dan PKR duduk atas Bukit Gasing pula kali ini, memberi sokongan dan perlindungan pada pasukan DAP. Ianya pun berjalan baik dan DAP menang.
Di KD, pasukan PKR diminta turun berperang, pasukan PAS dan DAP sepatutnya duduk atas Bukit Uhud, beri sokongan dan perlindungan pada pasukan PKR sepertimana yang telah dipersetujui. Tapi malangnya pasukan PAS turun Bukit Uhud berperang pula dengan pasukan PKR! Saya dimaklumkan bahawa PAS lebih sibuk menyerang Dr Nasir dan PSM dari menyerang calon Umno/BN. Maka golongan Umno/BN hanya perlu tengok sahaja dan telah dapat mengalahkan PR. Kesudahannya, yang turun berperang, PAS dan PKR, ramai yang mati, yang tidak mati ditangkap dan dijual sebagai hamba abdi! Dan ‘Kota’ ditawan dan rakyatnya terpaksa menanggung derita di bawah Umno!
Kalaulah implikasi kekalahan seberat yang saya ceritakan, mungkin PRU ini tidak akan dijadikan bahan mainan oleh sesetengah pihak. Dan mungkin alasan kecil tidak akan dijadikan sebab untuk engkar pada janji. Dan kepentingan strategi yang tepat akan diakui semua. Tetapi kerana kalah dilihat tidak mendatangkan masalah bagi sebahagian, maka keputusan dibuat secara emosi dan acuh tidak acuh. Kalah pun kalah tidak mengapa, kata mereka, yang penting ini dan itu dan itu dan ini...
Tidakkah kamu sedar bahawa kamu telah diamanahkan untuk mengusahakan kemenangan? Kalau tidak pentingkan kemenangan, ketepi jangan ganggu orang lain yang bertungkus lumus untuk menunaikan amanah untuk mencari kemenangan. Ini tidak! Oleh kerana bagi kamu menang tidak penting kamu turun dan halang pula mereka yang ingin menunaikan tanggung-jawab mereka untuk mencapai kemenangan. “Jaga sudut masing-masing” pesanan yang berdesing di telinga saya.
PAS KD, kamu telah turun dari Bukit Uhud dan kamu telah menyebabkan PR kehilangan satu kerusi. Untuk apa?
‘Kilauan’ dan ‘glamor’ turun sebagai calon? Harapan untuk menjadi YB? Pada 2008 tidak mengapa Dr Nasir jadi calon. Kerana mungkin ketika itu tidak nampak boleh menang. Sekarang lain adakah kerana sudah terhidu kemenangan?
Setelah kalah dan natijah buruk dari strategi itu terbentang luas untuk semua melihatnya, adakah PAS ingin mengambil pengajaran? Sepertimana para sahabat Rasulullah (SAW) telah mengambil pengajaran dari perang Uhud atau PAS ingin terus mengambil pendekatan bodoh sombong? Rakyat Malaysia sedang melihat serta menilai tindak tanduk PAS sebagai sebuah parti Islam dan yang lebih penting lagi Allah sedang melihat dan menilai setiap tindak tanduk kita.
Saksikan ya Allah bahawa saya telah memberi nasihat dan teguran ikhlas kepada pimpinan saya!

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa