6 Januari 2014
Operasi menyelamat mengambil masa 15 jam untuk menurunkan mangsa dari Bukit Tabur, Taman Melawati.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa Noor Hasmahani Hashim, 28, dari Kampung Baru dipercayai mendaki secara bersendirian sebelum tergelincir ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.
Seorang pendaki yang mengikuti satu kumpulan lain menyedari mangsa terjatuh, segera menghubungi anggota bomba dan penyelamat.
Difahamkan, operasi membawa turun mangsa mengambil masa 15 jam berikutan keadaan fizikal mangsa yang bertubuh besar selain laluan bukit bercerun tinggi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat Ampang Pegawai Penguasa Bomba Kanan II Kaha Abdul Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.27 pagi dan tiba di lokasi 30 minit kemudian.
"Seramai 40 anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) terbabit dalam operasi menyelamat mangsa yang tersangkut di rabung sebelas.
"Anggota sampai ke lokasi jam 1.10 petang sebelum berusaha membawa mangsa turun dengan berhati-hati berikutan mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang, tangan dan muka serta patah gigi," katanya.
Beliau berkata, pasukan penyelamat perlu mengusung mangsa secara berhati-hati kerana bimbang kecederaan yang dialami bertambah teruk.
"JPAM turut membantu dalam operasi itu, kami juga terpaksa mengusung mangsa dengan menggunakan 'Bucket'. Keadaannya dilaporkan stabil dan turut diberikan rawatan oleh anggota medik sejurus mangsa tiba ke bawah.
"Selain itu seramai 21 anggota perlu mengusung mangsa turun secara bergilir-gilir ke bawah dalam keadaan kawasan sekitar yang gelap serta hujan," katanya.
Difahamkan operasi menyelamat mangsa terjatuh di Bukit Tabur pada kali ini adalah paling lama sejak beberapa siri kejadian mangsa lain jatuh di lokasi yang sama.
Operasi selesai jam 1.40 pagi tadi.
Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.
awas ada yang jatuh tulin ada yang tiruan
ReplyDelete