Empat hari minum air hujan
5 Januari 2014
Pak Awi selamat ditemui anaknya sendiri dalam sebuah hutan kecil setelah empat hari hilang.
KUALA LUMPUR - Mohamed Nawawi Buntal, 73, atau lebih dikenali sebagai Pak Awi yang hilang sejak Rabu lepas ditemui oleh anaknya dalam keadaan lemah semalam di sebuah hutan kecil di Taman Buana, Petaling Jaya.
Anaknya, Afnida, 37, berkata, bapanya ditemui oleh adiknya Mohamed Shukri, 34, dalam keadaan terbaring dengan tangan kiri patah dan kaki kanan terseliuh dipercayai terjatuh ke kawasan curam bersemak di dalam hutan kecil itu jam 2.30 petang semalam.
Katanya, jarak lokasi kejadian dengan rumah tidak sampai dua kilometer.
“Ayah telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya.
Afnida, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di PPUM, menjelaskan kehilangan bapanya menjadi misteri kerana keluarganya mencari di kawasan hutan itu sebanyak tiga kali tetapi tidak jumpa sehinggalah semalam.
“Selama empat hari, ayah hanya bergantung sumber air hujan untuk minum dalam keadaan terbaring setelah kakinya terseliuh dan tidak mampu bangkit sendiri," katanya.
Afnida sebelum ini meminta bantuan orang ramai setelah bapanya hilang selepas keluar sendirian dari rumahnya di Pangsapuri Permai, Petaling Jaya, Rabu lepas.
“Ayah saya beritahu mak yang dia mahu keluar ke pasar untuk membeli ikan dengan berjalan kaki,” katanya.
Afnida berkata, ketika meninggalkan rumah, bapanya memakai kemeja T hijau, seluar panjang coklat, memakai topi dan membawa sekaki payung hijau.
Menurutnya, pelbagai usaha telah dibuat termasuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, mengedarkan poster di beberapa tempat serta memuat naik gambar bapanya di laman sosial. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa