6 Januari 2014
Tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Majistret 3 Sungai Petani, semalam.
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki berusia 30 tahun diberi amaran supaya tidak mengganggu isterinya sepanjang kes perbicaraan berlangsung sekiranya mahu mengekalkan jaminan yang diberikan mahkamah terhadapnya setelah didakwa mencederakan isteri, April tahun lalu.
Mohd Azril Azmi, dari Gurun, Kedah, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isteri yang berusia 26 tahun, dalam kejadian di Amanjaya, Sungai Lalang, Bedong, 29 April lalu, kira-kira jam 5 petang.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret 3 atas kesalahan memukul isteri menggunakan rotan pada seluruh anggota badan sehingga menyebabkan kecederaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga 30 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu sekiranya didapati bersalah.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukor di hadapan Majistret Manomani Ramanathan.
Pihak pendakwaan bagaimanapun mengemukakan laporan perubatan isteri tertuduh yang mengesahkan terdapat kesan lebam di seluruh badan termasuk di bahagian tangan, tapak tangan, pinggang, paha, betis dan kedua-dua kaki yang berpunca daripada objek tumpul dan pejal serta konsisten dengan rotan.
Tertuduh bagaimanapun merayu mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia mengaku adalah seorang orang kurang upaya (OKU).
Dalam rayuannya, tertuduh mengakui menyesal dengan tindakannya selain sudah berbaik dengan isteri dan mempunyai tiga anak selain menjelaskan anaknya sudah memasuki alam persekolahan.
Manomani bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 serta seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa sekiranya mahu mengekalkan jaminan yang diberikan terhadapnya.
Menurutnya, sekiranya didapati tertuduh mengganggu mangsa, mahkamah akan menarik balik semula jaminan.
Kes akan disebut semula pada 3 Februari 2014.
Sementara itu, Mohd Azril turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret 2 atas kesalahan menghalang seorang penjawat awam iaitu Inspektor Norhaslinda Rahmat yang merupakan seorang pegawai kanan polis menjalankan tugas.
Tertuduh didapati bertindak mengejar Norhaslinda dengan sebatang rotan pada 3 Mei 2013 kira-kira jam 7.30 pagi di sebuah rumah dekat Bandar Amanjaya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan atau didenda RM1,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi.
Dalam rayuannya, tertuduh mohon jaminan dikurangkan kerana mengakui seorang OKU, mempunyai tiga anak dan perlu menghantar anak ke sekolah.
Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin memberi jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, perlu melaporkan diri ke balai polis selama sebulan sekali, tidak boleh mengapa-apakan isteri serta tidak dibenarkan berada berdekatan dengan isteri dalam jarak 100 meter sehingga selesai perbicaraan.
Sebutan semula akan dilakukan pada 28 Januari 2014.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa